Najihah Farhana Muhammad Hasbi dan Suzana Ariff Azizan
Apabila kita bercakap tentang pencemaran plastik, kebanyakan daripada kita membayangkan botol plastik tersangkut di longkang, beg plastik hanyut di sungai atau timbunan sampah yang melimpah dari tong di kawasan perumahan.
Pencemaran yang boleh dilihat dengan mata kasar, mudah dikenal pasti – malah boleh ditunjuk dengan jari.
Namun realitinya jauh lebih membimbangkan. Ancaman sebenar mungkin bukan yang dapat kita lihat, tetapi yang tersembunyi di sebalik pandangan kita.
Kajian saintifik telah mendedahkan satu hakikat yang membimbangkan: kewujudan serpihan plastik bersaiz amat kecil – dikenali sebagai mikroplastik – dalam ekosistem semula jadi. Serpihan ini kini berada dalam sungai, laut, udara, makanan dan air minuman kita.
Mikroplastik merujuk kepada zarah plastik berukuran kurang daripada 5mm, lebih kecil daripada sebutir beras. Saiznya yang kecil membolehkannya bergerak bebas dalam alam sekitar tanpa disedari, menyusup ke dalam ekosistem dan akhirnya kembali kepada manusia.
Persoalannya, adakah masyarakat sebenarnya sedang memakan plastik tanpa sedar? Bukti saintifik yang semakin bertambah menunjukkan kemungkinan itu bukan lagi sekadar teori. Ia memerlukan perhatian serius dan tindakan segera, khususnya dalam konteks pembangunan lestari dan kesihatan masyarakat.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Bagaimana mikroplastik terbentuk
Mikroplastik tidak muncul secara tiba-tiba. Ia terhasil melalui dua mekanisme utama.
Pertama, apabila plastik bersaiz besar seperti botol minuman, pembungkus makanan dan beg plastik terurai akibat pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari, haba dan geseran fizikal. Proses degradasi ini memecahkan plastik kepada serpihan yang semakin kecil sehingga akhirnya menjadi mikroplastik.
Kedua, terdapat mikroplastik primer yang sememangnya dihasilkan dalam bentuk halus sejak dari awal. Ia wujud dalam produk harian seperti bahan pencuci, kosmetik, produk penjagaan diri, baja dan bahan industri yang menggunakan bahan tambahan berasaskan plastik. Gentian sintetik daripada pakaian yang tertanggal ketika proses cucian serta sisa industri turut menyumbang kepada pencemaran ini.
Disebabkan saiznya yang amat kecil, mikroplastik mudah melepasi sistem saliran dan rawatan air sedia ada sebelum mengalir ke sungai dan laut.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan amalan pembakaran terbuka sisa plastik – yang bukan sahaja mencemarkan udara, malah melepaskan serpihan plastik halus dan jelaga ke atmosfera.
Zarah-zarah ini kemudiannya boleh kembali ke tanah dan sumber air melalui hujan, mewujudkan kitaran pencemaran yang sukar diputuskan.
Dari sungai ke pinggan makan

Beberapa insiden pencemaran air yang berlaku sebelum ini telah membuka mata masyarakat tentang bahaya bahan kimia terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
Namun di sebalik pencemaran yang jelas kelihatan, kajian-kajian terkini turut mendedahkan kehadiran mikroplastik dalam sistem perairan – menunjukkan pencemaran plastik berkemungkinan telah lama wujud tanpa disedari, tersembunyi oleh sifatnya yang halus dan sukar dikesan.
Ini membuktikan bahawa isu mikroplastik bukan ancaman masa depan. Ia adalah realiti semasa yang sedang berlaku dalam sistem perairan yang menjadi sumber kehidupan masyarakat setiap hari.
Jika sungai yang menjadi nadi kehidupan komuniti sudah mengandungi zarah plastik halus, persoalannya: ke mana zarah ini pergi selepas itu?
Isu ini menjadi lebih serius apabila mikroplastik ditemui dalam sumber makanan. Kajian terhadap ikan yang biasa dimakan mendapati zarah mikroplastik bukan sahaja dalam sistem pencernaan, malah dalam tisu otot – bahagian yang lazimnya dimakan. Ini bermakna serpihan tersebut berpotensi memasuki tubuh manusia melalui hidangan harian.
Walaupun kesan jangka panjang terhadap kesihatan manusia masih dalam peringkat kajian, bukti awal daripada makmal menunjukkan zarah mikroplastik yang sangat halus berupaya memasuki pelbagai organ dan berpotensi menyebabkan kesan toksik.
