Tangani segera pencemaran sungai di Johor

A polluted river in Johor - CAP

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menangani segera dengan mengambil tindakan lebih berkesan bagi mengatasi masalah pencemaran sungai di negeri ini.

Kami berasa amat kesal walau pun masalah itu sudah lama berlaku namun ia masih berulang malah semakin serius sejak akhir-akhir ini yang boleh mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

Apa yang membimbangkan kami ialah pencemaran sungai di negeri ini bukan sahaja berpunca daripada pembuangan sampah-sarap tetapi juga sisa kimia yang boleh membunuh segala hidupan di dalam sungai serta memudaratkan kesihatan manusia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam titahnya baru-baru ini meminta agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sungai di negara ini mencari kaedah baharu yang lebih segar, teratur dan lebih berdaya maju yang diperlukan bagi menangani kelemahan pengurusan lembangan sungai.

Bagi menangani isu kelestarian sungai-sungai ini, dasar dan pendekatan baharu yang lebih sesuai – dengan mengambil kira segala kelemahan dalam aspek pengurusan lembangan sungai – perlu dirangka dengan segera.

Pelestarian sungai bermaksud kerangka membaik pulih dan menambah baik kualiti air sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan, titah baginda lagi.

Menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2021, sejumlah 489 (73%) sungai daripada 670 sungai yang dipantau menunjukkan indeks kualiti air bersih, 158 (24%) adalah sederhana tercemar manakala 23 (3%) tercemar.

Sebanyak 23 sungai di negara ini disenaraikan sebagai tercemar dengan 13 daripadanya berada di negeri Johor, sementara lima sungai terletak di Pulau Pinang, dua di Selangor dan masing-masing satu di Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan.

READ MORE:  By-elections: Johoreans, you can either divide the people or unify the nation - the choice is yours!

Pelepasan sisa daripada industri, bengkel, kawasan kediaman, ternakan haiwan dan ladang pertanian merupakan antara penyumbang utama kepada pencemaran sungai.

Sungai Skudai antara sungai yang disenaraikan sebagai tercemar di Johor, pelbagai bahan buangan seperti sampah-sarap, plastik, bangkai ayam dan lampin pakai buang yang mencemarkan air sungai itu.

Sungai Tebrau turut mengalami masalah pencemaran sampah-sarap yang amat serius. Walau pun masalah itu sudah lama berlaku namun keadaannya masih tidak berubah malah kini semakin membimbangkan.

Kira-kira 160 tan sampah-sarap dikutip setiap bulan oleh pihak berkuasa tempatan di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai: kutipan sampah di Sungai Skudai ialah 80 tan sebulan manakala di Sungai Tebrau pula lebih kurang 80 tan.

Pada 2022 Sungai Skudai turut mengalami masalah pencemaran apabila air sungai itu dilaporkan berbuih putih akibat sisa buangan dari sebuah kilang logam yang beroperasi berhampiran sungai itu.

Sungai Melana, Sungai Danga, Sungai Kempas, Sungai Anak Sedili Kecil, Sungai Sanglang, Sungai Air Merah, Sungai Air Baloi, Sungai Temehel dan Sungai Pinggan adalah antara sungai yang turut tersenarai sebagai tercemar di Johor.

Pencemaran sisa kimia turut berlaku di Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru yang menimbulkan keresahan kepada 1,500 penduduk di kawasan berkenaan dan menjejaskan kesihatan pelajar, guru dan pembantu kantin di sekolah berhampiran.

Pada 2019 berlaku kejadian pencemaran air Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang berpunca daripada pembuangan sisa kimia. Pembuangan secara haram sisa kimia itu mengeluarkan toksik menjejaskan kira-kira 6,000 orang penduduk termasuk pelajar sekolah.

Kejadian terbaharu ialah pencemaran air berlaku di Sungai Masai dengan keadaan airnya berwarna hitam dan berbau busuk yang meresahkan penduduk di Kampung Pasir Gudang Baru, Johor Bahru, Johor.

READ MORE:  Stories from Upper Baram: Saving rivers, restoring rights

Menurut penduduk masalah air sungai bertukar hitam seperti itu sering kali berlaku dan banyak aduan mengenai perkara itu telah dibuat kepada pihak berkuasa yang berkaitan tetapi masih tidak dapat diselesaikan. Penduduk terutamanya nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan sungai seperti ikan, ketam, udang dan lain-lain akan terputus mata pencarian mereka jika pencemaran yang melibatkan sungai-sungai di negeri ini terus berlaku.

Justeru itu, Jabatan Alam Sekitar perlu menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan lebih tegas serta mengenakan hukuman berat yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bukannya sekadar kompaun ke atas mereka yang didapati bersalah melanggar akta itu.

Kami menggesa pihak berkuasa supaya mengelakkan daripada mengambil langkah secara ad hoc kerana ia tidak berkesan dalam menangani masalah yang kian membarah ini, malah satu penyelesaian secara holistik diperlukan kerana apabila sahaja krisis berlaku pelbagai janji dibuat untuk menangani masalah tetapi tiada perkara yang kuat dan berkesan berlaku.

Kini tiba masanya bagi kerajaan mengambil tindakan serius dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji tahap pencemaran sungai di Johor serta mengenal pasti punca-punca kegagalan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini dengan lebih berkesan.

Satu pelan tindakan atau hala tuju yang berkesan perlu disediakan bagi mengkaji punca utama pencemaran sungai serta menyiasat dengan lebih teliti dan mengambil langkah yang lebih berkesan bagi memastikan kejadian yang sama seperti itu tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

Pelan tindakan ini amat penting supaya kita mempunyai langkah yang sempurna dalam usaha untuk menjaga sungai-sungai yang terdapat di Johor, agar ia terjaga dengan bersih serta dapat mengelakkan berlakunya pencemaran. – CAP

READ MORE:  Pencemaran sungai di Johor masih berterusan

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments