:

Keputusan penting penghakiman Sungai Ara di Mahkamah Persekutuan menyediakan asas yang kukuh bagi undang-undang alam sekitar

Keputusan perundangan ini juga menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh sekumpulan kecil orang biasa yang fokus kepada sebuah tujuan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk sesebuah perkara

Aliran memuji keputusan Mahkamah Persekutuan menyekat projek pembinaan 13 blok kondominium dan banglo tiga tingkat di atas 81 ekar tanah berbukit melibatkan kawasan sensitif di Pulau Pinang.

Kira-kira 43% daripada plot tanah ini terletak lebih daripada 76 meter di atas paras laut di cerun dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

Dalam penghakiman ringkasan penting, hakim Nallini Pathmanathan menyatakan sebab penolakan projek itu. Beberapa tema menggariskan hujahnya yang pastinya sangat relevan dengan projek kontroversi lain.

Ini termasuklah hasrat beberapa pemindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 bagi memastikan perlindungan alam sekitar dan penyertaan orang ramai dalam perancangan guna tanah.

Ini adalah sebuah lonjakan ke masa hadapan dalam pemahaman kita tentang undang-undang alam sekitar, terutamanya dalam proses perancangan dan kelulusan untuk projek pembangunan.

Dalam kes ini, isunya timbul apabila majlis tempatan meluluskan projek perumahan, selaras dengan pengezonan di bawah Pelan Dasar 1996 (yang tidak melibatkan penyertaan awam). Ini adalah selaras dengan arahan daripada jawatankuasa perancang negeri, yang dipengerusikan oleh ketua menteri pada masa itu.

Jawatankuasa perancang negeri kemudiannya dengan “sengaja mengecualikan dirinya daripada proses kelulusan perancangan, memberikan arahannya kepada pihak berkuasa tempatan bahawa tiada rujukan lanjut kepada Jawatankuasa diperlukan di mana pihak berkuasa tempatan memutuskan bahawa permohonan adalah di bawah ‘projek khas'”.

Ini membawa kepada proses kelulusan yang mengecualikan jawatankuasa, dan, sekali gus, mengecualikan peranan Majlis Perancangan Fizikal Negara (NPPC).

Namun, hakim berkata jawatankuasa perancang negeri mempunyai kewajipan untuk meminta nasihat daripada NPPC di mana projek itu melibatkan “pembangunan yang menjejaskan puncak bukit atau lereng bukit, di sebuah kawasan yang ditetapkan sebagai sensitif alam sekitar dalam rancangan pembangunan”.

READ MORE:  A royal pardon for Najib now would make a mockery of the rule of law and administration of justice

Perkembangan sedemikian bukan lagi sekadar isu tadbir urus di peringkat tempatan atau negeri, kata hakim itu. “Ia juga merupakan isu di peringkat persekutuan dan nasional” bagi memastikan pembangunan seimbang dan menegakkan “prinsip bahawa kepentingan awam mendahului kepentingan swasta dalam penggunaan dan pembangunan tanah”.

Prinsip yang diutarakan oleh mahkamah tertinggi di negara ini sebuah berita baik bagi semua pihak yang mengambil berat tentang pembangunan yang tidak terkawal yang bertentangan dengan kepentingan awam.

Penghakiman itu juga mengiktiraf bahawa pelan struktur negeri boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang dan bukanlah hanya sebuah garis panduan semata-mata. Jawatankuasa perancangan negeri tidak boleh begitu sahaja menyimpang dari pelan struktur negeri secara pengisiannya, dan jawatankuasa tersebut juga tidak boleh mewakilkan kelulusan bagi penyelewengan tersebut kepada majlis tempatan.

Hakim Nallini berkata pindaan menyeluruh telah dibuat kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (TPCA) untuk menunjukkan hasrat perundangan bagi statut itu agar ia “memainkan peranan yang lebih menonjol dan berkesan dalam perlindungan alam sekitar”.

Aspek asas statut ini ialah kemasukan unsur penyertaan awam dalam proses perancangan tanah – dalam penyediaan kedua-dua pelan struktur dan rancangan tempatan.

Mengeluarkan atau bergantung hanya kepada garis panduan misteri yang tidak diterbitkan (seperti “garis panduan projek khas”) bagi membuat keputusan mengenai pemberian atau penolakan sesebuah kebenaran merancang adalah bertentangan dengan TCPA, memandangkan bagaimana pentingnya penyertaan awam dalam proses perancangan tanah, katanya.

Aliran percaya makna sebenar perlu diberikan kepada penyertaan awam, dan bukannya sekadar percubaan sepintas lalu dan separuh hati dalam melibatkan orang ramai di dalam proses, khususnya apabila keputusan penting sudah menjadi kenyataan, serta diputuskan di sebalik tirai dengan segelintir ahli politik.

READ MORE:  Is it Zahid’s slip of the tongue?

Bagi pemilik tanah pula, “pemilikan hak milik tanah tidak memberi pemilik tanah seakan sebuah cek kosong untuk melakukan apa sahaja yang dia suka dengan tanah itu. Ini akan mempunyai potensi untuk membenarkan pembangunan tidak mampan di luar bidang kuasa TPCA dan Akta Pemuliharaan Tanah,” kata Hakim Nallini.

Aliran mengucapkan tahniah kepada hakim Mahkamah Persekutuan atas penghakiman penting ini. Ia menunjukkan betapa pentingnya mempunyai badan kehakiman yang beroperasi tanpa rasa takut atau pilih kasih. Badan kehakiman yang bebas adalah pilihan terakhir rakyat marhaen.

Kami tabik hormat kepada penduduk Sungai Ara dan peguam Gurdial Singh Nijar, Meenakshi Raman, Jessica Ram Binwani dan Abraham Au atas kegigihan dan usaha yang tidak jemu dalam pertempuran seakan David melawan Goliath ini.

Kami memuji kumpulan Penang Forum, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi saat segalanya yang melibatkan kes seperti hilang punca.

Keputusan undang-undang ini menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh sekumpulan kecil rakyat marhaen yang mempunyai sebuah tujuan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi mencapai sesuatu.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
20 Januari 2023

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments