
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor untuk mengumumkan secara rasmi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah lebih awal.
Ini bagi memastikan semua pihak yang terlibat, terutama pengundi Sabah yang berada di luar Sabah untuk bekerja atau belajar, agar dapat membuat persiapan dan merancang perjalanan pulang ke Sabah bagi menunaikan hak mereka untuk memilih tampuk kepimpinan kerajaan Sabah.
Pengumuman awal mengenai tarikh pembubaran dewan undangan negeri juga secara berkesan akan memberikan masa yang mencukupi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, pihak polis dan pihak berkuasa yang terlibat untuk membuat persiapan logistik dan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.
Selain itu, ia juga akan membantu semua pihak yang ingin bertanding dalam pilihan raya membuat persiapan agar kempen berjalan secara adil dan saksama.
Pada pilihan raya umum negeri Sabah pada tahun 2020, peratusan turun mengundi hanyalah sekitar 66% sahaja.
Menurut dapatan daripada Institut Darul Ehsan (IDE), pilihan raya umum 2022 pula menyaksikan peratusan turun mengundi yang rendah bagi anak muda di bawah umur 30 tahun, iaitu 56% (pengundi berumur 18-24 tahun) dan 54.4% (pengundi berumur 25-30 tahun).
Bersih sendiri di dalam laporan pemantauan pilihan raya 2022, melaporkan bahawa hanya sejumlah 20 daripada 925 orang pelajar Sabah yang belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) yang dapat pulang mengundi di dalam pilihan raya umum 2022.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Malah, menurut kenyataan daripada pengerusi majlis pimpinan negeri PKR Sabah dan merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud, terdapat 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di semenanjung Malaysia.
Jumlah ini bukanlah jumlah yang kecil dan kerajaan negeri Sabah perlu mengambil kira keperluan pengundi-pengundi Sabah yang berada di luar Sabah untuk menjalankan tanggungjawab demokratik mereka.
Ketiadaan tarikh yang jelas akan menyukarkan pengundi luar merancang perjalanan mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu menempah tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan harga yang terlampau tinggi. Tiket penerbangan boleh mencecah ribuan ringgit. Ramai daripada mereka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi kerana kos perjalanan yang tinggi serta kekangan cuti bekerja atau belajar.
Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi dan tidak mengabaikan hak politik rakyat Sabah yang berada di luar negeri.
Kami menegaskan bahawa hak mengundi adalah hak asasi setiap warganegara, dan sebarang halangan kepada akses pengundian mesti diminimumkan.
Bersih juga menyeru semua pihak, termasuk masyarakat sivil dan parti politik, untuk bersama-sama mendesak agar pilihan raya negeri Sabah kali ini lebih telus dan inklusif, dengan memastikan akses yang lebih baik kepada semua pengundi tanpa diskriminasi. – Bersih
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme