Bersih 2.0: Perutusan Aidilfitri 2015

0

Bersih 2.0 turut berharap supaya rakyat Malaysia dapat mengekalkan semangat muhibbah di musim perayaan ini dan menolak politik perkauman sempit.

Tidak ada berita gembira mengiringi minggu terakhir Ramadan tahun ini. Tajuk-tajuk berita utama sarat dengan khabar yang meresahkan. Daripada rusuhan, penipuan, rompakan harta rakyat, korupsi dan ancaman perkauman; negara menyambut Aidilfitri dengan rasa hiba dan celaru.

Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) resah dan bimbang dengan kejadian hujung minggu lalu apabila sekumpulan orang telah merusuh di Plaza Low Yat dan mengakibatkan ramai yang cedera; hanya kerana perkelahian membabitkan telefon bimbit.

Namun apa yang lebih meresahkan ialah apabila pihak keselamatan mengambil masa lebih lima jam untuk meleraikan kekecohan tersebut, sedangkan kejadian berlaku begitu hampir dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah.

Bersih 2.0 masih ingat bagaimana pantasnya gerak kerja pihak polis dalam meleraikan perhimpunan-perhimpunan aman beberapa kali sebelum ini; di mana para peserta berhadapan tindakan ganas pihak polis meski hadir membawa mesej perubahan dan tanpa senjata.

Bersih 2.0 melihat ‘Rusuhan Low Yat’ sebagai mukadimah kepada peranan keganasan dalam mencatur demokrasi. Sikap sambil lewa pihak keselamatan dalam menangani keganasan yang dibiar melarat berjam-jam dengan api perkauman adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

Tindakan terpilih oleh pihak polis memungkinkan melaratnya trend keganasan secara tidak terkawal. Kita telah melihat bagaimana kumpulan-kumpulan seperti Perkasa dan yang seangkatan dengannya telah berkali-kali mengadakan demonstrasi-demonstrasi ganas di pejabat-pejabat kerajaan dan parti-parti pembangkang tanpa diambil sebarang tindakan.

Bersih 2.0 menegaskan bahawa keselamatan orang ramai tidak menjadi korban kelalaian pihak polis mahupun sebarang rancangan jahat untuk memberi ruang kepada keganasan.

READ MORE:  Forum: Kecuaian polis, tahanan sengsara

Bersih 2.0 turut berharap supaya rakyat Malaysia dapat mengekalkan semangat muhibbah di musim perayaan ini dan menolak politik perkauman sempit yang sering digunakan untuk melaga-lagakan sesama kita demi mengalihkan perhatian kita daripada isu-isu yang lebih besar seperti skandal kewangan 1MDB dan yang sewaktu dengannya.

Bersih 2.0 yakin bahawa majoriti rakyat Malaysia mempunyai aspirasi dan cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menuturkan bahasa kebenaran, menghirup udara kebebasan di tanah air tanpa penindasan; di mana masyarakatnya hidup saling faham-memahami dalam kemakmuran.

Bersih 2.0 mempertegas saranan kami bahawa kesemuanya itu boleh dicapai melalui penambahbaikan institusional di semua peringkat. Terutamanya melalui sebuah sistem pilihanraya yang bebas dan adil, badan Parlimen yang berfungsi serta terhentinya korupsi.

Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini, Bersih 2.0 menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf andai ada yang terkasar bahasa dan terlepas kata.

Bersih 2.0 juga dengan rendah hati berharap agar rakyat Malaysia semuanya bersedia, andainya sekali lagi kita perlu turun ke jalan raya bagi mendesak perubahan di negara tercinta.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.