Bersih 2.0: Beberapa persoalan tentang halangan imigresen

0
no views

Sekatan imigresen atas alasan ‘arahan dari atas’ termasuklah dalam kategori undang-undang zalim dan aneh yang mesti segera dimansuh, kata Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)

Pada 22 Julai 2015, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan pemilik The Edge Media Group Tong Kooi Ong dilaporkan tidak dibenarkan ke luar negara berikutan proses siasatan terhadap skandal melibatkan aliran dana 1MDB ke akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kemudian turut menjalankan pemeriksaan atas talian ke atas nombor-nombor kad pengenalan aktivis dan anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 di laman web Jabatan Imigresen dan mendapati bahawa ada di kalangan kami juga yang diminta merujuk ke pejabat Imigresen terdekat sebelum berlepas ke luar negara.

Antaranya termasuklah Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, Naib Pengerusi (Sabah) Jannie Lasimbang, Pakar Rujuk Bersih 2.0 Dr Wong Chin Huat, Hishamuddin Rais, aktivis mahasiswa Adam Adli serta mantan pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan.

Tindakan menyekat kebebasan bergerak, setelah rentetan tindakan oleh Ketua Polis Negara menyiasat mereka yang dinamakan oleh Lester Melanyi dan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyekat laman web Sarawak Report, tidak membantu dalam membersihkan nama Perdana Menteri dan kerajaan daripada skandal 1MDB. Malah, ia lebih membuatkan Perdana Menteri dan kerajaan kelihatan bersalah.

Masyarakat dunia akan terus mengutuk kerajaan dan Perdana Menteri, lantas merosakkan lagi nama baik dan reputasi negara di kalangan pelabur antarabangsa. Adakah kerajaan menyangka bahawa laporan dan pendedahan berkaitan korupsi 1MDB boleh dihalang dengan menyekat pergerakan individu-individu yang tidak disenangi kerajaan?

Peluang untuk melaksanakan penambahbaikan ke atas institusi kerajaan tidak diambil dengan baik; sebaliknya pihak berkuasa dipergunakan untuk menyekat mereka yang menyuarakan kritikan dan pendapat yang berbeza dengan pihak kerajaan. Bukan sahaja pihak kerajaan enggan menerima dan bertindak atas kritikan, mereka telah bertindak membungkam dan membisukan suara-suara tersebut.

READ MORE:  The Najib Razak 1MDB Trial Ep 32: To the market

Bersih 2.0 menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan ini, dan mempersoalkan sama ada semua ini adalah isyarat kembalinya penindasan ala tangkapan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap mereka yang tidak mempunyai niat lain selain membangun sebuah negara yang lebih baik?

Apakah sandaran undang-undang yang digunakan untuk menyekat kebebasan bergerak sepertimana dijamin Perlembagaan Persekutuan selain alasan ‘arahan dari atas’? Apa sebab aktivis dan ahli politik yang dipilih melalui jalan demokrasi yang sah perlu merujuk kepada pejabat Imigresen sebelum boleh ke luar negara? Anehnya, Sirul Azhar Umar, pembunuh Altantuya Shaariibu, boleh pula terlepas ke Australia.

Bersih 2.0 mempertegas sekali lagi bahawa penambahbaikan tatakelola di semua peringkat kerajaan mesti dilaksanakan. Sistem pilihanraya mesti dibersihkan, Parlimen harus berfungsi dengan lebih baik dan undang-undang zalim mesti dimansuh.

Sekatan imigresen atas alasan ‘arahan dari atas’ termasuklah dalam kategori undang-undang zalim dan aneh yang mesti segera dimansuh.

Masakan mereka yang mendedahkan salahlaku di dewan Parlimen boleh ditindas, sedangkan mereka yang disyaki terlibat dalam salahlaku tersebut bebas bergerak ke mana-mana.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang terdiri daripada:

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments