SPR – nak seribu daya, tak nak seribu dalih

0
File photograph: Malay Mail Online

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada kenyataan Mohd Hashim Abdullah, pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) (pada 27 September 2017), yang menolak tuntutan Bersih 2.0 untuk melaksanakan sistem pengundian awal untuk pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja dan menetap di Semanjung Malaysia, dan sebaliknya.

Memudahkan pengundi melaksanakan hak mereka

Pengerusi SPR menyatakan bahawa sistem ini tidak boleh diterima kerana jika “keistimewaan” diberi kepada pengundi Sabah dan Sarawak, maka ia perlu diberi kepada semua pengundi seperti di Kelantan dan Terengganu. Beliau turut menyatakan bahawa mereka boleh mengambil cuti dan pulang untuk mengundi.

Bersih 2.0 mengingatkan SPR bahawa objektif cadangan ini bukan untuk memberi “keistimewaan” kepada mana-mana pihak, tetapi adalah untuk memudahkan pengundi untuk melaksanakan hak mengundi mereka.

Konteks pengundi Sabah dan Sarawak adalah berlainan dengan keadaan di Semenanjung Malaysia, di mana kos untuk pulang mengundi di Sabah dan Sarawak adalah jauh lebih tinggi. Ia melibatkan kos penerbangan dan juga pengangkutan tempatan ke kampung, yang boleh mencecah ribuan ringgit dan mengambil masa beberapa hari. Ini adalah berlainan dengan keadaan di Semenanjung Malaysia kerana kos dan waktu perjalanan untuk pulang adalah dalam lingkungan yang munasabah.

Hakikatnya, bukan semua pengundi Sabah dan Sarawak adalah dari kalangan berada seperti Pengerusi SPR, yang mampu mengeluarkan ribuan ringgit dan mengambil cuti untuk pulang mengundi.

Selain itu, kebanyakan pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia tidak mahu menukar kawasan mengundi mereka ke semenanjung dan masih mahu mengundi di kampung halaman kerana mereka mempunyai pertalian tempatan yang kuat dengan Sabah dan Sarawak. Mereka masih mempunyai keluarga di sana dan sering pulang, dan oleh itu ingin menyumbang undi mereka untuk kawasan asal mereka.

Pemindaan Perlembagaan Persekutuan diperlukan?

Pengerusi SPR turut menyatakan bahawa sistem pengundian awal ini tidak boleh dilaksanakan kerana memerlukan pemindahan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti due pertiga di Parlimen.

Ini adalah tidak benar kerana SPR sekadar perlu meminda peraturan-peraturan pilihan raya sedia ada yang sememang adalah di bawah bidang kuasa SPR, khasnya Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Sebagai contoh, SPR telah memperkenalkan sistem pengundian awal dan pengundian pos luar negara pada pilihan raya umum yang lepas tanpa perlu memindakan perlembagaan. Oleh itu, mengapa pula pengundian awal untuk pengundi Sabah dan Sarawak kini memerlukan pemindaan perlembagaan?

Pembaharuan sistem pilihan raya secara menyeluruh

Selain tuntutan pembaharuan sistem pengundian luar kawasan untuk pengundi Sabah dan Sarawak, Bersih 2.0 turut menuntut pembaharuan sistem pilihan raya secara menyeluruh. Ini adalah ekoran daripada pengalaman-pengalaman lepas di mana pilihan raya telah berlangsung secara tidak adil.

Tuntutan-tuntutan Bersih 2.0 adalah hasil konsultasi dengan pelbagai pihak, dan telah dikemukakan kepada SPR pada 16 Mei 2017 melalui satu memorandum yang berjudul “Tuntutan Bersih 2.0: Penambahbaikan pilihan raya bagi pilihan raya umum ke-14”. Memorandum tersebut telah memperincikan langkah-langkah segera yang perlu diambil untuk memastikan pilihanraya umum ke-14 adalah bersih dan adil.

Senarai dan penjelasan penuh tentang tuntutan Bersih 2.0 boleh diteliti di laman ini. 

Khasnya untuk isu pengundi tidak hadir domestik, Bersih 2.0 mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa tuntutan menyeluruh kami ialah:

  • pemansuhan pengundian pos untuk pengundi yang berada di dalam negara, dan digantikan dengan sistem pengundian awal;
  • kelayakan sebagai pengundi tidak hadir hanya diberikan kepada anggota tentera dan polis, orang awam yang bertugas (terhad kepada tugas-tugas berkaitan dengan pilihan raya pada hari mengundi), dan pengundi yang di luar wilayah (iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah, atau Sarawak) pada hari mengundi;
  • semua pengundian awal akan berlangsung satu hari sebelum hari mengundi;
  • ejen pengundian, ejen pengiraan, dan ejen barong (Pacaba) harus diberi akses bebas kepada semua pusat mengundi awal;
  • Pengiraan kertas undi dijalankan di pusat mengundi selepas tamatnya waktu pengundian awal. Penyata keputusan kemudiannya dihantar kepada pusat pengiraan undi;
  • semua pengundian awal domestik harus dijalankan di pusat mengundi awam seperti sekolah atau dewan, bukannya di kem tentera atau polis; dan
  • Daftar pemilih yang diwartakan perlu menandakan status pengundi yang merupakan pengundi awal. Nombor kad pengenalan awam dan nombor kad pengenalan tentera/polis perlu disenaraikan bersama dalam daftar pemilih.

Nak seribu daya, tak nak seribu dalih

Bersih 2.0 mengingkatkan Mohd Hashim dan SPR bahawa isu pengundi luar kawasan untuk pengundi Sabah dan Sarawak bukanlah suatu perkara yang baru. Tuntutan Bersih 2.0 ini adalah selaras dengan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang ditubuhkan oleh Parlimen pada tahun 2011.

Malangnya, walau pelbagai peringatan dan desakan telah dikemukan, SPR masih enggan melaksanakan pembaharuan ini demi kebaikan pengundi, dan sebaliknya memberi pelbagai alasan.

Bersih 2.0 menegaskan bahawa SPR perlu lebih serius dalam memperbaiki sistem pilihan raya sebelum PRU14, supaya hak rakyat untuk mengundi dapat dilaksanakan secara adil.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments