Kami, kumpulan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, mengambil maklum pembentangan Rang Undang-undang (RUU) 5/2026 bagi memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Kami juga telah mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Peguam Negara Dusuki Mokhtar yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Azalina Othman Said di Parlimen baru-baru ini.
Setelah meneliti rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan, kami berpandangan bahawa rang undang-undang ini tidak menepati semangat pemisahan yang sebenarnya.
Pemisahan yang sebenar adalah pemisahan yang dapat menyeimbangkan kuasa pendakwaan dan perlindungan kepada institusi tanpa ada mana-mana satu individu memegang kekuasaan penuh dalam proses ini.
Kami melihat bahawa rang undang-undang pemisahan peguam negara dan pendakwa raya yang dibentangkan tidak mewujudkan tahap kebebasan dan jaminan keselamatan yang mencukupi dalam pelantikan pendakwa raya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Dalam kenyataan ini, kami ingin menyorot beberapa perkara mustahak yang perlu diberi perhatian oleh rakyat Malaysia, terutamanya ahli-ahli parlimen.
Rang undang-undang ini mencadangkan bahawa pendakwa raya dilantik oleh Agong menurut budi bicaranya, atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Kami dengan rendah diri berpendapat bahawa walaupun perdana menteri tidak terlibat secara langsung, beliau adalah terlibat secara tidak langsung melalui pelantikan pengerusi SPKP di mana pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, yang dilantik atas nasihat perdana menteri, juga merupakan pengerusi SPKP, yang sekarang mempunyai peranan besar dalam pelantikan pendakwa raya.
Selain itu, rang undang-undang ini tidak menjelaskan bahawa hanya nama atau nama-nama yang dicadangkan oleh SPKP mesti dipertimbangkan oleh Agong.
Kerajaan juga telah mencadangkan perubahan dalam pelantikan anggota-anggota lain SPKP (sila rujuk kepada pindaan kepada Perkara 138(2)(c) Perlembagaan) tanpa alasan yang munasabah.
Perlu ditekankan bahawa sebarang pindaan kepada Perlembagaan bagi tujuan meluaskan kuasa budi bicara mana-mana pihak hanya harus dilakukan atas alasan perlu dan berkadaran (necessary and proportionate) dan hanya setelah diberi peluang semakan secara terperinci oleh ahli-ahli parlimen.
Memandangkan pendakwa raya baharu akan memegang kuasa yang besar, menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memperhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, kami ingin mengingatkan bahawa setiap individu berpotensi menjadi defendan dalam sesuatu prosiding jenayah.
Dalam kerangka yang dicadangkan melalui rang undang-undang ini, persoalan timbul sekiranya berlaku situasi yang memerlukan pendakwa raya untuk mempertimbangkan tindakan jenayah terhadap mana-mana anggota atau kerabat diraja.
Justeru, kaedah terbaik untuk melantik pendakwa raya adalah melalui proses yang berlapis yang telus dan bertanggungjawab, di mana tidak ada mana-mana satu individu boleh mempunyai budi bicara untuk melantik pendakwa raya.
Kami mencadangkan agar proses pelantikan pendakwa raya turut
melibatkan Parlimen, sebagai sebuah institusi terbesar yang dipilih oleh rakyat, di mana peranan utamanya adalah untuk menjalankan semak dan imbang secara institusi.
Ini dapat mengelakkan mana-mana satu individu yang berkuasa untuk melantik pendakwa raya tanpa ada semak imbang yang bersesuaian.
SPKP tidak boleh memainkan peranan ini kerana keahlian SPKP terdiri daripada mereka yang dilantik ke jawatan rasmi mereka oleh perdana menteri.
Pada masa yang sama, rang undang-undang yang dibentangkan tidak mempunyai mekanisme akauntabiliti yang boleh menjadi penghalang kepada salah guna kuasa atau untuk melindungi pendakwa raya daripada tekanan tidak wajar. Pendakwa raya secara asasnya tidak mempunyai had atau perlindungan bagi melaksanakan kuasa dan peranan beliau.
Kami sekali lagi ingin mengingatkan bahawa kelemahan struktur institusi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sedia ada adalah kerana ketiadaan mekanisme akauntabiliti yang berkesan untuk memastikan semak dan imbang, yang mengakibat ketidakpercayaan terhadap institusi ini.
Berdasarkan kerangka Rang Undang-undang 5/2026, pendakwa raya baharu akan mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak tanpa ada ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap tindakan beliau kepada mana-mana badan yang dipilih oleh rakyat.
Bahkan kuasa pendakwa raya adalah lebih besar daripada ketua pesuruhjaya SPRM, malah tidak juga seperti menteri yang mempunyai kebertanggungjawaban langsung kepada Parlimen serta para pengundi mereka.
Rang undang-undang yang dibentangkan perlu diperhalusi dengan lebih lanjut dan teliti sebelum ahli-ahli parlimen mengambil pendirian untuk meluluskan rang undang-undang ini.
Kami menggesa agar rang undang-undang ini dirujuk kepada sebuah jawatankuasa pilihan parlimen di bawah peraturan 54 dan/atau peraturan 80B(3)(a) peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat untuk jawatankuasa terbabit membuat semakan penuh terhadap rang undang-undang ini, dan mengadakan libat urus yang bermakna bersama pihak-pihak berkepentingan yang utama.
Maklum balas yang lebih lengkap akan kami hantar secara bertulis kepada ahli-ahli parlimen dan bahagian hal ehwal undang-undang dalam masa terdekat.
Dikeluarkan secara bersama oleh:
- Bersih
- C4 Center
- Ideas
- Projek Sama
- Rasuah Busters
- Ikram Malaysia
- Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











