Reformasi menyeluruh diperlu dalam pengawasan pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas

SABINEVANERP/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Badan Peguam Malaysia memandang serius terhadap laporan penderaan dan eksploitasi kanak-kanak serta warga emas di pusat-pusat jagaan, termasuk kes terbaru yang membawa kepada penutupan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Cheras.

Kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan, pengabaian dan eksploitasi terhadap golongan rentan ini.

Insiden-insiden sedemikian bukanlah kejadian yang terpencil. Ia mencerminkan kelemahan sistemik dalam kawal selia pusat jagaan, baik dari segi perundangan, pemantauan, mahupun pelaksanaan dasar.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, Malaysia tidak seharusnya membiarkan pusat jagaan yang tidak berdaftar terus beroperasi tanpa pemantauan dan kewajipan untuk memenuhi standard minimum, sehingga menyebabkan ia beroperasi dalam keadaan kucar-kacir, tidak terurus dan tanpa akauntabiliti.

Badan Peguam Malaysia ingin mengingatkan bahawa terdapat banyak pusat jagaan – sama ada untuk kanak-kanak mahupun warga emas – yang berhadapan dengan isu-isu seperti yang disenaraikan di bawah:

  • Kekurangan penguatkuasaan dan pemantauan berkala terhadap pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas tidak berlesen
  • Ketiadaan latihan dan pentauliahan wajib untuk penjaga yang bertugas dengan golongan rentan
  • Penderaan fizikal, emosi dan pengabaian yang tidak dilaporkan atau gagal ditangani dengan cekap
  • Liabiliti perundangan yang kabur serta kekeliruan antara bidang kuasa agensi kerajaan, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan
  • Kos penjagaan yang tinggi dan tiada skim sokongan mampan untuk golongan berpendapatan rendah
  • Infrastruktur yang tidak selamat atau tidak sesuai untuk penjagaan jangka panjang
  • Kurangnya ketelusan dan laporan awam, termasuk data penderaan, kematian, mahupun pengauditan dalaman
  • Stigma dan sikap masyarakat yang enggan bertanggungjawab atau tidak melaporkan kejadian kerana bimbang imej akan tercemar
  • Ketiadaan mekanisme aduan yang selamat dan sesuai untuk kanak-kanak dan warga emas, yang membolehkan golongan ini membuat laporan mengenai penderaan atau layanan buruk dengan berkesan
  • Ketiadaan lembaga pelawat yang dilantik oleh JKM bagi setiap pusat jagaan swasta untuk membuat lawatan dan penilaian berkala demi memastikan kebajikan penghuni dan pengurusan pusat berjalan dengan baik dan
  • Tiada pemantauan yang khusus terhadap pengurusan kewangan pusat jagaan bagi memastikan ketelusan dalam penggunaan dana awam dan sumbangan yang diterima

Meskipun terdapat usaha oleh kerajaan untuk mengawal selia pusat jagaan melalui Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta Kanak-Kanak 2001, masih wujud kelemahan dalam usaha-usaha pelaksanaan dan penguatkuasaan.

Sehubungan itu, Badan Peguam Malaysia menyeru agar perkara-perkara berikut dapat dilaksanakan:

  • Penguatkuasaan bersepadu dan audit berkala terhadap semua pusat jagaan, sama ada berdaftar atau tidak
  • Pendaftaran mandatori dan penstrukturan latihan bersijil dengan kurikulum yang komprehensif untuk semua pengendali dan penjaga pusat jagaan
  • Sistem laporan awam tahunan mengenai prestasi, aduan dan insiden dalam pusat-pusat jagaan
  • Insentif kewangan atau subsidi penjagaan kepada keluarga-keluarga berpendapatan 40% terendah bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada penjagaan yang selamat dan berkualiti
  • Kempen kesedaran peringkat nasional bagi mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap hak dan kesejahteraan penghuni pusat-pusat jagaan
  • Mekanisme aduan yang selamat dan sesuai untuk kanak-kanak dan warga emas bagi membolehkan mereka membuat aduan dengan berkesan
  • Pelantikan lembaga pelawat yang dikendalikan JKM untuk membuat lawatan dan pemantauan secara berkala di setiap pusat jagaan swasta dan
  • Pelantikan juruaudit dan akauntan bertauliah untuk memantau pengurusan kewangan pusat-pusat jagaan, untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti sumbangan awam dan dana operasi pusat-pusat tersebut

Badan Peguam Malaysia mengulangi komitmen untuk terus memperjuangkan hak, keselamatan dan maruah golongan rentan.

Kes yang baru terjadi ini bukan sekadar satu kes terpencil – ia adalah panggilan untuk bertindak dan peluang untuk memperbetulkan dasar sedia ada dengan pendekatan yang menyeluruh dan manusiawi (humane).

Marilah kita bersama-sama menjadikan negara ini sememangnya selamat untuk mereka yang paling rentan dalam kalangan kita.

Mohamad Ezri Abdul Wahab ialah  yang dipertua Badan Peguam Malaysia.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments