Pemecatan Kohila: Bank Negara mencabul hak asasi dan kebebasan individu

0
730

Jaringan Rakat Tertindas (Jerit) mengutuk tindakan Bank Negara Malaysia ang telah memecat Kohila Yanasekaran, pengurus di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan juga seorang aktivis hak asasi Jerit.

Kami memandang serius pemecatan ini dan kami berpendirian bahawa pemecatan Komrad Kohila daripada Bank Negaradalah tindakan yang mencabul hak asasi dan kebebasan individu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR).

Latar belakang

Kohila adalah salah seorang aktivis Jerit yang aktif dan mempunyai pengalaman dalam aktivisma selama lebih 20 tahun iaitu sejak dari zaman universiti lagi. Beliau adalah seorang aktivis yang mempunyai rekod dalam mempertahankan hak asasi rakyat yang tertindas seperti pekerja ladang, peneroka bandar, pekerja kilang, Orang Asli dan sebagainya. Pada tahun 2010, beliau juga pernah menjadi salah seorang anggota dalam sekretariat Suaram yang merupakan antara NGO hak asasi manusia yang terulung di Malaysia.

Maka sebelum Kohila menyertai Bank Negara pada tahun 2005, beliau sudah pun aktif. Kohila telah bekerja di Bank Negara selama 12 tahun, bermula sebagai pegawai bank di Jabatan Muzium, Galeri Seni dan Pusat Pengurusan Pengetahuan, Bank Negara Malaysia.

Pada Mei 2010, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai pengurus di Jabatan Muzium dan Galeri Seni. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang staff yang baik dan berdedikasi sehingga boleh dinaikkan pangkat dalam masa lima tahun sahaja, walaupun pada ketika itu pun beliau masih seorang aktivis.

Namun pihak Bank Negara telah memulakan beberapa tindakan untuk menyekat kebebasan asasi individu Kohila walaupun semua aktiviti peribadi beliau dilakukan dimasa sendiri beliau dan langsung tidak ada satu bukti bahawa beliau membuat kerja-kerja ini masa kerja atau menggunakan kedudukan beliau untuk menyerang atau mencemar imej Bank Negara.

Pada tahun 2011, pada masa himpunan Bersih 2, beliau telah diberi surat tunjuk sebab serta diadakan siasatan dalaman kerana menyokong Bersih 2. Namun pada masa itu, beliau dilepaskan dengan amaran keras.

Pada 4 Mei 2017, Kohila telah diberi surat tunjuk sebab oleh Bank Negara bagi tiga tuduhan:

Tuduhan pertama: merayu sokongan untuk Parti Sosialis Malaysia dan ahli parti itu iaitu Dr Nasir (Kota Damansara), Dr Jeyakumar (Sungai Siput), Sarasvathy (Jelapang) dan Arutchelvan (Semenyih) bagi tujuan bertanding di dalam pilihanraya umum ke-13 dibawah logo sendiri melalui satu kenyataan awam bertarikh 12 April 2013 yang bertajuk “Allow PSM to contest under their own banner” yang ditulis dan diterbitkan di dalam laman sesawang Jerit pada 12 April 2013.

Tuduhan kedua: merayu sokongan untuk setiausaha agong PSM iaitu Arutchelvan pada hari penamaan calon bagi tujuan bertanding di dalam pilihanraya umum ke-13 untuk kawasan Semenyih melalui satu kenyataan awam bertajuk “Jerit supports Arul’s candidacy in Semenyih, urges civil socity to show support on nomination day” yang ditulis dan diterbitkan di laman sesawang Jerit pada 17 April 2013.

READ MORE:  Kerugian forex Bank Negara: Mengapa saya tidak dibenarkan hadir siasatan, tanya Anwar

Tuduhan ketiga: berkelakuan tidak sewajarnya (befitting) dengan status puan selaku pegawai bank iaitu dengan menyertai satu perhimpunan awam anjuran PSM yang berlangsung pada 1 Mei 2016 (Hari Buruh) bertema “Utamakan Pekerja, Selamatkan Malaysia”, di mana perhimpunan awam tersebut tidak memenuhi kehendak di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan juga memakai kemeja-T yang mempamerkan antara lainnya perkataan ‘Batal GST” dan logo anti-GST semasa puan menyertai perhimpunan awam tersebut.

Selepas itu, satu prosiding dalaman telah berlangsung pada 30-31 Mei dan 2 Jun 2017. Dalam tempoh lebih kurang sebulan, pada 19 Julai 2017, Kohila telah menerima surat yang menyatakan bahawa beliau didapati bersalah dalam ketiga-tiga tuduhan dan beliau disuruh keluar dari premis Bank Negara dalam masa satu jam sahaja. Rayuan telah dibuat keatas keputusan bank pada 3 Ogos 2017, dimana rayuan tersebut ditolak pada 5 September 2017.

Isu pokok – Pelanggaran kebebasan hak asasi

Bank Negara tidak menghormati hak seorang individu yang dewasa untuk mengamalkan hak seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 4, 5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Hak Asasi Sejagat dan beberapa lagi instrumen hak asasi sedunia.

Berikut adalah limapelanggaran hak manusia yang ketara yang telah berlaku dalam kes pemecatan Kohila.

1. Semua manusia dilahirkan bebas

Perkara 5 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang”.

Perlu ingat bahawa Artikel 4, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang bercanggah dengannya terbatal.

Perkara yang sama juga telah dinyatakan dibawah Artikel 1, Deklarasi Hak Asasi Sejagat (UDHR) yang menyatakan bahawa “semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak-hak”.

Ini bermaksud bahawa Kohila mempunyai segala kebebasan sebagai warganegara Malaysia dan sebagai seorang individu boleh mengamalkan kebebasan hak indvidu untuk melakukan sebarang aktiviti yang sah dibawah undang-undang termasuklah aktiviti semasa waktu tidak bekerja, bersendirian dan semasa cuti umum.

Maka dengan ini, Kohila mempunyai hak untuk mengamalkan kebebasan diri tanpa kebenaran atau pengesahan daripada sesiapa atau mana-mana pihak.

Untuk makluman, Arutchelvan dan Dr Nasir adalah kawan peribadi Kohila dan mereka juga terlibat dalam penubuhan Jerit, maka mengapa hak seseorang individu untuk menyokong mana-mana calon disekat.

Yang lebih aneh adalah Kod Etika Bank Negara 2012 memberikan hak untuk seseorang staff Bank menjadi ahli parti politik. Jika andaikata Jerit atau Kohila memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional, adakah beliau akan diambil tindakan sebegini?

Malah, Perkara 5(1) juga boleh interprestasikan bahawa seseorang itu mempunyai hak untuk mempunyai privasi. Namun, seperti yang dinyatakan dalam tuduhan satu dan juga dalam kertas prosiding dalaman oleh Bank Negara, Kohila telah dipantau dari semasa ke semasa oleh pegawai dari Bank Negara termasuk pada hari berehat dan cuti umum.

Maka, kami berpegang bahawa Bank Negara telah mencabuli kebebasan dan privasi Kohila dan ianya adalah salah dibawah Perlembagaan Persekutuan dan UDHR.

2. Hak kesamarataan

Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang. Artikel 8(1) pula menekankan bahawa:

READ MORE:  Three vital reasons to oppose the TPPA

“Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apaapa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”

Apa yang berlaku pada Kohila adalah diskriminasi kerana latar belakang beliau yang merupakan seorang aktivis hak asasi.

3. Hak untuk berpersatuan

Jika kita melihat pada tuduhan satu dan tuduhan dua adalah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jerit pada tahun 2013. Pihak Bank Negara telah menggunakan kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 2013, yang tidak menunjukkan ianya ditulis oleh Kohila, sebagai salah satu alasan pemecatan beliau. Bank Negara telah membuat satu keputusan yang tidak sah dan tergesa-gesa tanpa sebarang bukti yang kukuh bahawa beliaulah yang telah menulis kedua-dua kenyataan akhbar tersebut.

Jerit adalah sebuah organisasi yang mempunyai aktivis-aktivis sukarelawan yang mempunyai pendirian tentang pelbagai isu-isu rakyat termasuk pilihanraya umum. Kohila, selaku salah seorang aktivis Jerit dan sebagai seorang warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran sivil, mempunyai hak dan kebebasan untuk terlibat dalam mana-mana organisaasi.

Beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang kerana hak berpersatuan diperuntukkan dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Tambahan pula, hak ini juga turut diiktiraf dalam UDHR dalam Perkara 20 dimana “Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan”.

4. Hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman

Tuduhan ketiga adalah merangkumi dua isu yang utama iaitu penyertaan dalam Sambutan Hari Pekerja dan memakai baju Batal GST.

Seperti yang telah dinyatakan diatas, setiap individu mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan seperti yang sedia maklum hak berhimpun ini turut diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman (2012). Perkara yang paling penting ialah pihak Bank Negara tidak mempunyai sebarang bidang kuasa atau pengetahuan untuk mengisytiharkan sesebuah perhimpunan itu haram. Malah, dibawah Akta Perhimpunan Aman, tidak ada provisi yang menyebut tentang perhimpunan haram. Apa yang dilakukan oleh Kohila dalam masa lapang beliau adalah urusan beliau dan ianya tidak kena mengena dengan Bank Negara dan mana-mana individu.

Kedua, isu pemakaian baju Batal GST adalah hak bersuara seseorang kerana memakai baju adalah hak individu dan ianya salah sebuah cara seseorang itu mengeksperasi. Baju itu tidak pernah menjadi isu bagi pihak polis mahupun pihak kerajaan. Maka, ianya juga seharusnya tidak boleh dijadikan sebagai isu oleh Bank Negara. Jika ada seorang kakitangan bank memakai T-shirt – “I love Maybank” atau “I love PM”, adakah beliau juga melakukan kesalahan atau membuat iklan?

Memandangkan pentingnya hak kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman untuk perkara-perkara yang melibatkan kepentingan umum, hak penjawat awam dan pekerja lain untuk  melibatkan diri adalah tidak salah malah ianya dijamin dalam undang-undang.

Sesiapa yang mempraktikan hak mereka seperti dalam undang-undang seharusnya dilindungi bukannya dipecat. Gangguan terhadap hak Kohila, khususnya hak untuk berhimpun dan bersuara, tidak seharusnya berlaku dalam sistem dalam demokrasi.

Maka, Jerit ingin menegaskan bahawa kebebasan bersuara, termasuk kebebasan berhimpun, adalah sebahagian daripada sistem semakan dan imbangan dalam sistem demokrasi dan kedua-dua hak ini termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 dan Artikel 20 UDHR.

READ MORE:  German subsidiary's action in Malaysia amounts to 'union busting', claim 55 groups

5. Hak kesamarataan dalam partisipasi dalam politik dan hal ehwal awam

Hak penglibatan politik dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memajukan tadbir demokratik, kedaulatan undang-undang serta dalam kemajuan semua hak asasi manusia.

Hak untuk secara langsung dan tidak langsung berpartisipasi dalam kehidupan politik dan awam adalah penting dalam memperkasakan individu dan kumpulan, dan merupakan salah satu unsur teras pendekatan berasaskan hak asasi manusia yang bertujuan untuk menghapuskan peminggiran dan diskriminasi.

Hak penyertaan adalah berkaitan dengan hak asasi manusia yang lain seperti hak untuk perhimpunan dan persatuan secara aman, kebebasan bersuara dan pendapat serta hak untuk pendidikan dan maklumat.

Antara cara rakyat Malaysia partisipasi dalam proses politik dan hal ehwal awam termasuk juga melalui pilihan raya dan juga melalui masyarakat sivil. Perkara ini diiktiraf dalam Artikel 21(1) UDHR bahawa, “Setiap orang berhak mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung atau melalui wakil-wakil yang dipilih dengan bebas.”

Maka, Kohila hanya menjalankan tugas beliau sebagai seorang masyarakat sivil dalam masa lapangnya partisipasi dalam hal ehwal awam dan isu-isu kepentingan rakyat. Maka, tuduhan satu hingga tiga adalah sesuatu yang tidak harus berlaku kerana segala hak beliau ada termaktub dalam undang-undang dan undang-undang hak asasi.

Kesimpulan

Maka dengan ini kami dari Jerit dan para pendukung hak asasi yang hadir pada hari ini percaya bahawa sistem undang-undang yang membenarkan pemecatan daripada pekerjaan semata-mata disebabkan oleh kepercayaan seseorang dalam isu kepentingan awam dan isu politik negara telah  melanggari hak asasi manusia, dan mencabul hak seseorang daripada mempraktiskan hak mereka. Pihak Bank Negara telah menyalahgunakan segala kuasa yang  ada pada mereka tanpa  mempertimbangkan dan tanpa menghormati hak asasi manusia.

Pencabulan dan pemecatan yang berlaku keatas Kohila dimana beliau diambil tindakan atas kegiatan beliau dimasa lapang dan aktiviti yang tidak melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia adalah satu trend yang merbahaya, perlu dikutuk dan tidak harus dilaksanakan oleh mana-mana pihak terutamnya sebuah agensi besar dan berpengaruh seperti Bank Negara.

Kebebasan berfikir, berhimpun dan mengeluarkan pandangan adalah hak asasi yang amat penting dalam proses demokrasi negara. Menghalang dan menyekat seseorang individu yang melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini pada masa lapang mereka merupakan satu pencabulan yang amat serius. Bank Negara harus insaf, menarik balik pemecatan dan memastikan perkara ini tidak berlaku lagi.

Dengan ini kami menuntut Bank Negara untuk:

  • membatalkan pemecatan Kohila dan mengambilnya untuk kerja semula pada tahap yang sama.
  • membayar gantirugi untuk pemecatan tidak sah, termasuk gaji bagi tempoh masa tidak kerja, penderitaan emosi, mental dan reputasi.
  • bonus tahun 2016 yang telah ditahan kerana kes disiplin ini.
  • semua kemudahan sebagai staff Bank Negara dikembalikan.
  • semua klausa yang tidak berperlembagaan dalam Kod Etika BNM 2012 termasuk Perenggan 18(3)(d) BNM Code 2012, dibatalkan kerana bertentangan dengan Perkara 10(1)(a), 10(1)(b) dan/atau 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
(Visited 737 times, 5 visits today)
Thanks for dropping by! You are one of an increasing number of readers looking up Aliran for independent analyses and views. We work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to continue the struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. So would you consider making a donation to keep us going - or why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here