Tidak wajar dipenjarakan hanya sebab kritik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merujuk kepada laporan berita yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah telah disabitkan kesalahan kerana menghina mahkamah.

Maria telah dihukum penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana kenyataan beliau pada 5 September 2018 bertajuk “Wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang Syariah”.

Maria mengeluarkan kenyataan untuk memberi komen terhadap keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isteri seorang ahli perniagaan kerana mengubah tarikh lawatan anak-anak beliau untuk berjumpa ayah mereka.

Bersih sentiasa berpendirian bahawa kritikan terhadap mana-mana institusi negara dengan fakta dan secara intelektual tidak wajar dikenakan hukuman walaupun kritikan tersebut dianggap kasar.

Kritikan kepada sistem sistem perundangan termasuk perundangan syariah adalah perkara yang termasuk dalam kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dianggap sebagai satu penghinaan kepada undang-undang tersebut. Sebaliknya kritikan sewajarnya dialu-alukan demi menambahbaik proses menjatuhkan hukuman dan mendapatkan keadilan.

Malah kebebasan untuk bersuara dan mengkritik sebenarnya mempunyai contoh dalam sejarah dan sirah Islam. Dr Ahmed Raissouni, ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dalam makalahnya Al-Ummah Hiya Al-Aslu atau diterjemahkan sebagai Kuasa Rakyat, menyatakan kebebasan bersuara adalah termasuk dalam keutamaan syariah dan tujuannya (aulawiyyat asy-syariah wa maqasiduha).

Malah terdapat juga anjuran di dalam hadis seperti riwayat Abu Daud, “Berkata benarlah di hadapan pemerintah yang zalim”. Semua ini menunjukkan kritikan terhadap sesuatu perkara sekiranya mempunyai asas dan dibuat secara berhemah adalah dibenarkan serta tidak sepatutnya dilihat sebagai penghinaan.

Bersih berpandangan hanya dengan kebebasan bersuara yang disertai tanggungjawab dan dibuat dengan fakta atau sekadar mempersoalkan sesuatu keputusan institusi negara tidak seharusnya dihukum apatah lagi dipenjarakan. Sesuatu hukuman itu hendaklah dibuat berlandaskan keadilan sebagaimana anjuran surah al-Maidah ayat kelapan:

“…dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu golongan membuatmu berlaku tidak adil…”

– Bersih



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments