Hentikan serbuan menyasarkan migran

Pihak kami sangat terganggu, lebih-lebih lagi melihat bagaimana migran tanpa dokumen disembur dengan bahan penyahjangkit ketika serbuan baru-baru ini

30 views

Aliran mengutuk serbuan yang disasarkan ke atas pekerja migran, terutamanya kepada mereka yang tidak berdokumen. Pihak kami sangat terganggu, lebih-lebih lagi melihat bagaimana migran tanpa dokumen disembur dengan bahan penyahjangkit ketika serbuan baru-baru ini di Cyberjaya.

Ianya sungguh tidak berperikemanusiaan dan menyahmanusiakan, walau pegawai imigresen sendiri disembur sekalipun. Kita tidak boleh dan tidak sepatutnya melayan manusia sebegini rupa.

Perkongsian di Facebook dengan menggalakkan orang ramai untuk melaporkan pekerja migran tanpa dokumen, dengan menyembunyikan identiti pelapor, juga sungguh mengejutkan dan tidak dapat diterima. Perkongsian sebegini menggalakkan serta mengakibatkan kebencian berterusan kepada kelompok warga ini yang turut terkesan kepada Covid-19 seperti mereka yang lain ketika pandemik.

Di dalam melawan Covid, Aliran menegaskan bahawa tiada ‘kita’ atau ‘mereka’. Yang ada hanya kita – semua kita, sebagai manusia – di dalam pandemik yang sama. Kita perlu bekerja bersama bagi mencapai imuniti berkelompok. Dilaporkan bahawa ianya memerlukan di antara 70%-80% dari 32 juta populasi kita untuk divaksinasi dalam tempoh 18 bulan.

Jika kita menggunakan akal, jelas yang virus itu tidak memeriksa dokumen imigresen sebelum memilih untuk menjangkiti seseorang. Kita tahu yang penularan Covid tidak tertumpu di asrama pekerja tapi sudah pun merebak di dalam komuniti.

Kita tahu yang jangkitan berlaku di dalam komuniti, termasuklah warga dan bukan warga Malaysia. Kita tahu jika berada di dalam ruang sempit dan sesak, ianya akan meningkatkan jangkitan. Oleh itu, ianya lebih bijak untuk memfokuskan kepada keadaan tempat kerja di kilang serta tempat tinggal yang sempit dan sesak itu.

Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin berjanji bahawa kerajaan tidak akan menahan migran tanpa dokumen yang tampil ke hadapan bagi mendapatkan vaksin. Selaku menteri yang menguruskan proses imunisasi negara, beliau menambah bahawa kerajaan melalui jawatankuasa bertindak Covid berkerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi menghubungi kedutaan asing, organisasi antarabangsa serta NGO bagi meyakinkan para migran tanpa dokumen akan perkara ini.

READ MORE:  The hard truth about the migrant experience in Malaysia in 2020

Namun, apa yang berubah? Dari sudut perspektif kesihatan awam, menyerbu dan menahan pekerja migran yang tidak mempunyai dokumen lengkap bukanlah langkah yang patut kita ambil.

Saatnya kita perlu bersikap penuh kemanusiaan antara satu sama lain, saling menjaga, mengapa kita melakukan sesuatu dengan sebaliknya? Pasti #kitajagakita juga terpakai kepada semua manusia ketika pandemik ini, kan? Usaha sepatutnya ditujukan bagi mendapatkan seramai mungkin warga divaksinasi bagi membina imuniti berkelompok, berbanding dengan menyasarkan masyarakat yang tidak berdaya serta tertindas ekoran status dokumen mereka.

Aliran menuntut semua ini dihentikan dan memohon agar akal budi digunakan terhadap perdekatan yang digunakan kepada migran. Tiada keperluan bagi Kementerian Dalam Negeri untuk menyasarkan migran tanpa dokumen walaupun mereka mempunyai kuasa dan undang-undang untuk berbuat demikian. Tindakan sebegini tidak mencapai apa-apa. Sebaliknya, ia mendedahkan betapa tidak faham serta pendek akalnya tindakan bagi membendung jangkitan Covid. Memburukkan lagi, tindakan menghukum sebegini menunjukkan bahawa tiadanya ihsan manusia ketika pandemik.

Hentikan penahanan pekerja migran tanpa dokumen. Berikan mereka peluang; bantu mereka tampil ke hadapan dan terima vaksin. Ikut rancangan asal. Jika benar kita mahu melindungi hak serta kesejahteraan warga tempatan, jadi kita perlu memelihara hak dan kesejahteraan warga migran, dengan atau tanpa dokumen. Kerana, semudahnya, ikhtiar hidup kita juga bergantung kepada mereka semua.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
8 Jun 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments