Cadangan persempadanan 2017 bagi Sabah: ‘Lapuk’, tidak selari dengan penurunan had umur mengundi, pendaftaran automatik

0

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyeru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan cadangan persempadanan 2017 bagi Sabah yang telah lapuk.

Cadangan dan aturan parlimen untuk membawanya telah dibentangkan pada 8 Julai dan perbahasan dijadualkan pada 17 Julai.

Bersih 2.0 menggesa perdana menteri untuk menarik semula cadangan persempadanan ini yang jahat, rosak dan lapuk daripada Dewan Rakyat.

Kerajaan persekutuan sebelum ini telah terlalu banyak kali menyebabkan Sabah luka dengan keputusan yang salah serta buruk. Cadangan persempadanan kali ini tidak harus mengulanginya lagi.

Bahkan, Janji 17 Buku Harapan seharusnya dijadikan satu realiti: “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan nisbah yang adil dalam persempadanan pilihan raya, dan mengumumkan secara telus kepada khalayak umum, formula yang digunakan dalam menentukan bilangan pengundi dan saiz setiap kawasan pilihan raya.”

Sekiranya cadangan lapuk ini tidak ditarik balik, Bersih 2.0 menggesa semua ahli Parlimen yang percayakan demokrasi untuk mengundi menentang cadangan ini.

Khususnya 25 ahli Parlimen dari Sabah mesti tidak mengundi untuk meluluskan pelan persempadanan yang jahat, rosak dan lapuk ini yang hanya merugikan orang Sabah terutamanya anak-anak muda.

Cadangan persempadanan Sabah lapuk

Bersih 2.0 mengingatkan perdana menteri bahawa tindakan kerajaan untuk menurunkan umur layak mengundi dari umur 21 ke 18 tahun dan pendaftaran automatic akan mengembangkan bilangan pemilih kepada lapan juta, ditambahkan kepada bilangan terkini sebanyak 14.9 juta.

Oleh kerana penambahan bilangan pengundi akan memburukkan lagi keadaan pembahagian yang tidak sekata, semua negeri dengan pembahagian tidak sekata yang sangat teruk di peringkat kawasan parlimen mahupun dewan undangan negeri perlu mengadakan persempadanan semula sekali lagi selepas penurunan umur mengundi dan pendaftaran automatic dilaksanakan sepenuhnya.

Justeru, melaksanakan cadangan persempadanan 2017 untuk Sabah akan membazirkan sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyusahkan semua pemegang taruh sekiranya persempadanan semula dijalankan kelak. Cadangan sebelum ini adalah berdasarkan senarai daftar pemilih bertarikh 13 May 2016 dengan jumlah 995, 729 pengundi.

Sekiranya cadangan lapuk pada 2017 diterima dan dilaksanakan sehingga tahun 2025, penurunan umur mengundi akan menjadi sia-sia apabila pengundi baru di kawasan bandar mengetahui yang undi mereka sebenarnya bernilai kurang satu perlima atau satu keenam daripada pengundi luar bandar. Kerajaan danKementerian Belia dan Sukan akan menanggung kemarahan pengundi muda yang telah ditipu.

Cadangan lama mengandungi pembahagian tidak sekata yang teruk

Bersih 2.0 menegaskan bahawa berdasarkan cadangan SPR pada November 2016, kawasan dewan undangan negeri terbesar Sabah iaitu N69 Sri Tanjung, akan mempunyai 25,104 pengundi atau 4.5 kali ganda bilangan pengundi di kawasan terkecil Sabah iaitu N01 Banggi, yang hanya mempunyai 5,485 pengundi.

Keseluruhannya, tujuh kawasan dewan undangan negeri terbesar akan mempunyai lebih dua kali ganda pengundi berbanding lapan kawasan terkecil di Sabah (Jadual 1 di atas).

Ketaksamaan antara kawasan parlimen juga adalah amat teruk, dengan kawasan semi-bandar P171 Sepanggar(55,294), luar bandar P188 Lahad Datu (52,343) dan semi-luar bandar P169 Kota Belud (51,767) mempunyai dua kali ganda pengundi daripada kawasan luar bandar P183 Beluran(24, 916) (Jadual 2 di bawah).

Cadangan SPR sebelum ini yang sengaja membenarkan kawasan parlimen dan dewan undangan negeri dibahagi dengan tidak sekata di Sabah bukan sahaja akan mengganggu pilihan pengundi – tetapi juga akan dengan liciknya menanam perpecahan serta ketidakpuasan hati antara agama dan komuniti dalam Sabah, bagi memudahkan rancangan pecah-dan-perintah oleh kuasa di luar Sabah.

Penambahan bilangan pengundi – dengan penurunan had pengundi dan pendaftaran automatik – akan menambah 300,000-400,000 kepada bilangan pengundi Sabah sedia ada iaitu 1,116,337 pengundi pada 2018.

Memandangkan mereka yang baru layak mengundi ini dengan kebanyakannya tinggal di pusat bandar, pembahagian tidak sekata yang dirancang dengan licik oleh SPR sebelum ini akan bertambah buruk.

Persempadanan baru diperlukan oleh Sabah

SPR telah menghantar cadangan persempadanan kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak pada 14 Februari 2017.

Nnamun beliau tidak membentangkannya di Parlimen dengan mengeksploitasi Seksyen 9, Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan yang tidak meletakkan tempoh tetapi hanya menyatakan “dengan seberapa segera yang boleh” untuk cadangan itu dibentangkan.

Secara tidak sengaja, Najib telah membuka ruang kepada persempadanan semula di Sabah untuk diperbetulkan.

Bersih 2.0 menyatakan kekesalan bahawa perdana menteri dan Dewan Undangan Negeri Sabah tidak diberikan penjelasan yang tepat untuk membuat keputusan terbaik bagi pengundi Sabah.

Oleh kerana SPR tidak mempunyai peranan lagi selepas laporan persempadanan ini dihantar, perdana menteri dan Dewan Undangan Negeri boleh bekerjasama untuk memperkasakan rakyat Sabah khususnya mereka yang berumur 18-21 tahun yang kelak akan layak mengundi.

Pertamanya, Bersih 2.0 menggesa perdana menteri untuk menarik balik cadangan persempadanan 2017 Sabah yang jahat, rosak dan lapuk daripada Dewan Rakyat.

Kedua, Bersih 2.0 menggesa Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal untuk menjanjikan pindaan perlembagaan bagi menambah bilangan kerusi di dewan undangan negeri selepas penambahan pengundi. Ini merupakan tanggungjawab moral beliau untuk memastikan pengundi baru dan lama di Sabah diperkasakan sepenuhnya dan secara adil.

Dewan Undangan Negeri Sabah perlu meminda Perlembagaan Negeri untuk menambah satu atau lebih kerusi selepas penurunan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik dilaksanakan. Ini akan mencetus persempadanan sekali lagi untuk dijalankan dengan baik dan berintegriti oleh SPR baharu di bawah kepimpinan Azhar Azizan Harun.

Persempadanan tidak seharusnya dijadikan isu antara agama dan kaum

Bersih 2.0 menganggarkan sesetengah pihak akan memutarbelitkan perwakilan secara adil ini kepada isu agama dan kaum. Oleh itu Bersih 2.0 ingin melawan progaganda tersebut terlebih dahulu.

Bertentangan dengan persepsi popular, sebenarnya pengundi terbanyak di kawasan bandar adalah mereka yang Melayu-Islam. Mangsa perwakilan tidak sekata ini bukan lagi hanya kaum bukan Melayu tetapi sebahagian besarnya adalah Melayu-Islam dari golongan 40% rumahtangga yang terbawah.

Perwakilan tidak sekata golongan Melayu miskin-bandar akan akhirnya melemahkan kuasa politik mereka untuk meningkatkan peluang dan tahap hidup mereka. Ini hanya akan meluaskan jarak antara kelas dan permusuhan dalam kalangan Melayu untuk tempoh masa yang panjang. Bahkan dari perspektif etnosentrik, merendahkan demokrasi adalah merendahkan kebajikan dan masa depan golongan Melayu-Muslim

Sementara itu, Bersih 2.0 menggesa Yang DiPertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof untuk menarik embargo ke atas versi akhir cadangan SPR yang sehingga kini masih tidak diumumkan kepada rakyat.

Amalan kuno menyembunyikan cadangan persempadanan daripada pengetahuan orang ramai sehingga hari dan daripada didebatkan di Parlimen sudah tidak selari dengan demokrasi.

Untuk ketelusan dan kebertanggungjawaban, fail berformat pdf bagi cadangan persempadanan Sabah perlu diterbitkan di laman web Parlimen, perdana menteri dan SPR.

Sebagaimana rakyat Malaysia, rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana masa depan mereka ditentukan. Tidak ada institusi persekutuan harus menghalang mereka untuk memastikan ahli Parlimen bertanggungjawab terhadap mereka.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments