Respon ketua Polis Kedah mengecewakan, tidak faham kaedah-kaedah lokap

Edict mengulangi sekali lagi bahawa tiada keperluan bagi sesiapa untuk mati di dalam tahanan polis

File photo: themalaymailonline

Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh ketua Polis Kedah Hasanuddin Hassan berkenaan respon kepada pendedahan Edict mengenai kematian arwah Mohd Afis Ahmad, 31 tahun, dalam tahanan polis.

Menurut kenyataan ketua Polis Kedah, si mati telah mengalami kecederaan akibat pergelutan dan tindakan agresif si mati dengan anggota polis ketika pihak polis menahan si mati.

Namun persoalan yang timbul adalah, mengapa pihak polis tidak membawa si mati ke hospital dengan segera selepas terdapat kecederaan yang parah pada anggota badan si mati? Mengapa si mati dimasukkan terus ke dalam lokap selepas anggota polis tahu dan sedar bahawa si mati di dalam kes ini telah pun mengalami kecederaan terutamanya di bahagian kepala si mati?

Menurut beliau, pihak polis sebaliknya terus membawa si mati ke dalam lokap selepas penggeledahan, tanpa melakukan pemeriksaan kesihatan seperti yang terkandung dalam Kaedah 36, Kaedah-Kaedah Lokap 1953: “Pegawai Penjaga atau Timbalan Pegawai Penjaga hendaklah tanpa berlengah lagi merepot kepada Pegawai Perubatan apa-apa kes nyata sakit otak, kecederaan kepada atau seseorang banduan sakit.”

Pihak polis juga telah mengingkari Perkara 15 SOP Pengurusan Lokap PDRM bertarikh 1 Julai 2014 yang memperuntukkan:

“Pemeriksaan Kesihatan Ke atas Banduan:

ii. Merujuk banduan yang sakit/perlu bantuan perubatan ke Pegawai Perubatan”

Lebih mengejutkan, ketua Polis Kedah tidak tahu bahawa perintah tetap ketua polis negara PTKPN A’118’ dalam perenggan 9.2 telah mewajibkan:

“Tahanan yang melapor sakit atau tahanan yang pada pendapat Timbalan Pegawai Penjaga, memerlukan bantuan perubatan, hendaklah dihantar ke hospital di bawah kawalan untuk diperiksa oleh pegawai perubatan.”

Edict juga hairan dengan tindakan ketua Polis Kedah yang mengaitkan kes lampau si mati dengan penahanan kali ini. Apakah kaitan antara sejarah silam si mati dengan penahanan dan kematian yang berlaku akibat kecederaan yang berlaku sekarang?

READ MORE:  Campurtangan politik terhadap polis harus dihentikan

Adakah seseorang yang mempunyai kes lampau yang telah pun tamat menjalani hukuman yang ditetapkan, boleh diperlakukan kejam tidak berperikemanusiaan?

Edict juga menggesa pihak Polis Kedah untuk menunjukkan rakaman CCTV lokap untuk membuktikan bahawa si mati tidak dibelasah semasa berada di dalam lokap. Pendedahan rakaman CCTV ini juga penting bagi memastikan orang awam tidak mempunyai sebarang prasangka terhadap polis dalam kes ini.

Edict berpandangan respon oleh ketua Polis Kedah ini adalah satu respon yang tidak cermat dan tidak berhemah. Sebagai seorang ketua polis negeri, beliau sepatutnya lebih faham dalam tatacara polis yang telah dimandatkan undang-undang berkenaan cara-cara mengendalikan tahanan reman yang cedera dan kewajipan memberikan rawatan kepada tahanan sebaik sahaja tahanan didapati cedera.

Namun daripada kenyataan beliau ini, jelas beliau memerlukan latihan yang sewajarnya di semua tatacara yang perlu di dalam menguruskan tahanan yang disiasat.

Edict mengulangi sekali lagi bahawa tiada keperluan bagi sesiapa untuk mati di dalam tahanan polis. Sekirannya terdapat mana-mana tahanan yang sakit dan/atau cedera di dalam tahanan polis maka mereka perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Apa-apa kegagalan dan/atau pengabaian tugas seperti yang dimandatkan di dalam Akta Polis 1967 akan membawa imej serta prasangka buruk terhadap polis dalam pandangan masyarakat umum. – Edict

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.