Najib diputuskan bersalah: Pemulihan sistem perundangan mesti diteruskan

Mahkamah wajib kekal bebas dan teguh berdepan tekanan dari mana-mana kepentingan

Najib Razak - guilty on all seven charges

Keputusan mahkamah hari ini berkaitan perbicaraan SRC International menyabitkan Najib Razak bersalah di atas tujuh tuduhan – melibatkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram – merupakan sebuah keputusan penting serta mempunyai kesan politik yang besar.

Hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan menyeluruh yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi serta denda RM210 juta dan penjara 12 tahun yang disabitkan ke atas Najib.

Rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan mungkin akan diadakan pada tahun hadapan. Sementara itu, beliau masih kekal sebagai Ahli Parlimen namun tidak dibenarkan bertanding bagi pilihan raya akan datang.

Keputusan ini menghantar mesej yang jelas kepada perasuah: tiada sesiapa yang lebih tinggi dari undang-undang serta jenayah yang dibuat adalah tidak berbaloi dengan hukumannya.

Keputusan bersalah ke atas bekas perdana menteri ini menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang bebas dari undang-undang serta dapat terlepas begitu sahaja.

Ia sebuah mesej yang tepat pada waktunya melihat kepada keadaan rasuah yang berlaku di negara kita, di mana cukup ramai yang hidup mewah melangkaui kemampuan diri mereka.

Keputusan ini juga sekaligus memberi kesan dalam memulihkan kepercayaan kepada mahkamah bahawa keadilan tetap akan ditegakkan. Namun, langit tidak semestinya sentiasa cerah. Ia merupakan sebuah perjalanan yang cukup panjang dalam menghapuskan rasuah, dan begitu ramai juga yang sudah terlepas dari hukuman.

Pun begitu, ia sungguh menggalakkan untuk melihat bagaimana mahkamah dapat membuat keputusan perundangan yang bebas. Antara aspek yang menggembirakan dalam perbicaraan ini adalah penghakiman yang cukup teliti dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi yang cukup berwibawa di mana keputusannya turut disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

READ MORE:  Not enough for MACC advisory board members to distance themselves – Terence Gomez

Keputusan hari ini memang diikuti ramai orang, serta kesan keputusan penghakiman ini pastinya melangkaui dinding mahkamah. Orang awam, masyarakat sivil, komuniti peniaga serta penganalisa pastinya mengikut keputusan mahkamah ini bagi melihat sinar harapan di Malaysia.

Diharapkan, dengan keputusan ini pemulihan sistem perundangan dapat dimulakan. Mahkamah wajib kekal bebas dan teguh berdepan tekanan dari mana-mana kepentingan.

Orang awam juga patut memainkan peranan penting dalam proses pemulihan ini. Begitu banyak perkara yang perlu dilakukan kita. Orang awam patut berwaspada dengan campurtangan luar ke atas mahkamah oleh mereka yang berkepentingan sendiri. Satu tindakan yang boleh dilakukan oleh orang awam adalah dengan mengundi calon serta parti yang berjanji untuk melaksanakan reformasi kehakiman pada pilihan raya akan datang. 

Benar, apa yang terjadi hari ini memberikan kita harapan agar kita dapat meneruskan langkah bagi menegakkan kedaulatan undang-undang. Tiada sesiapa pun yang melangkaui kedaulatan undang-undang, yang sepatutnya terpakai kepada semua, tanpa pilih kasih.

Akhir kata, kita memerlukan tiga cabang kerajaan di puncaknya bagi memastikan kawal imbang:

  • Cabang eksekutif yang cekap, bertanggungjawab serta jujur (di mana kerajaan Umno-Barisan Nasional yang dipimpin oleh Najib Razak adalah tidak)
  • Parlimen yang ‘hidup’ diwakili oleh mereka yang diundi lewat pilihan raya bebas, adil dan bersih, serta ahli Parlimen yang teliti dalam memperhalusi rang undang-undang yang dicadangkan serta cukup berwaspada dalam memantau segala tipu helah yang mungkin berlaku di peringkat Eksekutif
  •  Sebuah Kehakiman yang bebas di dalam pentafsiran serta pelaksanaan perundangan.

Kita barangkali mengabaikan peranan kritikal cabang kehakiman di masa yang lalu. Inilah masanya untuk menekankan kembali kepentingan sebuah badan kehakiman yang bebas serta mengukuhkannya.

READ MORE:  Undi 18: Tanggungjawab atau liabiliti

Ahli jawatankuasa Aliran
8 Disember 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments