Bersih 2.0: Penahanan semula Khairuddin jejaskan demokrasi berparlimen

0
Whistleblower Khairuddin Abu Hassan - Image: themalaysianinsider.com

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya penahanan semula Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan – setelah dibebaskan daripada tahanan reman – di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan melihatnya sebagai suatu tindakan berniat jahat yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Bersih 2.0 menegaskan bahawa satu ciri paling istimewa demokrasi berparlimen ialah keanjalan dalam menukar ketua kerajaan, iaitu perdana menteri. Perdana menteri tidak mempunyai jaminan kerja dan boleh “dipecat” oleh Parlimen pada bila-bila masa seandainya perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.

Kerana itu, demokrasi berparlimen hanya dapat berfungsi dengan baik apabila rakyat bebas mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri, dan Parlimen pula bebas untuk menentukan sama ada kepercayaan kepada perdana menteri masih wujud atau tidak.

Sesiapa yang cuba menghalang rakyat daripada mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri dan cuba menafikan hak Parlimen untuk mempertimbangkan semula kebolehpercayaan terhadap perdana menteri sebenarnya telah merampas kuasa rakyat dan Parlimen dan menjejaskan demokrasi berparlimen.

Penahanan Khariuddin asalnya di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaaan [cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen] dan penahanan semula beliau di bawah Sosma (boleh sampai 29 hari) di bawah Seksyen 124K [sabotaj] and 124L [cubaan untuk melakukan sabotaj] Kanun Keseksaan adalah tindakan berniat jahat.

Bersih 2.0 menegaskan bahawa tiada sebarang undang-undang di Malaysia yang mengharamkan rakyat Malaysia daripada memanfaatkan sistem undang-undang di mana-mana negara lain di dunia. Khairuddin tidak bersalah dan tidak melakukan sabotaj dengan mengemukakan laporan mengenai skandal 1MDB ke sistem perundangan negara lain.

Sabotaj hanya berlaku apabila rakyat seperti Khairuddin dilarang mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri dan Parlimen dihalang membuat keputusan mengenainya.

READ MORE:  The Najib Razak 1MDB Trial Ep 43: Steer clear

Bersih 2.0 menyeru pihak berkuasa membebaskan Khairuddin tanpa syarat dan menghentikan semua tindakan yang boleh membawa sabotaj kepada demokrasi berparlimen.

Bersih 2.0 juga mengulangi cabaran yang dibuat oleh pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah pada 19 Ogos supaya Perdana Menteri Najib Razak mengemukakan usul undi percaya di Parlimen. Sekiranya usul itu diluluskan, maka Najib akan mempunyai keabsahan untuk terus berkuasa.

Bersih 2.0 berharap Najib akan cukup berani untuk menghormati demokrasi berparlimen dan bukan menganiayai para pengkritik seperti Khairuddin.

Bersih 2.0 mengulangi iltizamnya dalam mendukung hak rakyat Malaysia untuk membantah secara aman dan rasional.

 

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang terdiri daripada:

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara)

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments