Bersih 2.0: Ketua Polis Negara, kami faham perasaan anda

0
Photograph: John Fam

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengingatkan KPN supaya bertindak bijak dan membaca mood orang ramai dengan tepat.

Kami dengan rendah hati memohon anda mempertimbangkan semua yang sedang berlaku secara bijak dan membuat keputusan untuk menyertai rakan-rakan rakyat Malaysia yang sudah siap sedia untuk turun ke Bersih 4

Banyak persoalan telah dilontarkan oleh Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar tentang perhimpunan Bersih 4 yang bakal berlangsung kurang dua minggu sahaja lagi.

Kami faham keresahan KPN dan juga mereka yang mempunyai banyak prejudis terhadap perhimpunan tersebut.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah menulis surat kepada KPN, memaklumkan tentang perhimpunan Bersih 4 serta kesediaan pihak kami untuk bertemu dan berbincang dengan KPN. Namun KPN hanya mengutuskan Ketua Polis Daerah Dang Wangi untuk bertemu dan bermesra dengan kami.

Justeru, adalah tidak adil bagi KPN untuk membuat pelbagai andaian tanpa terlebih dahulu bertemu dan berbincang dengan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0. Kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan.Niat dan tujuan perhimpunan Bersih 4 telah dilaporkan oleh media dan kenyataan-kenyataan kami boleh dibaca di internet.

Bersih 2.0 menyedari bahawa kami ini ibarat mentimun dengan durian. Menggolek pun luka, digolek pun kami luka. Bukan sekali dua peserta himpunan Bersih telah dileraikan dengan kekasaran pihak polis. Bahkan kali ini mungkin masuk kali keempat.

Namun suka kami ingatkan bahawa perhimpunan aman anjuran Bersih 2.0 tidak mengundang huru-hara. Huru-hara hanya timbul apabila perhimpunan cuba dileraikan dengan kekasaran dan gas pemedih mata.

Kami turut ingin mengingatkan KPN supaya bertindak bijak dan membaca mood orang ramai dengan tepat. Salah langkah pihak polis, sepertimana yang boleh dilihat dalam tiga perhimpunan lalu, hanya akan menyemarakkan semangat orang ramai untuk ikut serta dalam perhimpunan kali ini. Ugutan dan tindakan hanya akan menambah rasa menyampah orang ramai terhadap pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

READ MORE:  Satu lagi kematian dalam tahanan berlaku ketika ahli politik melaungkan ‘setiap nyawa berharga’ (Malay/English)

Bersih 2.0 menasihatkan KPN dan pihak polis untuk menyiasat hal-hal yang lebih penting, seperti pengakuan Pengarah Komunikasi BN Abdul Rahman Dahlan bahawa Perdana Menteri telah bertindak mengelak pertuduhan jenayah terhadapnya, dalam satu wawancara bersama The Star. Ini satu pengakuan yang amat signifikan dalam siri siasatan terhadap skandal dana yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, selain dapat menjawab persoalan draf pertuduhan terhadap beliau yang kononnya dikatakan palsu sebelum ini.

Kami memahami dilemma yang sedang dihadapi ramai anggota polis, penjawat awam, pegawai SPRM malah-malah penyokong kerajaan sendiri apabila berhadapan situasi sekarang.

Kami dengan rendah hati memohon anda mempertimbangkan semua yang sedang berlaku secara bijak, dan membuat keputusan untuk menyertai rakan-rakan rakyat Malaysia yang sudah siap sedia untuk turun ke Bersih 4, bagi mendesak sebuah kerajaan dan sistem pilihanraya yang adil, hak untuk membantah, sebuah sistem demokrasi berparlimen yang lebih kukuh dan demi menyelamatkan ekonomi negara; sepertimana yang telah termaktub sebagai hak rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Maria Chin Abdullah ialah pengerusi Bersih 2.0.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments