Aliran turut menyuarakan kebimbangan mendalam yang dibangkitkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA). Kedua-dua persatuan itu bimbang dengan laporan bahawa Lembaga Racun telah menyokong cadangan menteri kesihatan untuk mengeluarkan nikotin cecair yang digunakan dalam produk vape daripada senarai racun.
Langkah ini seolah-olah menandakan perubahan mendadak daripada pendirian menteri kesihatan setahun lalu. Ketika itu, beliau berkata persoalannya bukan lagi sama ada vape akan diharamkan, tetapi bila ia akan berlaku.
Pada 2023, Lembaga Racun sebulat suara menentang pengecualian serupa yang dicadangkan oleh menteri kesihatan ketika itu. Lembaga tersebut bimbang langkah itu boleh memudahkan penjualan produk vape bernikotin kepada golongan bawah umur. Walaupun mendapat bantahan Lembaga Racun, menteri berkenaan tetap meneruskan pewartaan pengecualian tersebut.
Pada Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan pengecualian yang dibuat pada 2023. Mahkamah mendapati keputusan itu tidak rasional, didorong terutamanya oleh pertimbangan ekonomi dan dibuat tanpa rundingan yang wajar dan bermakna dengan Lembaga Racun. Kerajaan kemudiannya menarik balik rayuannya.
MPA bimbang pengecualian nikotin cecair daripada senarai racun boleh menyebabkan produk vape bernikotin lebih mudah diperoleh oleh golongan muda.
Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 melarang penjualan produk ini kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun. Namun, persatuan itu bimbang bahawa jika perlindungan hanya bergantung pada penguatkuasaan yang lebih ketat, beban untuk melindungi golongan muda akan beralih kepada ibu bapa, guru, pengamal kesihatan dan sistem penjagaan kesihatan secara keseluruhannya.
Persatuan itu juga menggesa supaya sebarang bukti baharu yang boleh menjustifikasikan perubahan pendirian Lembaga Racun diterbitkan dan diteliti secara profesional oleh pakar.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Mengenakan cukai ke atas produk ini mungkin menjana hasil kepada kerajaan. Namun, Aliran percaya golongan muda mungkin terpaksa membayar harga yang jauh lebih tinggi dalam jangka panjang akibat kesan penggunaan vape terhadap kesihatan mereka.
Perubahan pendirian yang dilaporkan itu juga menimbulkan persoalan sama ada kepentingan komersial dan kemungkinan pengaruh industri diberi pertimbangan yang tidak wajar dalam keputusan yang menjejaskan kesihatan awam.
Aliran menggesa Kementerian Kesihatan dan Lembaga Racun supaya mengutamakan kesihatan rakyat berbanding kepentingan komersial dan pertimbangan hasil negara, serta menjelaskan justifikasi kesihatan awam bagi perubahan yang dicadangkan ini.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
5 November 2026
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


