Repons G25 terhadap pengurangan hukuman ke atas Najib

Najib Razak - BERNAMA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kami, ahli G25, berasa terkejut dengan keputusan Lembaga Pengampunan memberikan pengurangan 50% daripada hukuman penjara 12 tahun kepada Najib Razak dan pengurangan besar dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta sahaja.

Kami berasa begitu memandangkan betapa beratnya jenayah yang telah dilakukan beliau dan jumlah wang yang besar yang telah digelapkan, iaitu RM42 juta.

Kami, bersama pertubuhan masyarakat sivil yang lain, secara jujur ​​merasakan bahawa berdasarkan keadaan kes ini, keputusan Lembaga Pengampunan malangnya telah mengaibkan sistem keadilan negara.

Oleh itu, kami dengan hormatnya meminta Lembaga Pengampunan memberikan alasan bertulis kepada orang ramai bagi menjelaskan rasional di sebalik keputusan sedemikian.

Atau, sekurang-kurangnya, menzahirkan kepada umum pendapat bertulis peguam negara yang diberikan oleh beliau kepada Lembaga Pengampunan itu menurut Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mari kita pertimbangkan fakta di sebalik rentetan perkembangan ini. Pada bulan Julai 2020 Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram, berkaitan wang milik SRC International Sdn Bhd, dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Dia dijatuhi hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan itu. Oleh kerena mahkamah memerintahkan supaya hukuman-hukuman dijalani serentak, maka dia dikehendaki oleh undang-undang untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun sahaja. Dia juga didenda RM210 juta. Denda masih belum dibayar.

Rayuannya telah ditolak sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh tiga orang hakim.

Juga, rayuannya ke Mahkamah Persekutuan ditolak sebulat suara oleh panel lima hakim.

Permohonannya untuk semakan oleh Mahkamah Persekutuan juga ditolak oleh mahkamah dengan majoriti 4-1.

Begitu banyak tenaga, masa dan sumber telah dibelanjakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pejabat peguam negara untuk menyiasat dan mendakwa Najib di mahkamah – daripada Mahkamah Tinggi sehingga ke Mahkamah Persekutuan, dan untuk memastikan sabitan.

READ MORE:  100% reform now, no more excuses!

Tiga belas hakim telah mendapati Najib bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya.

Dalam mempertimbangkan kewajaran atau sebaliknya keputusan Lembaga Pengampunan, kita juga tidak boleh melupakan hakikat bahawa Najib sehingga kini hanya telah menjalani hukuman penjara selama 17 bulan sahaja daripada hukuman asal 144 bulan.

Dia mempunyai tiga lagi kes jenayah yang belum selesai. Salah satu kes ini melibatkan penerimaannya wang kira-kira AS$600 juta (RM2.8bn) dalam akaun bank peribadinya.

Perbicaraan kes ini telah berlangsung selama tiga tahun, dengan ramai saksi pendakwaan telah memberikan keterangan mengenai penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Dalam satu lagi kes yang sedang berjalan, Najib dan Mohd Irwan Serigar Abdullah didakwa bersabit enam pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM6.6bn dana kerajaan atas kapasiti mereka masing-masing sebagai menteri kewangan dan ketua setiausaha perbendaharaan.

Najib juga sedang berdepan dengan kes cukai. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri sedang meneruskan kes tersebut untuk mendapatkan semula sebanyak RM1.7bn cukai yang belum dibayar.

Berdasarkan semua fakta ini, kami mendapati adalah sangat tidak masuk akal bagi hukumannya dikurangkan secara mendadak oleh Lembaga Pengampunan.

Lebih-lebih lagi apabila memandangkan bahawa Najib tidak mengaku kesalahannya, tidak menunjukkan penyesalan dan tidak membuat sebarang pengembalian wang yang telah digelapkannya.

Kami khuatir bahawa keputusan Lembaga Pengampunan akan mewujudkan preseden (precedent) yang buruk bagi perundangan di negara ini. Ia akan mengakibatkan sistem keadilan di Malaysia menjadi bahan cemuhan di peringkat antarabangsa.

Menurut bekas peguam negara, Tommy Thomas, mengikut amalan konvensyen, antara syarat untuk mendapatkan pengampunan ialah seseorang banduan itu, pertamanya, mestilah telah menjalani satu pertiga daripada hukuman penjara sebelum memohon pengampunan. Kedua, dia tidak boleh mempunyai sebarang kes jenayah lain yang belum selesai.

READ MORE:  Tingkatkan taraf hidup rakyat, banteraskan rasuah tanpa pilih kasih

Dalam kes Najib, dia masih belum menjalani satu pertiga daripada hukuman penjara selama 12 tahun. Dan dia mempunyai kes-kes jenayah lain yang belum selesai.

Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengawalkan pendengaran kes Najib.

Dia dilaporkan berkata: “We would like to thank the prime minister because by right, Najib’s pardon petition can only be heard by the Pardons Board after going through one-third of his sentence.

“But due to efforts by the president (Zahid) and raised by the prime minister, Najib’s petition was heard ‘early’ by the 16th Yang di-Pertuan Agong.”

[Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana sepatutnya petisyen pengampunan Najib hanya boleh didengar oleh Lembaga Pengampunan setelah beliau menjalani satu pertiga hukumannya. Tetapi oleh kerana usaha presiden (Zahid) dan dibangkitkan oleh perdana menteri, petisyen Najib didengar ‘awal’ oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.]

Persoalannya sekarang, kenapa perlu perdana menteri dan Zahid terlibat dalam mempercepatkan permohonan Najib?

Juga, dengan mempercepatkan permohonan pengampunan Najib di hadapan Lembaga Pengampunan, sedangkan masih terdapat ramai lagi banduan lain dalam senarai barisan yang sedang menunggu giliran permohonan pengampunan mereka didengari, bukankah ini tidak selari dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak saksama di sisi undang-undang? Bukankah Najib sepatutnya menunggu giliran untuk permohonannya didengar di hadapan Lembaga Pengampunan, sama seperti orang lain?

Berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan terletak pada Agong. Oleh yang demikian adalah penting bagi kuasa itu dilaksanakan dengan penuh bermaruah dan bijaksana. Pertimbangan yang tidak relevan mesti diketepikan.

READ MORE:  Najib's reduced sentence: Many questions linger

Undang-undang tidak memilih kasih. Keadilan mesti sentiasa ditegakkan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Mereka yang diamanahkan untuk menegakkan keadilan dan undang-undang tidak boleh mengkhianati amanah itu.

Kami, dalam G25 sangat berharap apa yang berlaku tidak akan berulang pada masa hadapan.

Akhir sekali, mengambil kira perkara di atas, dan memandangkan keseriusan perkara ini yang pastinya akan menjejaskan imej dan kredibiliti negara kita, sama ada di dalam atau di luar negara, kami merakamkan harapan agar perkara ini dapat dikaji semula pada mesyuarat awal Lembaga Pengampunan untuk membatalkan keputusan yang memberikan pengampunan separa kepada Najib. – G25 Malaysia

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments