Pemfailan kes mahkamah oleh 10,000 pengundi Selangor

0
Source: freemalaysiatoday.com

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama dengan pengundi-pengundi dan pihak-pihak berkepentingan di Selangor telah memfailkan dua kes baru di mahkamah untuk mencabar proses persempadanan semula yang masih sedang berlangsung.

Dua kes tersebut adalah:

(1) Ivy Josiah & tiga lagi pemohon vs Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia – kes ini difailkan pada 8 Mac 2018, iaitu sebelum SPR menyerahkan laporan akhir persempadanan kepada perdana menteri.

(2) Maria Chin & 106 lagi pemohon vs Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, dan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat – kes ini difailkan pada 20 Mac 2018, iaitu selepas SPR menyerahkan laporan akhir persempadanan kepada perdana menteri.

Setiap pemohon kes merupakan wakil sekumpulan 100 lebih pengundi yang telah mengemukakan representasi bantahan kepada SPR semasa pameran syor kedua persempadanan semula Selangor yang telah dijalankan pada 15 Januari – 14 Februari 2018. Oleh itu, kes ini dibawa bersama oleh 10,000 lebih pengundi di Selangor dari 11 kawasan pilihanraya parlimen dan 17 kawasan pilihan raya Dun.

Kegagalan mengadakan siasatan tempatan kedua untuk pengundi-pengundi

Siasatan tempatan kedua persempadanan semula untuk Selangor telah diadakan pada 26 Februari 2018 – 1 Mac 2018. Kes ini difailkan kerana SPR gagal mengadakan sesi siasatan tempatan untuk kumpulan-kumpulan dalam kes ini walaupun mereka telah menghantar representasi bantahan.

Keengganan dan kegagalan SPR untuk mengadakan siasatan awam untuk kumpulan-kumpulan pengundi ini merupakan satu rekod terburuk yang baru oleh SPR, kerana mereka kini mahu menafikan hak asas 10,000 lebih pengundi untuk didengar. Sesi siasatan awam merupakan hak yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan.

Malah, SPR bersikap angkuh dan tidak bertanggungjawab kerana langsung tidak memaklumkan status representasi atau sesi siasatan awam mereka walaupun kami telah menghantar dua surat pertanyaan rasmi kepada SPR pada 28 Februari dan 12 Mac 2018.

Ketidaksahan laporan akhir persempadanan semula

Pada 9 Mac 2018, kami mendapat tahu melalui siaran media SPR bahawa mereka telah menyiapkan urusan kajian persempadanan semula dan laporan akhir telah dikemukakan kepada perdana menteri untuk dibentangkan di Parlimen.

Jika perdana menteri membentangkan laporan akhir persempadanan semula di parlimen, dan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat membenarkannya, ia adalah tidak sah kerana siasatan tempatan kedua untuk Selangor masih belum disiapkan oleh SPR.

Maka, kes-kes yang difailkan ini juga memohon perintah penggantungan (stay order) terhadap pembentangan dan/atau apa-apa perbincangan dan/atau perbahasan dan/atau pengundian di Parlimen mengenai laporan akhir persempadanan semula.

Hentikan manipulasi melalui persempadanan semula

Sehingga hari ini, lebih kurang 20 kes mahkamah telah difailkan oleh pelbagai pihak untuk mencabar isu persempadanan semula, tetapi persoalan-persoalan pokok mengenai pembahagian tidak sekata (malapportionment) dan gerrymandering masih belum terjawab oleh SPR ataupun mahkamah.

Di dalam sistem demokrasi, badan kehakiman memainkan peranan penting dalam menyemak dan mengimbang (check and balance). Ini termasuk memastikan tindakan kerajaan, Parlimen, dan badan-badan berkanun seperti SPR adalah selaras dengan undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam isu persempadana semula, mahkamah enggan membenarkan cabaran terhadap isu-isu tersebut kerana berpendapat bahawa keputusan akhir mengenai persempadan adalah di dalam bidang kuasa Parlimen.

Ini sekaligus memberi kekebalan (immunity) terhadap SPR untuk mencadangkan apa-apa sahaja walaupun bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Di Parlimen pula, perdana menteri dan Barisan Nasional sudah tentu akan menggunakan majoriti mereka untuk memanipulasi dan meluluskan persempadanan semula demi menjamin kemenangan mereka dalam pilihan raya yang akan datang.

Bersih 2.0 mengulangi bantahan tegas kami terhadap tindakan SPR dan perdana menteri yang tergesa-gesa untuk meluluskan persempadanan semula tanpa menghormati proses dan prinsip-prinsip di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penyalahgunaan kuasa SPR dan perdana menteri dalam isu persempadanan semula tidak akan dilupakan. Pengundi-pengundi akan memastikan mereka akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan memanipulasi persempadanan pilihan raya di Malaysia.

Bersih 2.0 menyeru kepada rakyat Malaysia untuk keluar mengundi beramai-ramai kerana peratusan mengundi yang tinggi adalah langkah terakhir untuk mengalahkan manipulasi sempadan pilihan raya ini.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0
21 Mac 2018

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments