Salah guna sumber kerajaan dan sentimen kebencian cemari kempen pilihan raya

BENEDICT LOPEZ

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah memantau beberapa pilihan raya, pilihan raya kecil mahupun pilihan raya di peringkat dewan negeri.

Berdasarkan pemantauan kami di beberapa pilihan raya kecil, serta terbaharu di pilihan raya negeri Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, terdapat corak berulang kempen pilihan raya yang menyalahi etika pilihan raya bersih dan adil, iaitu salah guna sumber dan jentera kerajaan.

Penggunaan sumber dan jentera kerajaan berleluasa, terutamanya apabila wujud persaingan yang sengit, sama ada antara kerajaan dan pembangkang atau pertembungan antara parti komponen kerajaan sendiri. Malah penggunaan jentera kerajaan adalah antara kesalahan yang paling kerap berlaku.

Secara umumnya, kesalahan yang dikenal pasti berlaku dalam bentuk penggunaan program kerajaan, program kementerian serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya.

Lebih membimbangkan, Bersih turut mendapati bahawa dalam beberapa program yang dipantau, calon bertanding di kawasan berkenaan hadir dalam program, logo parti yang bertanding digunakan, malah terdapat seruan kepada hadirin untuk mengundi calon tertentu.

Program-program sedemikian dianjurkan oleh badan dan agensi kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Berdasarkan pemerhatian pemantau Bersih, terdapat beberapa kementerian yang kerap menggunakan jentera dan sumber kerajaan, terutama selepas pembubaran dewan negeri atau kekosongan kerusi diisytiharkan.

Melalui pemerhatian kami yang terhad di kebanyakan dewan negeri di Johor dan Negeri Sembilan, beberapa kementerian yang sering membuat penganjuran program atau mengumumkan peruntukan semasa tempoh pilihan raya adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang diterajui Nga Kor Ming, dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang diterajui Zahid Hamidi.

Program kebajikan dan bantuan kepada rakyat seperti ‘Jualan Rahmah’ yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup, serta ‘Jualan Agro Madani’, yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, turut dijadikan ruang untuk aktiviti berkempen.

Bersih mendapati terdapat program-program sedemikian yang dihadiri oleh calon atau ahli politik daripada parti kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada program yang menggunakan sumber dan kemudahan kerajaan telah dimanfaatkan untuk memberikan kelebihan politik kepada pihak tertentu.

READ MORE:  Salah guna aset kerajaan berleluasa menjelang pilihan raya Johor

Dalam pilihan raya negeri terbaru di Johor dan Negeri Sembilan sebagai contoh, Bersih turut menerima maklumat dan mendapati wujud arahan dan kerahan terhadap anggota penjawat awam dan pelajar untuk menghadiri sesetengah program berkenaan.

Antara aktiviti yang sering dijalankan dalam program-program tersebut yang boleh menjadi kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 8 Penjamuan dan Seksyen 10 Penyogokan termasuk:

  • Cabutan bertuah
  • Pesta makan durian percuma
  • Pemeriksaan kesihatan secara percuma
  • Perkhidmatan cuci gigi (scaling) secara percuma
  • Pemberian dana atau bantuan
  • Pengumuman peruntukan pembangunan baharu
  • Pelbagai bentuk manfaat atau pemberian kepada masyarakat setempat seperti bantuan makanan asas

Bersih tidak menafikan kepentingan limpahan ekonomi program-program kerajaan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Namun, program kerajaan tidak sewajarnya dijadikan alat kempen terselindung untuk parti atau calon yang sedang bertanding. Apatah lagi jika jelas perbuatan kempen seperti memberi platform kepada calon atau menyeru orang ramai mengundi parti atau calon di dalam majlis rasmi kerajaan.

Program-program seperti ini perlu ditangguhkan sementara tempoh pilihan raya berjalan dan disambung usai keputusan pilihan raya diumumkan.

Sekiranya sumber kerajaan digunakan dalam kempen pilihan raya, keadaan tersebut mewujudkan padang permainan yang tidak sama rata kepada calon dan parti bertanding yang tidak mempunyai keistimewaan akses kepada sumber serta jentera kerajaan.

Hal ini akan memberi kesan kepada keabsahan dan integriti pilihan raya apabila pilihan raya dicemari dengan penggunaan sumber kerajaan bagi memberikan kelebihan kepada calon di pihak kerajaan.

Sentimen perkauman dan penyalahgunaan AI dalam kempen digital semakin membimbangkan

Selain isu salah guna sumber dan jentera kerajaan, Bersih turut memandang serius terhadap peningkatan penggunaan sentimen perkauman dan agama yang berlebihan dalam kempen pilihan raya, termasuk melalui media sosial dan kandungan yang dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

READ MORE:  Kempen pilihan raya bersih dan adil, tolak salah guna sumber kerajaan untuk berkempen

Bersih menegaskan bahawa sentimen perkauman dan agama serta politik yang cuba memecah-belahkan rakyat dan warga berdasarkan kaum atau agama sepatutnya dielakkan sama sekali pada bila-bila masa, terutama sepanjang tempoh pilihan raya. Malaysia ialah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Bersih turut kesal apabila institusi istana cuba diheret untuk menjadi kempen politik khususnya dalam pilihan raya di Negeri Sembilan. Tindakan ini telah mencemar nama baik institusi istana, yang merupakan payung negara dan bebas dari politik kepartian demi kepentingan pihak tertentu.

Pemantauan Bersih juga mendapati bahawa sentimen berbaur perkauman terus muncul di media sosial sepanjang tempoh pilihan raya. Bahkan sentimen perkauman ini berkembang menjadi sentimen xenofobia terutama terhadap kelompok warganegara minoriti, komuniti migran dan pelarian.

Dalam masa yang sama, perkembangan teknologi AI menambahkan cabaran baharu apabila kandungan seperti imej, video, audio dan teks boleh dihasilkan atau dimanipulasi dengan semakin mudah, pantas dan kelihatan meyakinkan.

Bersih berpandangan bahawa sebarang penggunaan teknologi termasuk AI ini mestilah datang dengan etika dan tanggungjawab, serta tidak boleh menjadi alasan untuk membiarkan ruang digital berubah menjadi medan manipulasi pengundi.

Maka parti politik, calon, pembekal servis platform media sosial, pempengaruh (influencer), pengguna media sosial dan pihak berkuasa perlu mengambil tanggungjawab penuh bagi memastikan teknologi baharu tidak dieksploitasi untuk merosakkan integriti pilihan raya dan keharmonian masyarakat.

Biarlah rakyat menilai parti dan calon berdasarkan apa yang mereka tawarkan dan prestasi mereka – bukan berdasarkan sentimen perkauman, ketakutan atau kandungan palsu yang direka untuk memanipulasi emosi dan pilihan pengundi.

Bersih menyeru semua pihak supaya mengambil tanggungjawab dalam membentuk wacana politik yang sihat dan inklusif. Kemenangan politik jangka pendek melalui eksploitasi sentimen perkauman atau manipulasi teknologi hakikatnya tidak menguntungkan mana-mana pihak pun, bahkan harga yang tinggi bagi keharmonian dan kestabilan negara jangka masa panjang terpaksa dibayar oleh kita semua.

READ MORE:  Salah guna aset kerajaan berleluasa menjelang pilihan raya Johor

Reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya mesti disegerakan

Bersih berpandangan bahawa penggunaan sumber, aset, program dan jentera kerajaan untuk memberikan kelebihan kepada parti atau calon tertentu perlu dikawal dengan lebih jelas melalui undang-undang pilihan raya.

Peruntukan sedia ada perlu diperkukuh supaya terdapat garis pemisah yang jelas antara aktiviti kerajaan yang sah dengan aktiviti kerajaan yang sebenarnya berfungsi sebagai kempen politik menggunakan wang dan sumber awam.

Bagi memastikan pilihan raya benar-benar bersih dan adil, Bersih menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya dan ‘kerajaan perpaduan’ di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menambahbaik perkara berikut di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954:

  • Menjadikan penyalahgunaan sumber dan jentera kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya sebagai satu kesalahan
  • Mewajibkan audit penyata perbelanjaan pilihan raya calon dan parti politik oleh pihak audit yang bertauliah sebelum diserahkan kepada SPR
  • Mewujudkan mekanisme dan kerangka panduan yang lebih tegas bagi menangani politik perkauman yang melampau dan manipulasi digital dalam pilihan raya
  • Meluaskan kuasa SPR untuk mengeluarkan kompaun bagi mencegah kesalahan-kesalahan pilihan raya yang boleh dikompaun

Pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya yang telah lama tidak dikemaskini berdasarkan konteks semasa, perlu dilakukan dengan segera sebelum pilihan raya umum berlangsung bagi memperkukuhkan penjalanan pilihan raya agar proses kempen menjadi lebih bersih, bebas dan adil.

Penggunaan sumber dan jentera kerajaan yang menggunakan wang rakyat tidak wajar digunakan untuk memberikan kelebihan kepada calon parti pemerintah.

Reformasi ini juga telah didesak oleh Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia Integriti, Governans dan Antirasuah turut mendesak agar kerajaan mereformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah demokrasi yang lebih sihat, matang dan progresif. – Bersih

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted