Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak di dalam kes 1MDB.
Najib didapati bersalah dengan empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Hakim Collin Lawrence Sequerah telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4bn kepada Najib.
Pertuduhan, pendakwaan dan akhirnya keputusan kelmarin adalah rentetan daripada perjuangan panjang dan pengorbanan rakan-rakan aktivis, rakan-rakan media, rakyat dan ahli politik yang berani mempertaruhkan reputasi, kehidupan dan kesenangan untuk berjuang membawa kleptokrat ke muka pengadilan.
Himpunan Bersih 4 dan 5 yang digerakkan adalah satu respon rakyat terhadap skandal terbesar negara apabila rakyat didedahkan RM2.6bn masuk ke akaun seorang perdana menteri.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun, keputusan Mahkamah Tinggi ini dan keputusan kes SRC International sebelum ini tidak seharusnya menjadi titik akhir kepada perlawanan menentang kleptokrat dan korupsi dalam negara.
Keputusan ini tidak bermakna jika kerajaan “Madani” pada hari ini tidak berbuat apa-apa untuk mencegah lahirnya kleptokrat baharu dalam negara melalui reformasi institusi dan reformasi pilihan raya.
Kuasa pelantikan, khususnya pelantikan badan kehakiman, pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya, perlu segera direformasi agar institusi-institusi ini sejatinya bebas daripada cengkaman kuasa eksekutif, khususnya perdana menteri.
Begitu juga pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya yang perlu dilaksanakan segera agar tidak lagi wewenang berbangkit pendakwaan politik terhadap musuh-musuh politik kerajaan.
Bersih juga mengulangi gesaan agar kontrak ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak disambung. Malah, beliau patut meletakkan jawatan kerana mahkamah telah menyatakan bahawa duit yang masuk ke akaun Najib itu bukanlah duit derma, seperti yang disahkan oleh Azam pada 2015 sewaktu beliau menjadi pengarah bahagian siasatan SPRM.
Agensi-agensi ini perlu bebas untuk berani membawa siapa sahaja ke muka pengadilan, terutamanya mereka yang diberi amanah memegang cambuk kekuasaan namun memilih untuk merompak, mencuri dan menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi dan pihak tertentu, berbanding melindungi rakyat.
Hanya dengan itu kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan negara dapat dipulihkan dan diangkat ke darjat yang selayaknya.
Bersih sekali lagi mengucapkan tahniah kepada rakyat yang turun ke jalanan untuk menunjukkan bahawa budaya rasuah dan korupsi bukanlah budaya kita.
Hidup rakyat! Merdeka! – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

