Revolusi pendidikan tinggi: Enam langkah berani Gerak untuk ‘Malaysia Madani’

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Dengan hormatnya, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mengemukakan memorandum ini yang mengandungi cadangan-cadangan untuk pembaharuan pendidikan tinggi di Malaysia.

Kami telah secara konsisten dan terbuka membincangkan isu-isu ini di media serta dengan pegawai-pegawai politik dan pentadbiran sepanjang tahun.

Sesungguhnya, beberapa pembaharuan yang kami cadangkan di sini adalah sangat mendesak. Kami dan banyak pihak lain – baik dalam kerajaan, akademia, mahupun masyarakat sivil – yakin bahawa cadangan-cadangan yang digariskan adalah realistik dan boleh dicapai.

Gerak berpendapat bahawa untuk melaksanakan cadangan-cadangan berikut, yang diperlukan hanyalah kemahuan politik yang didukung oleh pentadbiran yang cekap.

Kami berharap agar Kementerian Pendidikan Tinggi akan mempertimbangkan cadangan-cadangan kami dengan serius kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan “Madani”.

Pertama, mengambil kira pelbagai kebimbangan dan kritikan yang berterusan mengenai kualiti pendidikan di Malaysia, Gerak dengan penuh hormat mencadangkan agar satu peruntukan bajet khas diperuntukkan untuk menjalankan kajian menyeluruh, telus dan bebas mengenai keadaan sektor pendidikan tinggi. Langkah ini adalah permulaan penting ke arah pembaharuan pendidikan.

Dalam konteks ini, suruhanjaya siasatan diraja (royal commission of inquiry) adalah ideal, kerana ia akan melibatkan pemeriksaan kritikal terhadap keseluruhan spektrum pendidikan, dari prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, jika suruhanjaya ini tidak dapat dilaksanakan, sebarang kajian menyeluruh dan bebas juga memadai sebagai alternatif.

Kedua, pentadbiran universiti perlu distruktur semula. Sudah terlalu lama, universiti-universiti di Malaysia berada di bawah pengaruh Kementerian Pendidikan Tinggi. Pengurusan tertinggi di semua universiti awam kita jarang sekali berbicara secara bebas, apatah lagi secara analitik. Hubungan ini perlu diubah dari sistem subordinasi politik yang sedia wujud kepada hubungan yang lebih menghormati dan berinteraksi secara kritikal.

READ MORE:  MoU kerajaan-pembangkang: Bersih desak reformasi menyeluruh

Adalah penting untuk menghidupkan semula peranan jawatankuasa pencarian nasional (national search committees) dan memperkasakan mereka bagi memastikan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan seperti naib-canselor, timbalan naib-canselor, pengerusi dan lembaga pengarah yang baharu.

Ketiga, pindaan dan pemansuhan undang-undang yang menyekat kebebasan akademik. Kecemerlangan pendidikan hanya dapat dijamin apabila terdapat perlindungan asas terhadap kebebasan berfikir dan bersuara.

Undang-undang seperti Akta 605 [Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000] perlu dipinda untuk mengecualikan semua institusi pengajian tinggi daripada kekuasaannya seperti yang telah dilakukan untuk badan-badan berkanun lain. Hanya melalui pindaan Akta 605, kakitangan akademik dapat bebas untuk berpartisipasi dalam kehidupan akademia tanpa takut dikenakan tindakan tatatertib oleh perkhidmatan awam.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) wajar dimansuhkan. Akta ini memberi kesan negatif terhadap kecemerlangan akademik kerana ia menghalang pemikiran analitik dan bebas yang penting untuk menghasilkan pengetahuan baharu dan kesarjanaan objektif. Kami sangat menggesa pihak kerajaan untuk menggantikannya dengan undang-undang yang mengatur fungsi autonomi universiti dengan cekap serta melindungi kebebasan pelajar dan kakitangan akademik.

Keempat, kaji semula kebergantungan universiti tempatan terhadap sistem penarafan universiti antarabangsa (global university rankings). Sudah tiba masanya kerajaan Madani meningkatkan kesedaran tentang sifat tidak beretika dalam sistem penarafan universiti yang merupakan satu sistem eksploitatif bersifat kapitalis dalam dunia akademik.

Kita perlu meneroka kaedah penilaian alternatif yang bersifat kualitatif untuk menilai universiti kita, dan pada masa yang sama kurangkan pergantungan berlebihan kepada metrik kuantitatif dalam menilai kualiti akademik dan ilmiah. Kuncinya adalah mencari keseimbangan yang sesuai.

Kelima, tangani dengan serius isu ketidakjujuran akademik di universiti, baik dalam kalangan pelajar mahupun kakitangan akademik.

READ MORE:  Silent crisis in Malaysian universities: Why our campuses are losing their soul

Sebagai contoh, amalan paksaan pengarang bersama dalam artikel penyelidikan menyebabkan moral rendah dalam kalangan sesetengah kakitangan akademik dan ramai pelajar siswazah. Dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, contohnya, amalan ini melibatkan penyelia pelajar PhD meletakkan nama mereka pada artikel yang sepenuhnya ditulis oleh pelajar mereka.

Ini adalah sangat tidak beretika tetapi merupakan amalan yang meluas di universiti-universiti di Malaysia. Ia merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap pelajar.

Keenam, transformasikan budaya korporat yang telah menyusup ke dunia akademia. Hapuskan sistem catatan kehadiran.

Universiti bukan kilang, dan tidak sepatutnya diuruskan seperti birokrasi perkhidmatan awam atau sebuah korporat besar. Rasional di sebalik sistem catatan kehadiran adalah untuk membolehkan majikan memantau kehadiran pekerja. Sistem ini menyediakan rekod yang tidak dapat dipertikaikan mengenai waktu pekerja memulakan dan menamatkan hari kerja.

Amalan ini amat tidak sesuai dilaksanakan dalam profesion pensyarah kerana keterlibatan mereka dalam manjalankan penyelidikan memerlukan masa fleksibel. Tambahan lagi, amalan sedemikian bukan sahaja merendahkan martabat kakitangan akademik dan memberi gambaran bahawa mereka tidak boleh dipercayai.

Dalam organisasi seperti universiti, hubungan kebersamaan (collegiality) seharusnya dibentuk antara ahli-ahli akademik, serta antara pensyarah dan pelajar.

Syarat mencatat kehadiran menghalang proses pembentukan kepercayaan dan niat baik, terutamanya antara kakitangan akademik dan pentadbiran universiti. Menghapuskan sistem catatan kehadiran adalah langkah pertama yang sewajarnya untuk mengiktirafkan pensyarah sebagai cendekiawan berkelas dunia yang berpotensi.

Gerak bersedia untuk membantu Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak berkenaan untuk mencapai pembaharuan institusi yang dicadangkan ini.

Kami percaya bahawa dengan pembaharuan ini, universiti-universiti dan bidang kesarjanaan di Malaysia dapat menuntut kembali autonomi dan kebebasan mereka. Kedua-dua prinsip yang penting dalam menghasilkan kecemerlangan akademik yang diperlukan oleh negara untuk menjadi sebuah negara yang inklusif, bertamadun, pluralistik dan maju. – Gerak

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments