Reformasi pelantikan SPRM, tubuh siasatan bebas segera

Image: Berita Daily

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merujuk kepada titah Agong kepada Royal Press Office pada 23 April.

Baginda telah bertitah bahawa baginda akan menentukan calon baharu yang akan menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bersih berpandangan bahawa mana-mana institusi negara ini perlu kembali kepada Perlembagaan Persekutuan, perundangan yang berkaitan serta semangat menambahbaik proses agar selari dengan prinsip keadilan, ketelusan dan demokrasi.

Bersih berpandangan bahawa proses lantikan jawatan awam yang utama seperti ketua pesuruhjaya SPRM, yang mempunyai kuasa besar untuk menyiasat dan mendakwa kes-kes rasuah dan pecah amanah, perlu dilakukan melalui proses yang telus, bebas dan berlapis agar tidak ada mana-mana pihak boleh secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi atau mempergunakan institusi penguatkuasaan sebagai senjata terhadap mana-mana pihak.

Ini adalah langkah pencegahan pertama agar institusi ini benar-benar melindungi kepentingan rakyat dan negara.

Bersih berpandangan bahawa titah baginda adalah terkhilaf dengan peruntukan yang ada di bawah undang-undang, terutamanya Akta SPRM 2009. Seksyen 5(1) Akta ini menyatakan bahawa ketua pesuruhjaya SPRM hendaklah dilantik oleh Agong atas nasihat perdana menteri. Agong boleh melantik calon atau calon-calon ketua pesuruhjaya SPRM yang dinamakan dan dinasihatkan oleh perdana menteri.

Ia juga selaras dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa dalam menjalankan fungsinya, Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

Walau bagaimanapun, rentetan peristiwa politik sejak sekian lama menunjukkan bahawa proses yang sedia ada untuk melantik ketua pesuruhjaya SPRM adalah bermasalah. Tidak ada sebarang ketelusan dan mekanisme yang jelas dan terbuka bagaimana calon-calon ketua pesuruhjaya ini dipilih, ditapis dan akhirnya dilantik. Hal ini membuka kepada pelbagai tafsiran dan persepsi bahawa SPRM akan dikawal oleh kuasa eksekutif, terutamanya perdana menteri.

READ MORE:  MACC confirms it is investigating alleged RM2.5bn money-laundering scheme

Sehubungan itu, Bersih mencadangkan supaya proses lantikan ketua pesuruhjaya SPRM dibuat secara berlapis, melalui jawatankuasa parlimen sebelum dihantar kepada perdana menteri untuk dipersembahkan kepada Agong bagi proses lantikan. Proses melalui jawatankuasa parlimen akan mewujudkan elemen ketelusan agar rakyat dapat memahami rasional di sebalik sesuatu lantikan.

Selain itu, proses ini juga akan mengelakkan institusi diraja tercemar dengan isu-isu politik yang sering terkait dengan cabang eksekutif, terutamanya perdana menteri.

Walaupun terdapat beberapa laporan media yang memberi isyarat bahawa kontrak Azam Baki berkemungkinan tidak akan disambung, namun tuntutan Bersih masih jelas iaitu proses siasatan terhadap beliau dan tuduhan mafia korporat tidak wajar tergantung begitu sahaja tanpa ada tindakan yang konkrit daripada kerajaan.

Bersih sekali lagi menggesa agar satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan mafia korporat di dalam SPRM serta menyiasat secara telus, bebas dan terbuka semua pihak yang terlibat, sama ada penjawat awam, ahli perniagaan mahupun menteri atau perdana menteri. Ini sahajalah jalan untuk menebus imej SPRM yang ditarik jatuh oleh Azam.

Bersih sebagai rakyat mengharapkan kebijaksanaan Agong sebagai payung negara untuk melindungi rakyat dan institusi demokrasi selaras dengan prinsip raja berperlembagaan, agar negara kita menjadi negara yang demokratik dan maju. – Bersih, 23 April 2026

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted