Bersih 2.0: Hak demokratik penduduk rumah panjang untuk memilih tuai rumah

0
A longhouse in Sarawak - Photograph: wikipedia.org

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengambil maklum dan mengecam Ordinan Ketua Masyarakat 2004 yang digunakan sebagai alat kerajaan negeri Sarawak untuk mengawal dan menentukan tuai-tuai rumah panjang di seluruh negeri tersebut.

Bersih 2.0 melihat ini sebagai campurtangan politik yang menafikan hak demokratik rakyat rumah panjang untuk memilih tuai mereka sendiri serta membolehkan kerajaan memecat tuai-tuai rumah yang disyaki tidak menyokong kerajaan secara sesuka hati.

Bersih 2.0 berpendirian bahawa tuai rumah adalah merupakan ketua komuniti mereka dan berperanan besar sebagai wakil rakyat rumah panjang masing-masing. Mereka bukan wakil kerajaan.

Justeru rakyat rumah panjang berhak memilih tuai rumah mereka sendiri, dan hak ini mesti dikembalikan kepada mereka. Kerajaan mesti menghormati adat masyarakat yang antara termasuklah ‘adat sempakat’ masyarakat Iban dalam memilih tuai rumah masing-masing.

Ini bermakna kerajaan mesti menerima pilihan penduduk rumah panjang, dan bukan setakat memberi ruang mereka memilih tuai dan kemudian menolak lantikan mereka hanya kerana tuai tersebut didapati tidak menyokong kerajaan.

Perbuatan sebegini jelas bertujuan memecahbelahkan rumah panjang selain cuba menjadikan masyarakat rumah panjang sebagai tebusan yang terpaksa bergantung harap kepada tuai rumah yang dilantik kerajaan.

Bersih 2.0 menggesa supaya hak memilih tuai rumah dikembalikan kepada rakyat rumah panjang serta menggesa supaya sebarang usaha kerajaan untuk masuk campur dalam urusan rumah panjang dihentikan bagi menghormati intelek dan adat masyarakat.

Setelah lebih lima dekad merdeka, adalah tidak masuk akal untuk ketua komuniti yang terdiri daripada puluhan keluarga harus dilantik oleh pihak berkuasa seperti sebuah sekolah memilih ketua muridnya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang terdiri daripada:

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.