Lantik Yang di-Pertua, Timbalan Dewan Rakyat yang bersemangat rentas parti

57 views

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berpandangan bahawa sekarang adalah waktu yang paling tepat untuk ahli Dewan Rakyat melantik Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan semangat rentas parti.

Jawatan-jawatan mulia ini tidak harus dilihat sebagai monopoli parti-parti dalam kerajaan, lebih-lebih lagi untuk menunjukkan kekuasaannya terhadap parti pembangkang yang juga sebahagian daripada Dewan Rakyat. Sebaliknya pelantikan Yang di-Pertua dan timbalannya harus besemangat rentas parti untuk memperkasakan Parlimen dan menjadikan Parlimen lebih bebas untuk menyemak dan mengimbang eksekutif.

Setakat ini, dua nama wakil rakyat telah dicalonkan untuk dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua. Pihak kerajaan (Barisan Nasional-Perikatan Nasional-Gabungan Parti Sarawak) mencalonkan Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian yang merangkap setiausaha agong Umno, dan Pakatan Harapan mencalonkan Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga merangkap timbalan setiausaha agung DAP.

Bersih 2.0 ingin bertanya dan menggesa, sama ada Ahmad Maslan atau Nga Kor Ming bersedia untuk meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya mengambil cuti di dalam parti politik masing-masing jika dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertua kerana kedua-duanya memegang jawatan utama dalam parti mereka.

Peletakan jawatan di dalam parti amat mustahak agar jawatan Timbalan Yang di-Pertua ini dilihat benar-benar bebas daripada pengaruh kepartian, bersikap adil dan dapat menumpukan perhatian terhadap isu-isu di Dewan serta menguatkuasakan peraturan mesyuarat tanpa sebarang ketakutan atau kepentingan parti.

Selain daripada bersikap adil, Yang di-Pertua danTimbalan Yang di-Pertua juga perlu dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti. Satu isu yang membimbangkan dengan pencalonan Ahmad Maslan adalah berikutan kes beliau yang masih berjalan di mahkamah. Ahmad Maslan telah dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2021.

READ MORE:  Stop plotting, get down to helping the people

Adakah Umno dan pihak kerajaan yang mencadangkan Ahmad Maslan, sekiranya beliau dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertua, dapat menjalankan tugasnya dengan penuh amanah serta berprinsip? Adakah kerajaan dapat menjamin jawatan penting itu tidak disalahgunakan untuk melepaskan diri daripada pendakwaan yang beliau hadapi? Timbul juga kebimbangan sekiranya Ahmad Maslan menggunakan sidang Parlimen yang mulia sebagai alasan untuk menangguhkan perbicaraan mahkamah beliau, yang sekaligus mencemarkan kesucian Parlimen.

Ahmad Maslan dan Nga Kor Ming juga perlu mengemukakan kerangka dan isu-isu reformasi parlimen yang akan mereka bawa sepanjang tempoh perkhidmatan mereka sekiranya dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertua. Isu-isu ini perlu menjadi asas utama untuk ahli-ahli Dewan Rakyat memilih mereka dan agar rakyat secara keseluruhannya dapat menilai prestasi mereka sepanjang memegang jawatan tersebut.

Bersih 2.0 menegaskan bahawa pejabat Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua bukanlah penjaga pintu kepada eksekutif untuk menahan usul atau rang undang-undang atau menghadkan ucapan wakil rakyat terutamanya pembangkang. Jawatan tersebut perlu dilaksanakan dengan adil dan perlu meraikan suara wakil rakyat yang terdiri daripada berbilang parti. Wakil-wakil rakyat yang berada di situ bertujuan membawa hasrat rakyat dan permasalahan polisi negara untuk dibahaskan serta diambil tindakan oleh eksekutif.

Sebenarnya , persaingan antara Ahmad Maslan dan Nga Kor Ming juga mengingatkan rakyat mengapa usul-usul yang mencadangkan pengosongan kerusi Yang di-Pertua telah ditolak atas alasan teknikal sehingga Dewan Rakyat tidak boleh ada pilihan sama ada harus wujud Yang di-Pertua yang baru.

Sempena ulang tahun Parlimen ke-62 pada 11 September, sudah tiba masanya negara kita bergerak seiiring amalan negara yang demokrasinya lebih matang dan berdepan dengan realiti bahawa Parlimen diisi oleh wakil rakyat daripada pelbagai latar belakang dan berbilang parti. Kini Parlimen bergantung kepada kepimpinan pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memastikan suara wakil rakyat didengari dan tidak dikesampingkan. – Bersih 2.0

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments