Sungai Juru semakin tercemar – CAP

Wahid Othman menunjukkan pintu saliran buangan sisa kilang yang menjadi punca pencemaran Sungai Juru - CAP

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Lebih kurang 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, berada dalam kebimbangan berikutan pencemaran Sungai Juru yang semakin serius berlaku ketika ini.

Kejadian yang disyaki berpunca dari pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang di kawasan tersebut telah menjejaskan lebih 50% hasil pendapatan mereka akibat kematian kerang yang diternak dan ikan di dalam sungai berkenaan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat mendapati air Sungai Juru sentiasa keruh dipercayai tercemar oleh sisa buangan dari pintu saliran sisa kilang dan saluran paip buangan sisa kolam ternakan udang yang terletak berhampiran sungai itu.

Menurut ketua nelayan Kuala Juru, Wahid Othman, 50, masalah ini serius berlaku sejak setahun lalu apabila pintu sisa buangan kilang di Sungai Derhaka yang menghubungi Sungai Juru dibuka semula, setelah ditutup sejak sekian lama, kerana ia menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran ini.

Beliau memberitahu, pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Juru kerap berlaku pada waktu pagi menyebabkan air sungai ini menjadi kehitaman dan berbau. Selain banyak kerang yang mati, bangkai ikan juga pernah ditemui oleh nelayan di sini terapung dipermukaan air.

Wahid berharap pihak berkenaan menyiasat masalah ini dan mengambil tindakan segera ke atas punca utama pencemaran ini berlaku. “Saya bimbang jika keadaan ini berterusan, mata pencarian penternak kerang dan nelayan-nelayan yang terlibat akan terus merosot sekali gus menjejaskan kehidupan keluarga,” tegasnya.

CAP memandang serius masalah ini dan bersimpati dengan nelayan-nelayan yang terlibat. CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perikanan, dan pihak berkuasa tempatan bertindak segera mengatasi masalah pencemaran Sungai Juru yang semakin membimbangkan ini.

READ MORE:  Pencemaran sungai dekat Jelebu harus ditangani segera / Tackle river pollution near Jelebu immediately

Penutupan segera saliran yang tercemar dengan sisa buangan di sepanjang Sungai Juru perlu dilakukan bagi menyelamatkan sungai tersebut dari terus tercemar.

Kesan pencemaran yang berlaku ini bukan saja mengancam alam sekitar dan sumber pendapatan nelayan di sini tetapi juga menjejaskan bekalan makanan untuk rakyat.

CAP meminta supaya pihak kerajaan membantu penternak kerang dan nelayan yang terlibat dengan memberi bantuan kepada mereka bagi meneruskan aktiviti yang sudah lama diceburi. – CAP

Mohideen Abdul Kader ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted