Dengan berakhirnya pilihan raya negeri, jelas negara masih berpecah, dengan Perikatan Nasional berjaya menembusi kubu yang memberi kesan kepada Umno dan PKR.
Aliran mengucapkan tahniah kepada pemenang di enam negeri – Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan – dan berharap kerajaan negeri baharu akan turun padang berkhidmat untuk rakyat.
Semasa kempen pilihan raya, beberapa NGO dan aktivis menggesa pengundi untuk memberi tumpuan kepada isu kerajaan negeri dan tempatan dalam pilihan raya ini.
Namun ramai pengundi memberi lebih perhatian kepada landskap politik negara – ia boleh difahami, berdasarkan keadaan semasa.
Penyokong Pakatan Harapan berhasrat memberikan Anwar Ibrahim ‘undi percaya’ bagi wawasan Malaysia Madani-nya yang lebih inklusif.
Sebaliknya, mereka yang mengundi PN berminat untuk melihat perubahan politik di negeri yang diperintah PH, yang mereka harapkan akan menjadi momentum kepada perubahan di peringkat persekutuan dalam masa beberapa bulan.
Cukup menakutkan, pemimpin PN pula terjerumus dengan politik kaum dan agama. Ini dengan mudah mengalih perhatian pengundi daripada masalah tempatan. Ia juga menyerap keresahan ekonomi di kalangan mereka yang merasa terpinggir oleh pembangunan kapitalis di kota yang dihambat dengan segala jurang kesenjangan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Naratif kaum dan agama ini mengalihkan perhatian daripada isu-isu penting: rasuah, kos sara hidup yang tinggi, pembangunan yang tidak mampan, ketidakadilan sosial dan kelembapan tindakan terhadap perubahan iklim.
Jadi kebanyakan pengundi di kedua-dua belah pihak tidak melihat kepada isu tempatan. Bagi kebanyakan orang, pilihan raya ini lebih kepada “gelombang hijau” dan ‘referendum’ nasional mengenai “kerajaan perpaduan” Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Namun, pilihan raya ini tidak sepatutnya dilihat sebagai referendum terhadap kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. Pertama, adalah tidak masuk akal untuk memperlakukannya sedemikian dengan kerajaan persekutuan yang baru berkuasa selama lapan bulan sahaja. Kedua, pihak berkepentingan utama seperti Sabah dan Sarawak juga tidak terlibat di dalam pilihan raya kali ini.
Bagi pilihan raya negeri, isu tempatan sepatutnya dipertimbangkan. Tetapi ini dibayangi oleh kebimbangan terhadap landskap politik negara.
Oleh itu, parti yang menang tidak seharusnya mengetepikan keputusan pilihan raya sebagai pengabsahan projek ‘pembangunan’ yang memudaratkan alam sekitar di enam negeri, seperti pembalakan di negeri-negeri utara dan pantai timur, perlombongan nadir bumi di Kedah, projek lebuh raya PJD Link di Selangor dan projek penambakan besar-besaran di Pulau Pinang.
Begitulah juga dengan keputusan ini sebagai satu pengabsahan kepada projek pembangunan berkepadatan tinggi di negeri yang lebih maju atau di kawasan bukit yang sensitif.
Kini tiba masanya untuk menghentikan penyebaran berita palsu dan saling tuduh-menuduh.
Kami menggesa kerajaan persekutuan dan negeri untuk memberi tumpuan kepada Agenda Rakyat:
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Berbanding membontoti para pengikut konservatif agama, kerajaan persekutuan pimpinan Anwar harus menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka serius untuk melakukan pembaharuan.
Reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya dan sistem pilihan raya perlu dilakukan. Rombak perkhidmatan awam khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis. Tubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Ambil tindakan tegas terhadap semua yang rasuah, tanpa mengira fahaman politik.
Hapuskan undang-undang yang menindas. Memperkenalkan undang-undang berkaitan pembiayaan politik. Asingkan kuasa peguam negara.
Kembangkan dan tingkatkan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan awam, pendidikan dan rumah mampu milik. Hadirkan pelan induk mobiliti mampan untuk bandar dan pekan utama kita, dengan bantuan pakar terkenal. Memperkukuh keselamatan makanan dengan melindungi petani dan nelayan kita.
Dengan majoriti dua-pertiga di Parlimen, kerajaan perpaduan sepatutnya dapat menunaikan janji pilihan raya, seperti yang diisytiharkan dalam manifestonya. Ini sebabnya mengapa mereka yang berkuasa sekarang diundi.
Menjelang pilihan raya umum akan datang, kerajaan perpaduan bukan sahaja perlu mendengar kata-kata rakyat, ia juga mesti melaksanakan langkah yang diperlukan. Ia perlu memaklumkan dan mendidik orang ramai tentang apa yang akan dilakukan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
Kerajaan tidak sepatutnya menangani kritikan di dalam media sosial dan masjid dengan menggunakan penapisan atau cuba “menjadi lebih Islam” dari Pas.
Sebaliknya, kerajaan perpaduan perlu mengeluarkan naratif yang lebih menarik dan terangkum daripada lawannya. Terangkan konsep Malaysia Madani dan bagaimana ia akan mengambil berat tentang rakyat, terutamanya golongan miskin, terpinggir dan kurang bergaji.
Naratif terangkum ini harus meliputi cara kita melihat dan mengamalkan kepelbagaian agama kita. Jadikan kepedulian dan belas ihsan kepada rakyat – bukannya orientasi kapitalis – prinsip utama Madani.
Suara masyarakat sivil akan menjadi penting dalam mengemudi naratif ke arah kepentingan sebenar rakyat.
Sudah tiba masanya untuk mengakui bahawa model ekonomi arus perdana telah menyebabkan ramai belia daripada isi rumah berpendapatan rendah berasa cemas, tidak selamat dan terpinggir. Jauh di lubuk hati, mereka menyedari bahawa mereka kehilangan keupayaan daya saing untuk memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi. Mereka mempunyai kekurangan dalam kemahiran untuk berbilang bahasa dan bakat vokasional, dan mereka mungkin tidak mengasah keupayaan mereka untuk berfikir secara kreatif dan kritis.
Kebimbangan dan rasa tidak selamat ini mudah dirampas oleh mereka yang ‘menyebar kemarahan dan kebencian’ dan ideologi digerakkan oleh agama serta perkauman.
Kerajaan Madani perlu melakukan sesuatu dengan pantas dalam memperkasakan golongan belia ini. Mereka perlu dibimbing, diajar dengan serius, dilatih, diasah dan dimotivasikan. Pemberian bantuan percuma dan bekalan sementara tidak akan berjaya.
Ini perlu ditangani segera atau Malaysia akan terus merudum ke cerun yang dalam.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
13 Ogos 2023
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme