Home New Writers Kuasa itu amanah, bukan kebanggaan

Kuasa itu amanah, bukan kebanggaan

Kepimpinan sejati bukan soal kedudukan, tetapi ujian nilai

AVI-ACL/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Nurul Husna Mansor

Kuasa dan pangkat sering dianggap oleh kebanyakan orang sebagai kemuncak kejayaan hidup.

Namun di sebaliknya, jawatan dan pengaruh itu sebenarnya adalah cermin yang akan menyingkap siapa diri kita sebenar.

Tidak semua orang berubah apabila berkuasa. Tetapi hampir semua akan menzahirkan sisi diri yang paling jujur – sama ada menjadi lebih matang, berhati-hati dan berlapang dada, atau semakin keras, defensif dan sanggup mengorbankan nilai demi mempertahankan kedudukan.

Persoalannya bukan sama ada kuasa itu baik atau buruk. Persoalan sebenar ialah, apakah nilai yang memimpin diri kita sebelum kuasa itu berada di tangan?

Dalam Islam, kuasa tidak pernah dianggap sebagai keistimewaan peribadi. Ia adalah sesuatu yang dipinjamkan dan akan dipersoalkan.

Sebab itu kepimpinan dalam Islam sentiasa dikaitkan dengan keadilan, tanggungjawab dan ketakwaan, bukan kelebihan atau hak mutlak. Kuasa bukan untuk dimiliki, tetapi amanah yang perlu dilunaskan.

Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan pada hari kiamat ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menunaikannya dengan benar”.

Kuasa tidak melahirkan keangkuhan

Sejarah kepimpinan Islam memperlihatkan bahawa kuasa tidak semestinya melahirkan keangkuhan atau kesombongan.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq memulakan kepimpinannya dengan penuh kerendahan hati, meminta rakyat menegur jika beliau tersasar dan hidup sederhana walaupun memegang kuasa tertinggi.

Saidina Umar al-Khattab pula menjadi lebih takut kepada amanah apabila berkuasa. Beliau membuat rondaan pada waktu malam dan memikul tanggungjawab kebajikan rakyat seolah-olah kesalahan mereka adalah kesalahannya sendiri.

Saidina Umar Abdul Aziz memisahkan dengan jelas urusan peribadi daripada harta negara. Beliau sanggup memadam lampu kerajaan demi menjaga amanah.

READ MORE:  Why the best leaders value quiet contributors over loud performers

Manakala Saidina Ali Abi Talib menegakkan keadilan walaupun terhadap dirinya sendiri, menerima keputusan mahkamah tanpa berlindung di sebalik jawatan.

Mereka semua membuktikan bahawa kuasa tidak menjadikan seseorang lebih baik atau lebih buruk secara tiba-tiba, sebaliknya menyingkap nilai dan prinsip yang telah lama berakar dalam diri.

Kuasa dipisahkan daripada prinsip?

Namun dunia hari ini menyaksikan masalah yang timbul apabila kuasa dipisahkan daripada prinsip. Apabila keputusan dibuat bukan lagi atas dasar kebenaran dan kebajikan (maslahat), tetapi demi menjaga imej, mempertahankan ego atau mengekalkan kedudukan. Apabila kritikan dianggap ancaman, bukan cermin untuk muhasabah diri.

Di sinilah kuasa berubah menjadi ketagihan – bukan kerana kuasa itu sendiri, tetapi kerana jiwa yang tidak pernah bersedia untuk menguruskannya.

Fenomena gila kuasa jarang bermula secara mendadak. Ia tumbuh secara perlahan, bermula dengan justifikasi kecil – kononnya demi organisasi, demi kestabilan, demi kebaikan bersama.

Tanpa prinsip yang jelas, alasan demi alasan akhirnya mula menghalalkan sikap menindas, menutup kebenaran dan meminggirkan suara yang tidak sehaluan.

Kuasa boleh menjadi alat yang kuat untuk melahirkan kebaikan jika digunakan dengan betul. Ia mampu menegakkan keadilan, melindungi yang lemah dan membaiki sistem yang rosak.

Namun semua ini bergantung kepada kejelasan prinsip seseorang. Apabila jawatan dilihat sebagai amanah, bukan matlamat, kehilangan kuasa tidak lagi menjadi ketakutan.

Islam mengajar bahawa setiap perbuatan sentiasa berada dalam pengawasan Allah SWT. Kesedaran ini, yang dikenali sebagai muraqabah, membantu seseorang mengurus kuasa dengan lebih berhemah.

Apabila seseorang sedar bahawa setiap keputusan akan dipersoalkan, dia akan lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenang menyalahgunakan pengaruh yang ada.

Ujian kepada diri kita

Kuasa juga menguji diri kita. Adakah kita bekerja kerana prinsip, atau kerana pujian dan pengiktirafan?

READ MORE:  When leaders lose their moral compass

Masihkah kita berani berpegang pada nilai ketika ia tidak popular? Hakikatnya, kuasa tidak mengubah seseorang secara tiba-tiba, tetapi membuka perlahan-lahan topeng siapa diri kita yang sebenarnya.

Kuasa juga akan menguatkan nilai yang sedia ada dan telah tertanam dalam diri. Ini bermaksud, jika masih wujud keikhlasan dalam diri, kuasa akan menguatkannya.

Namun jika yang tertanam ialah kesombongan, kuasa hanya akan membesarkan ego, menyukarkan seseorang menerima kritikan dan nasihat, hingga akhirnya langkah menjadi semakin tersasar.

Oleh sebab itu, sebelum bercita-cita memegang jawatan atau pengaruh, persoalan yang lebih penting untuk ditanya pada diri ialah, apakah nilai yang sedang kita bina ketika tiada siapa melihat, dan apakah prinsip yang kita pertahankan walaupun ia tidak menguntungkan diri?

Pada akhirnya, yang akan diingati bukanlah setinggi mana kuasa yang pernah kita miliki, tetapi siapa kita ketika kuasa itu berada di tangan.

Ketahuilah bahawa sejarah tidak pernah sunyi daripada kisah kejatuhan mereka yang memimpin dengan angkuh, kerana kuasa yang tidak dipandu nilai akhirnya hanya akan memakan diri sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis ini mengingatkan bahawa kuasa bukan sekadar kedudukan, tetapi ujian yang menuntut pertanggungjawaban atas setiap tindakan dan keputusan.

Justeru, marilah kita menunaikan amanah dengan penuh integriti dan meletakkan takwa sebagai asas kepimpinan.

Semoga kita menjadi pemimpin yang meninggalkan jejak kebaikan dalam sejarah, kerana kuasa boleh berlalu, tetapi nilai akan terus hidup serta menjadi ikutan, tatapan dan penilaian generasi demi generasi yang seterusnya.

Dr Nurul Husna Mansor ialah pensyarah kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x