Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah menjalankan pemantauan menyeluruh sepanjang pilihan raya kecil Ayer Kuning bagi kerusi negeri yang berlangsung pada 26 April lalu.
Hasil dapatan daripada pemerhatian ini telah didokumentasikan dan digunakan untuk menghasilkan sebuah laporan. Berikut dapatan laporan kami.
Dari segi aspek teknikal, perjalanan pilihan raya dilihat berjalan dengan lancar, teratur dan bebas daripada sebarang insiden besar yang mengganggu proses pengundian.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi, manakala petugas-petugas di pusat pengundian memberi kerjasama yang baik terhadap pemerhati kami.
Aksesibiliti pusat pengundian turut menunjukkan perkembangan positif, terutamanya dari segi penyediaan kemudahan asas untuk pengundi warga emas dan orang kurang upaya secara langsung membolehkan mereka mengundi dengan lebih mudah dan bermaruah.
Walau bagaimanapun, di sebalik pencapaian ini, pemerhatian kami turut mendedahkan beberapa isu utama yang memerlukan reformasi yang segera.
Pertama ialah isu penyalahgunaan jentera dan sumber kerajaan semasa tempoh kempen, yang masih berlaku dengan ketara dan berulang. Kami merekodkan sekurang-kurangnya lapan insiden di mana kementerian, agensi kerajaan dan menteri menggunakan platform rasmi serta kemudahan awam untuk berkempen secara langsung dan tidak langsung.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Fenomena ini memberi kelebihan tidak wajar kepada calon atau parti kerajaan semasa. Walaupun kami tidak menafikan kepentingan pembangunan dan bantuan untuk kesejahteraan sosioekonomi rakyat, ia sebaiknya tidak patut dilakukan sewaktu tempoh pilihan raya.
Selain itu, pemerhatian kami turut mendapati yang aktiviti berkempen pada hari pengundian masih lagi berleluasa. Pemerhati kami dapat mengenal pasti aktiviti-aktiviti seperti pembukaan barung atau meraih undi berlaku di hampir semua pusat pengundian.
Isu ini mencetuskan kitaran salah laku yang berulang, di mana parti-parti yang bertanding terdorong untuk turut berkempen demi melawan tindakan pesaing politik masing-masing.
Isu ketiga yang kami kenal pasti ialah berkaitan dengan akses pengundian. Peratusan keluar mengundi hanya mencatatkan sebanyak 58.1%, iaitu jauh lebih rendah daripada sasaran SPR sebanyak 70%. Antara faktor yang mungkin menyumbang kepada peratusan ini ialah keletihan politik, notis pilihan raya yang terlalu singkat, serta kesukaran logistik bagi pengundi luar kawasan.
Justeru itu, laporan kami mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan.
Pertama sekali, kami menekankan keperluan mendesak untuk meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 agar selari dengan tuntutan semasa, terutamanya dengan memperkenalkan peruntukan khusus terhadap penyalahgunaan sumber kerajaan, memperkemas definisi kesalahan pilihan raya, serta memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan.
Tiba masanya satu undang-undang yang jelas perlu diperkenalkan oleh “kerajaan Madani” bagi menjadikan penggunaan sumber dan jentera kerajaan semasa tempoh pilihan raya sebagai satu kesalahan pilihan raya serta dihukum dengan hukuman yang tegas.
Pada masa yang sama, kami menyeru agar SPR memperluas akses pengundian melalui kaedah seperti undi awal dan undi pos untuk pengundi luar kawasan, serta mempertimbangkan pembukaan pusat undi awal mega di setiap negeri.
Perkara ini menjadi lebih mendesak dalam konteks pilihan raya negeri Sabah yang bakal menjelang. Lokasi geografi yang jauh dan kos perjalanan yang tinggi akan memberi cabaran tambahan kepada pengundi Sabah yang kini berada di semenanjung.
Bersih sekali lagi menggesa agar kerajaan menumpukan kembali terhadap isu reformasi pilihan raya bagi memperkasakan undang-undang yang sedia ada untuk menutup lompong-lompong yang wujud terutamanya dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Pilihan raya yang bersih dan adil akan membuka ruang demokrasi yang lebih baik kepada rakyat serta menatijahkan persaingan politik yang sihat antara calon-calon. – Bersih
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme