Ingatan untuk menjadi pendengar yang sejati

0
316
Image: oneilinstituteblog.org

Mulakan sesuatu dengan mendengar dahulu untuk mendapat sokongan dan perhatian; seterusnya tindakan susulan, bantuan atau maklum balas boleh diberikan, ujar Hanis Hafizah.

Suatu hari saya mendapat mesej di Whatsapp oleh kawan lama saya secara tiba-tiba.

Kami tidaklah terlalu rapat, dan mendapat mesej darinya agak mengejutkan dan bertanyakan mengenai soal hidup: “Maaflah aku bertanyakan kau soalan macam ni. Aku rasa kau ja yang boleh cakap dengan rasional. Kalau orang lain, bila aku cerita masalah aku, nanti mereka cerita balik benda negatif yang mereka hadap. Dah macam pertandingan hidup siapa lagi negatif.”

Namun, saya tidak kisah malah merasakan ini adalah perkara yang perlu difahami dan diambil perhatian oleh semua.

Pernah tak apabila kita bercerita dengan seseorang dan kita mengharapkan dia mendengar kita? Tetapi akhirnya berakhir dengan perasaan kecewa kerana kita berasa seperti tidak didengari.

Amatlah berbeza antara pendengar yang menumpukan perhatian dengan pendengar yang hanyalah sekadar menadahkan telinga. Pendengar yang baik, bukan sekadar hanya telinga yang bekerja tetapi disertakan juga dengan hati, emosi, perhatian, mata, dan juga reaksi gerak badan.

Salah satu kemahiran sosial yang penting untuk diaplikasikan tetapi paling sering diabaikan ialah kemahiran mendengar. Ramai yang tidak sedar, kemahiran mendengar mereka sebenarnya teruk.

Tidak kira siapa pun, antara ibu bapa dan anak, suami dan isteri, majikan dan pekerja, atau kerajaan dan juga rakyat dan sesiapa sahaja, kemahiran mendengar dan didengari amat penting untuk komunikasi berkesan. Komunikasi yang jelas dan difahami dapat membentuk struktur sosial, hubungan dan produktiviti yang lebih baik.

Komunikasi bukan sekadar perkataan yang keluar daripada mulut, tetapi juga nada, gerak-geri tubuh dan juga ekspresi wajah. Kita mendengar bukan dalam bentuk bunyi sahaja tetapi boleh jadi juga dalam bentuk visual. Contohnya melalui bahasa gerak badan, atau bahasa isyarat.

Zaman moden ini, komunikasi banyak berlaku dalam bentuk digital. Penggunaan media sosial yang meluas menuntut kemahiran untuk mendengar bukan sahaja dalam bentuk bunyian tetapi juga di dalam bentuk lain terutamanya visual, melalui isyarat teks yang disampaikan atau juga gambar.

Berapa ramai manusia yang mengalami kemurungan dan membunuh diri, tetapi sebelum itu mereka telah pun memberi gambaran ataupun menunjukkan tanda-tanda bahawa sebenarnya batin mereka menjerit meminta pertolongan tetapi tidak dipedulikan?

Seperti yang dinyatakan di dalam Manual Bantuan Kecemasan Pertama Mental Amerika Syarikat; “Kebanyakan pesakit yang mengalami kemurungan perasaan dan mental mahukan pendengar yang berempati sebelum diberikan pilihan pertolongan lain.”

Menurut laporan, penyakit mental merupakan masalah kedua yang serius di Malaysia selepas sakit jantung. Pakar sakit jiwa mengatakan orang ramai boleh memberi “bantuan kecemasan pertama” kepada pesakit mental jika didapati ciri-cirinya dengan menjadi seorang pendengar yang berempati.

Betapa banyak masalah boleh timbul jika manusia tidak didengari dengan betul.

Terdapat dua jenis mendengar: sama ada betul-betul mendengar dengan aktif (disertakan dengan hati) ataupun sekadar mendengar masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Mendengar dengan aktif bermaksud menyertakan perasaan empati iaitu kita cuba bersikap neutral dengan tidak menilai dan cuba memahami dengan meletakkan diri kita di tempat orang lain. Apabila mendengar dengan hati, kita akan lebih memahami lalu mengambil tindakan sewajarnya dengan apa yang diperkatakan.

Bermula dengan mendengar pelbagai isu dapat ditambah baik atau diselesaikan. Antaranya ialah menambah baik hubungan dengan manusia lain, meningkatkan produktiviti, mengelakkan kesalah fahaman dan juga menjadi manusia yang manusiawi.

Mendengar bukan sekadar untuk rakyat bawahan, tetapi juga untuk menjadi seorang pemimpin yang agung akan makin bertambah beban tanggungjawab untuk menjadi pendengar yang adil.

Kata Peter Drucker, seorang penulis dan juga perunding pengurusan yang berjaya, yang “paling penting di dalam komunikasi adalah mendengar apa yang tidak diperkatakan”.

Sebagai contoh yang biasa kita dengar, seorang isteri akan kerap berleter kepada suaminya mengenai hal ehwal rumah tangga. Bagi si suami apa yang didengari hanyalah luahan daripada si isteri. Namun, di sebalik leteren itu, berkemungkinan besar sebenarnya si isteri memerlukan rehat yang sebentar, yang mana kebanyakan si suami gagal memahami maksud sebaliknya.

Contoh luar biasa yang jarang-jarang kita dengar tetapi wujud ialah kes di mana seorang ibu dapat mengesan bayinya mengalami penderaan seksual dengan hanya melalui perbezaan bunyi tangisan.

Mulakan sesuatu dengan mendengar dahulu untuk mendapat sokongan dan perhatian; seterusnya tindakan susulan, bantuan atau maklum balas boleh diberikan (jika diperlukan). Jelas, dengan mendengar akan membina kepercayaan, kesetiaan dan kehormatan.

Benarlah apa yang dikatakan Epictetus: “Kita mempunyai dua telinga dan satu mulut supaya kita mendengar dua kali lebih banyak berbanding berbicara.”

Hanis Hafizah ialah seorang yang mempunyai latar pendidikan seni bina tetapi lebih gemar memerhati dan berfikir mengenai tindak-tanduk manusia di tepi jalan. Beliau mengambil bahagian dalam bengkel penulis Aliran bertema “Menulis untuk Membawa Perubahan dalam Malaysia Baru”, di mana rencana ini ditulis.

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of