
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Sungai Teluk Gong di Pelabuhan Klang yang kini serius diancam pencemaran.
CAP kesal dengan kejadian tersebut kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar tetapi juga boleh mengancam kesihatan penduduk dan pelbagai jenis hidupan di dalam sungai berkenaan serta sumber pendapatan nelayan di kawasan itu.
CAP hairan dan mempersoalkan mengapa punca masalah ini gagal dikesan dan diambil tindakan oleh pihak berkenaan sehingga keadaan itu menjadi parah?
Laporan media menyatakan hasil ujian kualiti air dari empat anak sungai sepanjang kira-kira 20km mengelilingi Teluk Gong hingga ke Pelabuhan Klang oleh sebuah makmal bebas bertauliah di Selangor mendapati kandungan ammonia dalam air adalah sangat tinggi.
Selain itu, keperluan oksigen biokimia (BOD) dan keperluan oksigen kimia (COD) juga tinggi dari paras biasa jika mengikut standard kualiti air kebangsaan (NWQS) iaitu berada pada kelas V, kategori paling tercemar.
Kandungan BOD, COD dan tahap pencemaran organik atau kadar karbon organik (TOC) serta ammonia yang sangat tinggi menjadikan sumber air sungai terbabit bertoksik kepada kehidupan termasuk ikan tidak boleh hidup di dalamnya.
Kawasan Teluk Gong dilaporkan tercemar akibat kewujudan kilang-kilang yang disyaki beroperasi secara haram dan membuang sisa tidak mengikut prosedur yang betul.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Sehubungan itu CAP menggesa pihak berkuasa yang terlibat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan masalah ini ditangani dengan berkesan dan tidak berulang.
Di samping penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan tempatan, JAS Selangor perlu melaksanakan peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tegas ke atas pihak yang menjadi punca kejadian ini.
CAP turut meminta Jabatan Perikanan menyiasat perkara ini menjurus kepada keselamatan hasil tangkapan nelayan dan kemerosotan sumber pendapatan yang mereka alami.
Bantuan atau pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada nelayan-nelayan di kawasan tersebut jika didapati mata pencarian terjejas akibat pencemaran yang berlaku. – CAP
Mohideen Abdul Kader ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme