Bahaya tanah runtuh: Hentikan segera projek pembangunan di cerun bukit

0
86

Aliran berasa amat sedih dengan berita kematian pekerja-pekerja di tapak pembinaan dalam insiden tanah runtuh yang berlaku di Bukit Kukus. Tanah runtuh ini menimbus beberapa kontena dan pondok-pondok kayu, meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa dan tiga lagi mangsa cedera.

Tragedi ini berlaku lebih kurang setahun selepas kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan Tanjung Bungah, yang meragut 11 nyawa buruh binaan di tapak projek perumahan Granito. Punca tanah runtuh di Bukit Kukus masih belum dikenalpasti, namun beberapa isu telah dikaitkan dengan insiden tersebut.

Salah satunya adalah terdedahnya buruh binaanyang berasal dari Myanmar, Indonesia dan Bangladesh kepada bahaya tertimbus hidup-hidup di dalam atau di bawah kontena yang runtuh. Isu keselamatan pekerja menjadi fokus terutama sekali apabila arahan berhenti kerja dikeluarkan di tapak pembinaan ekoran 14 rasuk konkrit tumbang tempoh hari.

Umum mengetahui bahawa pekerjaan di sektor pembinaan adalah suatu pekerjaan yang paling berisiko tinggi dan berbahaya di dunia. Sektor ini mempunyai kadar kecederaan dan kematian yang sangat tinggi. Satu-satunya cara untuk mengurangkan risiko kerja ini adalah dengan memastikan terdapat peraturan untuk menjamin keselamatan buruh-buruh tersebut. Jadi, adakah peraturan untuk memastikan keselamatan buruh-buruh di Bukit Kukus diguna pakai? Adakah kematian mangsa dapat dielakkan?

Kematian buruh-buruh asing ini bukan sahaja menyebabkan keluarga mereka bersedih tetapi juga menyekat pendapatan keluarga mangsa yang bergantung kepada mangsa sebagai sumber pendapatan. Keadaan ini berkemungkinan menjerumuskan keluarga mangsa ke kancah kemiskinan. Siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas nasib keluarga mangsa ini?

Isu ini juga berkait rapat dengan kontroversi penerusan pembangunan di tepi cerun bukit yang mengundang kritikan daripada pelbagai pihak yang terkesan. Kami juga sedar bahawa Penang Forum melalui kumpulan Penang Hills Watch (Pemantau Bukit Pulau Pinang) telah dua kali membangkitkan isu keselamatan akibat daripada penarahan cerun bukit berdekatan kawasan Bukit Kukus kepada kerajaan negeri dan penguatkuasa tempatan.

Pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang memaklumkan bahawa projek ini merupakan pembinaan jalan dan mereka memantau kerja-kerja pembinaan tersebut.

Menurut laporan media, inisiatif kerajaan Pulau Pinang untuk memeriksa setiap tapak pembinaan telah menunjukkan bahawa langkah-langkah untuk mencegah hakisan tanah tidak dilakukan. Seorang jurutera perunding awam yang berpengalaman dengan inisiatif tersebut dilaporkan berkata, “Semua kontraktor di setiap tapak pembinaan gagal mewujudkan langkah-langkah untuk mencegah hakisan tanah.”

Penarahan cerun juga meningkatkan risiko tanah runtuh. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata semasa lawatan beliau di Langkawi. “Nak bawa pembangunan, kita kena kaji betul-betul. Jangan tebang pokok di kawasan bukit, nanti tinggi risiko tanah runtuh.”

Jika garis panduan keselamatan di tapak pembinaan di cerun tidak dipatuhi, dan pihak berkuasa tidak memainkan peranan mereka dengan efektif, pembinaan di cerun tidak harus diteruskan kerana ia tidak menjaminkan keselamatan buruh-buruh binaan yang terlibat.

Justeru itu, Aliran menyeru supaya projek pembinaan rumah atau infrastruktur di cerun bukit dihentikan segera dan semua cadangan pembinaan dan pembangunan di kawasan cerun bukit disemak semula bagi memastikan keselamatan buruh binaan yang terlibat terjamin serta kestabilan cerun dan impaknya terhadap alam sekitar diambil kira.

Nyawa-nyawa yang diragut tidak akan dapat dikembalikan. Oleh itu Aliran menyeru agar sokongan dan pampasan yang sewajarnya diberikan kepada mangsa-mangsa yang cedera serta ahli keluarga mangsa-mangsa yang meninggal di dalam insiden tanah runtuh ini tanpa mengira status mereka yang terlibat (contohnya permit kerja dan lain-lain).

Jawatankuasa eksekutif Aliran
24 Oktober 2018

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of