Mikroplastik juga boleh bertindak sebagai pembawa bahan kimia berbahaya yang melekat pada permukaannya, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan yang lebih kompleks.
Ancaman terhadap manusia tidak boleh diketepikan hanya kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Dasar ada – cabaran masih banyak
Malaysia telah memperkenalkan beberapa inisiatif berkaitan pengurusan plastik.
Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–30 menggariskan pendekatan berperingkat untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, memperkenalkan alternatif mesra alam dan meningkatkan kesedaran awam.
Rangka Kerja Pelestarian Plastik 2021–30 pula menetapkan sasaran untuk memperkukuh sistem kitar semula, memperbaiki pengumpulan data serta mengurangkan kebocoran plastik ke alam sekitar.
Kedua-dua pelan ini selari dengan prinsip ekonomi kitaran yang menekankan penggunaan sumber secara cekap dan berterusan.
Namun keberkesanan sesuatu dasar tidak hanya bergantung pada perancangan di atas kertas. Ia bergantung kepada tahap pelaksanaan, penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak.
Walaupun terdapat komitmen dasar yang jelas, Malaysia masih berdepan beberapa cabaran struktur.
Kadar kitar semula masih rendah berbanding jumlah sisa plastik yang dihasilkan, infrastruktur pengurusan sisa masih terhad dan kos alternatif biodegradasi lebih tinggi.
Penyelarasan antara agensi dan peringkat tadbir urus juga perlu diperkukuh agar dasar yang dirangka dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Pada masa yang sama, kesedaran awam masih tidak sekata – khususnya di kawasan luar bandar.
Tanpa kefahaman yang jelas tentang bagaimana mikroplastik terbentuk dan memasuki rantaian makanan, sukar untuk memperoleh sokongan menyeluruh daripada masyarakat.
Ini termasuklah sokongan terhadap perubahan tingkah laku seperti mengurangkan penggunaan plastik dan mengasingkan sisa buangan di puncanya – misalnya di rumah.
Cabaran ini menunjukkan bahawa walaupun sains telah memberikan amaran yang jelas, penterjemahan penemuan saintifik kepada tindakan dasar yang berkesan memerlukan usaha bersepadu dan berterusan.
Dalam menangani isu ini secara menyeluruh, beberapa langkah strategik wajar dilaksanakan. Memperkasakan skim tanggungjawab pengeluar (EPR) adalah antara keutamaan, bagi memastikan pengeluar bertanggungjawab terhadap keseluruhan kitar hayat produk plastik yang dihasilkan – dari reka bentuk hingga pelupusan.
Pelaburan dalam menaik taraf sistem rawatan air dan kumbahan juga perlu, bagi memastikan ia berupaya menapis zarah mikroplastik dengan lebih berkesan.
Kempen pendidikan kepada komuniti awam pula perlu dirangka dalam bahasa yang mudah difahami dan dekat dengan realiti kehidupan seharian. Apabila masyarakat menyedari bahawa pencemaran plastik bukan sekadar isu kebersihan persekitaran tetapi ancaman langsung kepada kesihatan mereka, sokongan terhadap dasar akan meningkat secara semula jadi.
Isu mikroplastik mengubah cara kita mentafsir pencemaran. Jika sebelum ini kita menilai tahap kebersihan berdasarkan apa yang dapat dilihat – air yang jernih atau pantai yang bersih – kini kita perlu memahami bahawa ancaman sebenar mungkin tersembunyi di sebalik penampilan tersebut.
Kesedaran ini sepatutnya menjadi titik perubahan dalam cara kita mengurus sisa dan menggunakan plastik.
Pembangunan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat.
Pencemaran mikroplastik merupakan antara cabaran alam sekitar yang semakin mendesak ketika Malaysia bergerak ke arah pembangunan lestari – melibatkan dimensi alam sekitar, ekonomi dan kesihatan secara serentak.
Menangani isu ini memerlukan kerjasama erat antara penyelidik, pembuat dasar, industri dan masyarakat.
Pengurusan mikroplastik perlu dimasukkan dalam perancangan jangka panjang berkaitan keselamatan air, pengurusan sisa dan perlindungan kesihatan awam.
Jika kita tidak bertindak sekarang, persoalan “adakah kita sedang memakan plastik tanpa sedar?” mungkin tidak lagi sekadar persoalan – tetapi satu kenyataan yang terpaksa kita hadapi.
Najihah Farhana Muhammad Hasbi dan Dr Suzana Ariff Azizan adalah dari Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Universiti Malaya
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


