Rakyat lawan ISA

0
no views

Hassan Karim provides an eye-witness impression of the massive Abolish ISA rally in KL today, during which 589 courageous Malaysians were arrested. 

Kuala Lumpur, 1 Ogos

Dari dalam LRT aku melalui Stesyen Mesjid India. LRT itu berhenti tetapi pintu tidak dibuka. Tiada penumpang yang naik atau dibenarkan turun. Ada pengumuman sebelum itu bahawa LRT tidak berhenti di Stesyen Mesjid Jamek dan Stesyen Bandaraya kerana ada perhimpunan di Dataran Merdeka.

Apabila LRT Star yang aku naiki itu melalui kawasan berhampiran Dataran Merdeka, aku lihat  padang Dataran itu kosong, tak ada manusia. Tidak menghairankan. Kawasan di situ dipenuhi dengan pasukan polis FRU lengkap dengan trak-trak merah mereka yang siap sedia dengan meriam air.

Bagaimanapun LRT itu kemudian berhenti di Stesyen Bandaraya.Pintu kenderaan itu dibuka yang dikatakan sebelum ini tidak boleh turun. Aku segera turun. Aku lihat Jalan Kucing telah dipenuhi sebahagiannya dengan penunjuk perasaan yang berbaju merah dan hitam. Kumpulan yang pertama aku lihat mereka sedang berarak ke arah Mesjid Negara. Kumpulan yang kedua berada di sekitar Kompleks Sogo. Aku turun dan menyertai kumpulan di Kompleks Sogo.

Tidak sampai lima minit berada di situ tembakan gas pemedih mata kedengaran dan sesetengah orang ramai yang berhimpun mencari tempat selamat. Aku melihat pasukan polis memburu rakyat yang berhimpun untuk menyatakan bantahan mereka terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang telah berumur kini hampir 50 tahun.

Kehadiranku pada petang ini dalam perhimpunan mendesak supaya ISA dimansuhkan tidak penting. Sama ada aku datang atau tidak datang, anak-anak muda, aktivis-aktivis yang berani akan tetap menjayakan perhimpunan bersejarah ini untuk mengkuburkan ISA.

READ MORE:  Operation Lalang 33 years later

Aku yang telah agak tua ingin turut sama. Aku ingin sertai detik yang bersejarah ini. Aku tidak mahu malu pada diriku sendiri bersenang-senang di rumah pada hujung minggu sedangkan sebahagian rakyat yang sedar sedang berhempas pulas berdepan polis, gas, gari, tangkapan, undang-undang dan penjara untuk memperjuangkan hak demokrasi dan kebebasan rakyat dengan menentang ISA.

“Jangan lari, ” teriak satu suara. Kemudian kelihatan orang kiri kananku lari. Orang yang berteriak jangan lari itu juga akhirnya lari apabila sebiji canister gas pemedih mata jatuh tak jauh dari kami. Ketika itu aku sedang berada di sebatang jalan antara Kompleks Sogo dengan sebuah bangunan bank berhadapan stesyen LRT Bandaraya.

Aku bukan hero. Jadi akupun turut sama berundur ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman. Hanya aku ingatkan diri sendiri kalau berundurpun mesti ada etika secara terhormat, jangan lari cabut macam seorang penakut. Pengalaman masa muda-muda sewaktu mahasiswa dahulu mengajarku supaya jangan takut sangat pada gas pemedih mata.Tapi kini sudah tua. Aku sentiasa memerhatikan di mana jalan selamat sekiranya diburu FRU.

Aku nampak anak-anak muda sungguh berani. Anak-anak muda  yang ramai di tempat aku berada kelihataan begitu berazam menyatakan bantahan mereka terhadap ISA. Mereka memakai baju-baju sama ada berwarna merah atau hitam yang tertulis dengan kata-kata antara lainnya “ISA Akta Zalim”.Bila diri sudah terasa tua, pada generasi mudalah harapan kita terletak supaya agenda perubahan masyarakat untuk keadilan dan kebebasan diteruskan. Dan aku hadir antara lainnya ialah untuk memberi sokongan kepada anak-anak muda yang berani berdepan polis dan alat negara dalam usaha membantah ISA. Jika esok lusa aku mati, anak cucuku yang dapat membaca tulisan ini akan menyedari bahawa ayah atau datuk mereka pernah berada di atas jalanraya menuntut ISA dimansuhkan.

READ MORE:  Repeal Sosma; ensure justice for all Sosma victims

Perhimpunan menentang ISA di kawasan sekitar Sogo dan kemudian di Jalan Tuanku Abdul rahman ini disertai rakyat pelbagai kaum, peringkat umur. Orang yang berumur 50-an pun macam aku agak ramai. Lelaki dan perempuan. Kebanyakannya semuanya sudah merah mata masing-masing kerana pedih asap gas. Ada seorang muda yang kenal padaku menawarkan garam kepadaku untuk mengurangkan pedih. Aku ucapkan terima kasih, kerana masih boleh bertahan. Sebenarnya aku tak tahu bagaimana hendak menggunakan garam itu.

Tiba-tiba pasukan FRU memburu kami, dan seperti orang lain aku berundur ke lorong belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman iaitu kawasan orang berniaga pakaian, kuih muih dan air. Aku harus berhati-hati supaya tidak terjerumus ke kuali minyak panas yang sedang mengoreng cempedak atau pisang. Aku rasa aku telah tersilap berundur di kawasn sesak seperti itu.

Aku bergerak ke arah Jalan Mesjid India. Kemudian aku lihat sepasukan polis biasa berkaki ayam mengejar seorang pemuda pembantah ISA yang berpakaian t-shirt hitam dengan lambang anti-ISA, berumur lewat 20-an. Aku melihat jam ditangan. Ketika itu pukul 3.05 petang, anak muda Melayu itu diheret oleh polis beruniform biru itu dan disumbat ke dalam kereta proton wira Polis berwarna putih. Aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu pemuda itu walaupun aku seorang peguam. Begitu angkuh polis-polis yang menangkap pemuda itu dan mengherdik orang ramai di kawasan Jalan Mesjid India berhadapan Panggung Collesium.Tepai aku lihat orang ramai tidak takut dengan jerit herdik itu. Orang ramai faham apa yang dibantah ialah ISA.

Dari segi undang-undang atau lebih tepatnya jurisprudence, aku dapat melihat di hadapan mata bagaimana rakyat biasa bangun untuk menentang satu undang-undang yang mereka anggap zalim. Aku dapat menyaksikan bagaimana jentera atau mesin negara dalam bentuk polis sedang menekan suara rakyat. Inilah jentera atau mesin negara dalam bentuk polis atau tentera yang selama ini bersama-sama undang-undang seperti ISA menjadi tunggak untuk sesebuah kerajaan berkuasa.

READ MORE:  Aliran calls on police to respect people’s constitutional rights 

Hari 1 Ogos ini hari yang membanggakanku sebagai rakyat Malaysia. Ternyata kerajaan Barisan Nasional yang telah berkuasa lebih 50 tahun ini dengan dibantu oleh ISA sedang ditentang oleh rakyat jelata. satu waktu dulu hanya parti-parti politik pembankang, para pelajar dan intelektual membantah ISA. Tetapi kini Kuala Lumpur pada petang Sabtu ini hampir lumpuh apabila rakyat bangun bersatu menyatakan bahawa ISA yang telah berumur 50 an itu mestilah dimansuhkan. ISA tidak sesuai lagi dengan dunia sekarang yang rakyat semakin sedar hak kebebasan dan hak demokratik mereka sebagai rakyat dalam sebuah negara Malaysia yang merdeka.  

Penahanan tanpa bicara yang menjadi asas ISA mesti ditentang. Rakyat telah nyatakan tuntutan mereka. Kerajaan BN yang ada sekarang perlu akur. Pindaan sekadar perubahan kosmetik tidak mencukupi. Pemansuhan total ISA adalah tuntutan rakyat.

 

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments