Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai bahawa kawasan dewan undangan negeri dan parlimen untuk mengundi telah diubah berbanding pada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang lepas.
Terdapat dua pemilih di Sabah telah diubah kawasan dewan undangan negeri dan parlimen mereka. Pada pilihan raya umum 2018 dan pilihan raya negeri Sabah yang lepas, mereka telah mengundi di kawasan parlimen Tawau dan dewan undangan negeri Sri Tanjung; namun mereka mendakwa telah diubah ke kawasan parlimen Kalabakan dan kawasan dewan undangan negeri Merotai.
Selain itu, naib-ketua cabang Keadilan Batu Rozan Azen Mat Arip juga telah mendakwa empat pengundi di cabang mereka telah ditukarkan ke kawasan parlimen Gombak, Wangsa Maju dan Kepong.
Berdasarkan Seksyen 12A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, sekiranya seseorang pemilih ingin menukar tempat pengundian, mereka hendaklah memohon kepada pendaftar SPR atau penolong pendaftar dengan mengisi Borang A untuk menukar alamat. Namun daripada siasatan kami, pemilih tersebut tidak pernah memohon pertukaran tempat pengundian.
Bersih mempersoalkan tindakan polis yang telah menangkap dan menggari Rozan bagi menyiasat beliau di bawah Seksyen 282 Kanun Keseksaan. Apakah alasan penahanan Rozan apabila beliau hanya membantu pengundi untuk menyemak status dan tempat pengundian mereka?
Sekiranya wujud penukaran tempat pengundian tanpa kebenaran pengundi, pihak polis sepatutnya menyiasat dalang di sebalik penukaran tersebut dan bukannya menangkap pengadu.
Bersih juga mendesak pihak SPR untuk segera menjelaskan perubahan yang berlaku tanpa keizinan pengundi. Ketidakjelasan dalam proses dan perubahan yang tidak dimaklumkan akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada SPR malah lebih berbahaya terhadap proses pilihan raya itu sendiri. – Bersih
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme