Suhakam gesa kerajaan adakan inkues kes kematian dalam tahanan depot imigresen

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menyiasat aduan yang diterima berkenaan kematian seorang tahanan warganegara Pakistan iaitu Jamshed Ahmed (penama) di Depot Imigresen Bukit Jalil.

Kematian tersebut dilaporkan berlaku pada 15 Januari 2024 dan Suhakam telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 12(1), Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

Penama ditahan semasa serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di rumahnya di Bukit Sentosa, Rawang pada 6 Januari 2024 lebih kurang jam 2 pagi dan telah ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil.

Penama telah didapati tidak sihat dan berada dalam keadaan sangat lemah ketika berada di dalam sel.

Pada 9 Januari 2024, penama telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk rawatan. Penama dilaporkan meninggal dunia pada 15 Januari 2024.

Berikut adalah hasil dapatan Suhakam berdasarkan siasatan yang dijalankan serta penelitian kesemua dokumen yang diterima:

1. Dakwaan menafikan hak rawatan ke atas penama

Aduan yang diterima oleh Suhakam mendakwa bahawa kematian penama adalah berpunca dari penafian hak rawatan ke atas penama oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Ini kerana, penama mempunyai penyakit diabetes dan memerlukan pengambilan insulin setiap hari. Walau bagaimanapun, pengadu mendakwa bahawa penama tidak diberikan insulin tersebut sehingga menyebabkan kematian berlaku.

Hasil dapatan Suhakam mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah berasas berdasarkan maklumat yang konsisten yang diperolehi dari keterangan pengadu, rakan tangkapan, anggota dan kakitangan Depot Imigresen Bukit Jalil serta pegawai perubatan dari HCTM UKM.

2. Tiada saringan kesihatan semasa kemasukan dan tiada tindakan susulan saringan kesihatan selepas kemasukan tahanan

Prosedur kemasukan tahanan di depot imigresen mewajibkan saringan kesihatan awal perlu dilakukan ke atas tahanan.

READ MORE:  Ensure independent probe into Callum Luxton's death in custody

Di dalam kes penama, tiada saringan awal dilakukan oleh pihak imigresen semasa kemasukan. Ini memandangkan penahanan berlaku pada 6 Januari 2024 (Sabtu, hari cuti umum) sedangkan penolong pegawai perubatan hanya bertugas pada hari bekerja.

Suhakam juga mendapati tiada tindakan susulan dilakukan pada 8 Januari 2024 (Isnin) untuk membuat saringan awal terhadap tahanan yang telah dikenal pasti mempunyai penyakit semasa kemasukan.

Penolong pegawi perubatan juga tidak mengetahui tentang penyakit penama yang memerlukan ubat insulin setiap hari; sehinggalah penama pengsan di dalam sel pada 9 Januari 2024.

Berdasarkan fakta tersebut, Suhakam berpendapat bahawa wujudnya kecuaian dalam membuat saringan kesihatan awal dan pemberian insulin kepada penama pada masa tersebut.

3. Serahan kes tangkapan lewat kepada pegawai penyiasat

Suhakam dimaklumkan bahawa serbuan dan penahanan telah dibuat pada 6 Januari 2024 (Sabtu) dan penama dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil pada hari yang sama.

Walau bagaimanapun, kes tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat kes (IO kes) dari Jabatan Imigresen hanya pada 8 Januari 2024 (Isnin) dan tindakan untuk mengambil keterangan hanya dijalankan pada 9 Januari 2024 (Selasa). Penama telah ditahan di dalam depot selama beberapa hari tanpa sebarang tindakan siasatan dijalankan.

Sekiranya fail siasatan ini telah diserahkan kepada IO kes pada hari tangkapan, siasatan awal dengan mengambil keterangan penama boleh dijalankan. Ini membolehkan IO kes dapat mengetahui penyakit yang dialami dan keperluan ubat bagi penyakitnya.

4. Tiada pegawai penyiasat oleh polis yang mengendalikan laporan polis bagi kematian dan pemeriksaan dari koroner

Suhakam mendapati bahawa walaupun laporan polis bagi kematian penama telah dibuat oleh pegawai Depot Imigresen Bukit Jalil pada 15 Januari 2024, namun pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menugaskan mana-mana pegawai penyiasat dari polis untuk menyiasat kematian itu. Laporan polis tersebut hanya ‘dirujuk’ kepada pihak hospital.

READ MORE:  Address systemic gaps in prison conditions to end health-related custodial deaths - Suaram

Oleh yang demikian, tiada sebarang siasatan telah dijalankan oleh pegawai penyiasat polis serta tiada pemeriksaan oleh koroner telah dilaksanakan ke atas kematian tersebut mengikut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah dibaca bersama Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bil 2 Tahun 2019.

5. Pemeriksaan tahanan semasa kemasukan tidak menghormati maruah tahanan

Selain hasil dapatan berkaitan kes kematian penama, Suhakam juga mendapati bahawa semua tahanan yang ditahan bersama penama telah diarahkan untuk menanggalkan pakaian beramai-ramai bagi menjalani pemeriksaan fizikal. Dalam menjalankan pemeriksaan ini, hak privasi tahanan telah dinafikan. Setiap tahanan dan anggota yang ada di situ boleh melihat antara satu sama lain.

Bagi tahanan wanita pula, mereka diarahkan untuk menanggalkan pakaian di dalam bilik air untuk tujuan pemeriksaan fizikal. Walau bagaimanapun, pintu bilik air tersebut dibiarkan terbuka sehingga menyebabkan semua orang yang lalu-lalang termasuk anggota lelaki boleh melihat tahanan wanita yang berada di dalam bilik air tersebut.

Suhakam mendapati maklumat ini adalah konsisten dengan maklumat yang diberikan oleh rakan-rakan tangkapan.

Sehubungan itu, Suhakam mengesyorkan agar satu inkues kematian di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah dibaca bersama Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bil 2 Tahun 2019 dijalankan ke atas kes kematian penama di Depot Imigresen Bukit Jalil.

Ini hendaklah dilakukan dengan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca kematian serta menentukan sama ada wujudnya elemen jenayah atau kecuaian berhubung dengan kematian penama.

Suhakam telah menghantar laporan siasatan ini kepada Jabatan Peguam Negara pada 26 Jun 2024 dengan mengesyorkan agar inkues dijalankan.

Satu surat susulan telah dikeluarkan pada 10 September 2024 selaras dengan Seksyen 13(3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia untuk mendapatkan maklum balas mengenai tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa mengenai pelanggaran hak asasi manusia tersebut.

READ MORE:  Address systemic gaps in prison conditions to end health-related custodial deaths - Suaram

Suhakam juga telah memaklumkan hasil siasatan kes ini kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan polis pada 14 Jun 2024. Namun, sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas diterima oleh Suhakam.

Hari ini genap setahun kematian penama, dan Suhakam berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya demi menegakkan keadilan kepada semua pihak yang terlibat. – Suhakam

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments