Siasat seksaan tahanan di bawah ISA

0
37 views

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai lebih daripada 83 buah organisasi terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik, kesatuan sekerja, badan hak asasi manusia, badan wanita, mahasiswa dan golongan muda, hari ini berasa amat kesal dengan penyeksaan yang didakwa berlaku ke atas tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sekiranya benar, GMI mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan berkenaan serta menuntut siasatan segera dilaksanakan. Kenyataan daripada Syed Ibrahim Syed Nor.


Tahanan yang dimaksudkan tersebut ialah Sanjeev Kumar A/L Krishnan yang telah ditahan di bawah ISA pada 28 Julai 2007 atas tuduhan sebagai ’agen perisik asing’. Beliau mendakwa telah diseksa secara fizikal dan mental oleh pihak polis cawangan khas ketika 60 hari pertama ditahan iaitu antara 28 Julai 2007 hingga 21 September 2007.

Antara penyeksaan yang didakwa dilakukan terhadap tahanan ialah soal siasat berjam-jam dengan ugutan dan tanpa rehat. Diseksa, ditendang dan dibelasah dengan teruk oleh SB di bahagian badan dan kepala samada dengan kaki, objek keras atau botol berisi air. Dipaksa meminum air kencing sendiri selain kemaluan dipukul dan dubur dijolok dengan objek yang keras.

GMI dimaklumkan amalan penyeksaan tersebut telah membawa kesan bertambah buruk kepada tahanan setelah perintah tahanan dilanjutkan untuk dua tahun di bawah Seksyen 8, ISA. Beliau telah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting (Kemta) pada 22 September 2007, selepas 55 hari ditahan.

Beliau mendakwa tidak mendapat rawatan yang sempurna untuk beberapa bulan lamanya hingga mengakibatkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk kehidupan hariannya oleh kerana kaki dan tangan sebelah kiri tidak lagi berfungsi dan lumpuh.

READ MORE:  Edict gesa polis ikut prosedur operasi standard untuk tahanan

Berikutan itu, laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga tahanan pada bulan April 2008. Hari ini, laporan kedua dibuat di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi. GMI membuat laporan polis di atas isu yang sama terhadap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, PDRM dan Kemta.

GMI jelas bahawa insiden penyeksaan ini bukanlah amalan baru oleh pihak polis malah tindakan sistematik untuk memaksa pengakuan palsu daripada tahanan sudah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya seperti mana yang didedahkan oleh bekas-bekas tahanan ISA dan dirakamkan dalam catatan mahkamah. Namun oleh kerana ini kes terbaru yang diketahui, GMI bertanggungjawab untuk mendedahkannya dan menuntut pembelaan.

GMI menuntut supaya siasatan dijalankan dengan segera dan ketiga-tiga pihak tersebut mestilah bertanggungjawab di atas apa yang berlaku termasuk membayar ganti rugi, jika didapati sahih oleh mahkamah, terhadap penderitaan fizikal, mental dan trauma yang dilalui oleh tahanan dan ahli keluarga.

GMI juga menuntut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menyiasat aduan berkenaan dan mengesyorkan langkah tegas supaya perkara yang sama tidak berulang.

Tindakan menahan seseorang tanpa bicara adalah suatu tindakan yang tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Ditahan di bawah ISA sudah merupakan satu kezaliman, apatah lagi diseksa dengan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Tanpa proses mahkamah dan pembuktian yang sebenar di bawah ISA, tidak seperti yang didakwa oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini (beliau kata ISA ada proses mahkamah), ruang untuk salahguna kuasa terbuka luas. Menteri, Kerajaan dan Polis tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini.

Mansuhkan ISA!
Bebaskan Semua Tahanan!
Tutup Kem Tahanan Kamunting!

Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
20 Mei 2008

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments