Batalkan skim rawatan swasta di hospital kerajaan

0

Kenyataan akhbar oleh Datuk Seri Chua Soi Lek (The Star, 28 Julai 2007, m/s 16) bahawa skim rawatan swasta untuk pesakit yang boleh membayar ataupun "Full Paying Patient Scheme" (Skim FPP), akan dilaksanakan di Hospital Putrajaya dan Hospital Selayang amat mengecewakan.

Skim rawatan swasta ini mengizinkan pakar-pakar di Hospital Putrajaya dan Selayang mengenakan bayaran terhadap pesakit yang mahu dirawat oleh pakar dengan kadar yang sama dengan caj di hospital swasta.Mengikut Chua, adalah hasrat kerajaan untuk melaksanakan skim ini di hospital kerajaan lain sekiranya projek rintis (pilot project) di kedua-dua hospital ini berjaya. 

Kami, Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK), membantah skim FPP ini kerana:

  • Pada takat ini hanya 30 peratus daripada jumlah doktor pakar di Malaysia masih bertugas di Hospital Kerajaan, manakala 70 peratus daripada jumlah kemasukan pesakit adalah ke hospital kerajaan;

  • Doktor pakar di hospital kerajaan, selain dari menjaga 70 peratus pesakit dalaman di negara, juga bertanggungjawab mengajar dan melatih doktor yang baru (housemen), doktor yang sedang melatih menjadi pakar dan jururawat yang masih berlatih;

  • Pada masa ini, doktor pakar yang sedang bertugas di hospital kerajaan tidak dapat mengawal dengan cukup rapi rawatan pesakit biasa di wad-wad hospital kerajaan kerana beban kerja doktor pakar kerajaan adalah terlalu tinggi. Ini telah menyebabkan kemerosotan mutu perkhidmatan bagi pesakit biasa di hospital kerajaan.  

  Dalam keadaan seperti ini, perlaksanaan skim yang membenarkan doktor pakar  mencajkan pesakit swasta akan mengurangkan lagi perhatian doktor pakar kerajaan terhadap pesakit biasa di hospital kerajaan. Minat doktor pakar dalam memberi bimbingan dan latihan kepada doktor yang sedang berlatih di bawah mereka juga akan disekat. Doktor pakar kerajaan juga akan merebut untuk berkhidmat di bandar-bandar besar kerana hanya di bandar besar terdapat golongan kaya yang boleh memohon rawatan swasta di hospital kerajaan. Kepentingan pesakit biasa akan dipinggirkan oleh skim ini. 

READ MORE:  Malaysia - a nation once blessed now struggles to find its way

Kami, GMPPK, setuju dengan hasrat kerajaan meningkatkan pendapatan doktor yang berkhidmat di perkhidmatan kesihatan awam. Tetapi Skim FPP ini mengorbankan kepentingan dan keselamatan pesakit biasa di hospital kerajaan.

Badjet perkhidmatan kesihatan adalah lebih kurang RM10 bilion setahun pada tahun 2006. Jumlah keuntungan Petronas mencakar RM 60 bilion setiap tahun. Apakah salahnya jika RM1–2 bilion dari wang rakyat ini digunakan untuk melaksanakan suatu skim gaji yang lebih baik untuk doktor, jururawat dan kakitangan lain dalam perkhidmatan kesihatan awam?

GMPPK telah mengesyorkan penubuhan suruhanjaya perkhidmatan baru khas untuk kakitangan perkhidmatan kesihatan supaya gaji yang lebih menarik dapat ditawar. Skim gaji seperti diperolehi oleh kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) harus dilaksanakan untuk semua kakitangan kerajaan. Langkah ini akan mengurangkan penghijrahan doktor daripada hospital kerajaan dan akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan di hospital-hospital kerajaan. Malangnya hingga sekarang Kerajaan BN tidak menunjuk kewibawaan politik untuk melindung dan memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan awam Malaysia.

Sistem kesihatan awam yang bermutu tinggi adalah suatu tiang utama dalam mewujudkan masyarakat penyayang di negara kita. Jika kerajaan kita gagal mengambil berat terhadap perkara ini, sudah tibalah masanya untuk rakyat Malaysia mengingatkan pemimpin politik kita bahawa rakyat Malaysia tidak akan terima skim-skim yang menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan awam kita.

Jikalau Skim FPP tidak ditangguh, GMPPK akan melancarkan suatu kempen nasional untuk membawa perkara ini ke perhatian orang ramai. Kebajikan anak dan cucu kita semua terancam jika kita tidak membantah cadangan yang akan melemahkan lagi sistem perkhidmatan kesihatan awam.

Dr Subramaniam Pillay

Pengerusi

Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan

7 Ogos 2007

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.