Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengambil maklum laporan media berkaitan kenyataan Timbalan PM Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno, dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga setiausaha agung DAP, berhubung pilihan raya negeri mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Selain tiga buah pilihan raya negeri ini, Sarawak juga bakal mengakhiri tempoh penggalnya tersendiri bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
Sehubungan itu, jika benar pilihan raya negeri bakal berlangsung dalam masa terdekat, Bersih menggesa menteri besar dan ketua menteri bagi ketiga-tiga buah negeri tersebut, termasuk premier Sarawak kelak, untuk mengumumkan secara rasmi tarikh pembubaran dewan undangan negeri masing-masing dengan lebih awal.
Langkah ini amat penting bagi memastikan semua pihak yang terlibat, khususnya pengundi yang berada di luar negeri atau wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak, atau sebaliknya, terutama atas urusan pekerjaan atau pengajian, dapat membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan pulang ke negeri masing-masing lebih awal bagi menunaikan hak perlembagaan mereka di peti undi kelak.
Pengumuman awal ini bukan sahaja memberi kejelasan kepada pengundi dan rakyat, malah membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak keselamatan, serta agensi-agensi berkaitan dapat membuat persediaan logistik dan kawalan keselamatan secara teratur.
Dalam masa yang sama, ia juga memberikan ruang yang adil kepada semua parti dan calon yang ingin bertanding untuk membuat persiapan awal, sekali gus memastikan kempen pilihan raya berlangsung dalam suasana yang lebih tersusun, adil dan saksama.
Bersih ingin mengingatkan bahawa cabaran logistik dan kos perjalanan kekal menjadi halangan utama kepada pengundi luar untuk pulang mengundi. Ketiadaan tarikh pembubaran dewan negeri yang jelas akan terus menyukarkan mereka merancang perjalanan, khususnya dalam keadaan kos tiket penerbangan dan pengangkutan yang naik mendadak sekarang disebabkan konflik dunia semasa.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Sekali lagi Bersih ingin menegaskan bahawa hak mengundi adalah hak asasi setiap warganegara yang mesti dilindungi dan dipermudah. Sebarang halangan kepada akses pengundian perlu diminimumkan, termasuk ketelusan dalam pengumuman tarikh pembubaran dewan ini.
Bersih turut menyeru semua parti politik, khususnya parti atau gabungan yang membentuk kerajaan di peringkat negeri, untuk memaklumkan lebih awal sebarang perancangan berkaitan pilihan raya negeri ini.
Rakyat dan pengundi merupakan pemegang taruh terbesar dalam sistem demokrasi dan tidak wajar dipinggirkan dalam sebarang pertimbangan politik.
Bersih mengulangi pendirian bahawa mana-mana kerajaan yang memegang tampuk kuasa harus meletakkan kepentingan rakyat mengatasi pertimbangan politik kepartian.
Ketelusan dalam menentukan tarikh pembubaran dewan adalah asas penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi yang telus, adil dan berintegriti. – Bersih
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


