Bersih 2.0: Lalulintas boleh pula tutup tiga hari untuk KL City GP

0
Image: Youtube.com

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) memandang sinis kenyataan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang dilaporkan media beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau dilaporkan berkata bahawa perhimpunan Bersih 4 “mementingkan diri sendiri” dengan tidak mengambil kira hak peniaga dan orang ramai; malah mencadangkan supaya perhimpunan diadakan di Stadium Negara Bukit Jalil.

Ini lucu sekali sekiranya kita mengambil kira bagaimana jalan-jalan utama di Kuala Lumpur ditutup tiga hari berturut-turut bagi memberi laluan kepada acara KL City GP pada 7-9 Ogos yang lalu.

Acara lumba kereta ini telah mengakibatkan penutupan jalan utama termasuk Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee. Malah sehingga hari ini pun masih berlaku gangguan lalulintas akibat kerja-kerja penyelenggaraan yang belum selesai.

Bersih 2.0 tidak pula mendengar sebarang bantahan daripada Ketua Polis Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, persatuan peniaga, individu mahupun mereka yang tinggal di sekitar kawasan terbabit berkenaan kesan daripada penutupan jalan terbabit. Adakah kepentingan korporat lebih utama berbanding kepentingan rakyat dan negara?

Bersih 2.0 ingin mengingatkan bahawa perhimpunan Bersih telah pernah berlangsung tiga kali sebelum ini, dan kesan perhimpunan tersebut terhadap ekonomi setempat adalah bukan sahaja minimal malah memberi keuntungan kepada pengusaha hotel, peniaga kecil, pengusaha restoran dan juga pengangkutan awam.

Justeru andaian yang dibuat oleh KPN adalah tidak tepat dan hanya bertujuan mengelirukan mereka yang masih sudi mendengar cakap KPN serta menakut-nakutkan masyarakat yang tidak berpeluang mendapat maklumat sebenar tentang perhimpunan Bersih 4.

Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa tuntutan perhimpunan Bersih 4 adalah untuk mendesak penambahbaikan ke arah sebuah kerajaan dan sistem pilihanraya yang adil, hak untuk membantah, sebuah sistem demokrasi berparlimen yang lebih kukuh dan demi menyelamatkan ekonomi negara. Ini bukan soal pentingkan diri, tetapi kepentingan dan masa depan negara yang kita cintai.

READ MORE:  Bar pleased with passing of Covid-19 Bill, ready to provide input to Independent Police Conduct Commission Bill

Sekiranya sumber negara boleh dihabiskan untuk perlumbaan kereta selama tiga hari, kenapa perlu gusar dengan perhimpunan aman dua hari demi kepentingan jangka panjang negara?

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang terdiri daripada:

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments