Bersih 2.0: Hak membantah digugat keputusan mahkamah

0
no views

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam membuat keputusan tersebut, Mahkamah dilaporkan berkata ia harus meminggir daripada keputusannya pada April 2014 bahawa peruntukan undang-undang yang sama adalah bertentangan dengan Perlembagaan ketika membebaskan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada kesalahan tidak memberi notis 10 hari seperti yang diperuntukkan Akta tersebut.

Bersih 2.0 melihat keputusan Mahkamah ini sebagai satu penghinaan terhadap hak asasi untuk berhimpun dan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, serta merupakan satu lagi usaha untuk menghalang hak membantah sepertimana yang dituntut dalam perhimpunan Bersih 4, lebih satu bulan lalu.

Keputusan Mahkamah Rayuan untuk membuat pusingan-U dalam persoalan ini wajar dipersoal oleh orang ramai. Apakah wujud faktor luaran yang mendorong mahkamah untuk membuat keputusan sedemikian? Apakah Bersih 2.0 sebagai penganjur perhimpunan aman Bersih 4 turut akan diheret ke mahkamah sedikit masa lagi?

Trend mengugut dan mengancam rakyat dengan undang-undang yang mengekang kebebasan serta sikap samseng seperti yang ditonjolkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman ternyata tidak menjanjikan berita baik buat rakyat Malaysia.

Tajuddin dilaporkan memberi amaran kepada kaum Cina bahawa tidak ada orang yang akan datang menyelamatkan mereka pada setiap kali mereka mengadu tentang sebarang masalah.

“Nak kena lempang macam tu,” beliau dilaporkan berkata.

Bersih 2.0 mengutuk sikap samseng Tajuddin Rahman dan menggesa supaya beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas keceluparan mulutnya itu. Seharusnya seorang menteri kabinet bersikap sopan santun terhadap semua rakyat Malaysia, memandangkan beliau bertanggungjawab melayani rakyat, dan bukan sebaliknya.

READ MORE:  Unconstitutional to declare emergency - Tommy Thomas

Amaran lempang-melempang serta usaha membungkam bantahan rakyat terhadap sikap bongkak sesetengah pemimpin negara pastinya tidak akan dilupakan apabila datang musim pilihanraya nanti.

Rakyat Malaysia mempunyai kuasa mutlak untuk memilih pemimpin mereka melalui peti undi. Justeru para ahli politik janganlah menyangka bahawa kedudukan mereka itu hasil pemberian dari langit.

Bersih 2.0 menegaskan bahawa sistem demokrasi yang berfungsi dengan baik, adalah sistem yang menyatakan dengan jelas sumber kuasa pihak pentadbir, untuk kepentingan siapa kuasa tersebut digunakan, kepada siapa si pentadbir bertanggungjawab dan bagaimana caranya untuk si pentadbir boleh diganti dengan yang lain.

Bersih 2.0 justeru mengulangi cabaran terhadap Perdana Menteri Najib Razak untuk membenarkan usul undi tidak percaya dikemukakan di Parlimen. Dan sekiranya tidak ada mekanisme untuk usul sedemikian, perdana menteri sewajarnya membawa usul undi percaya terhadap dirinya sendiri, sekiranya beliau begitu yakin bahawa kedudukannya tidak tergugat.

 

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang terdiri daripada:

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim dan Fadiah Nadwa Fikri naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments