Projek tambak Jelutong ditolak empat kali: Kenapa ia masih belum mati?

ProtectKarpal memberi amaran bahawa projek penambakan yang cacat tidak boleh dihidupkan semula dengan nama baharu

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Jawatankuasa tindakan Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal) memandang serius kenyataan terkini ketua menteri Pulau Pinang mengenai projek tapak pelupusan Jelutong.

Beliau memberi bayangan bahawa projek ini masih boleh diteruskan dalam bentuk yang “dikecilkan” atau melalui “konsep lain”, walaupun Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menolak laporan penilaian kesan alam sekitar projek itu buat kali keempat berturut-turut.

Kami merakamkan penghargaan kepada JAS kerana mempertahankan integriti alam sekitar dan menjalankan tanggungjawab kawal selia dengan tegas. Seperti yang dinyatakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, empat kali penolakan adalah satu amaran yang sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Jika projek ini telah gagal mendapat kelulusan sebanyak empat kali, maka sebarang usaha untuk menghidupkannya semula – walaupun dengan nama baharu, saiz lebih kecil atau konsep yang diubah – adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

Sehubungan itu, ProtectKarpal dengan tegas menyatakan pendirian kami seperti berikut:

Tiada penjenamaan semula: Relan penambakan yang ditolak tidak boleh dihidupkan semula dengan nama baharu. Sebuah pelan penambakan yang cacat pada asasnya tidak boleh diterima hanya kerana ia dijenamakan semula, dikecilkan skalanya, atau dijenamakan dengan istilah yang lebih lunak.

Isu sebenarnya ialah risiko sebenar dan kesan sebenar – termasuk ancaman kemusnahan yang tidak boleh dipulihkan terhadap ekosistem marin Middle Bank, serta risiko kesihatan awam yang serius jika sisa toksik berpuluh tahun digali semula untuk tujuan penambakan laut.

Mengurangkan saiz penambakan tidak menghapuskan bahaya. Ia hanya mengecilkan skala kerosakan. Menukar istilah juga tidak mengubah hakikat.

Atas sebab itu, kami menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan membawa balik projek penambakan ini secara berperingkat, secara “versi kecil” atau melalui apa juga “konsep baharu”.

READ MORE:  The Batu Ferringhi coastline is eroding – and so is our trust

Dedahkan sepenuhnya surat penolakan JAS: Ketua menteri dilaporkan berkata bahawa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) perlu meneliti kandungan penuh surat JAS sebelum membuat syor kepada kerajaan negeri.

ProtectKarpal turut mempersoalkan mengapa PDC ditugaskan untuk meneliti surat penolakan JAS dan mencadangkan tindakan susulan, sedangkan PDC sendiri ialah pengurus projek dan pihak berkepentingan institusi dalam projek ini.

Sesuatu pihak yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek tidak boleh dianggap sebagai pentafsir yang berkecuali terhadap penolakan tersebut.

Sebarang penilaian terhadap dapatan JAS tidak boleh dibataskan kepada PDC semata-mata, sebaliknya mesti merangkumi pendedahan penuh kepada umum, penelitian oleh pakar bebas, serta penyertaan rasmi penduduk yang terkesan.

Dengan itu, jika surat itu akan dijadikan asas untuk pertimbangan selanjutnya, maka rakyat juga berhak mengetahui kandungannya secara penuh.

ProtectKarpal dengan ini menuntut supaya surat penolakan JAS didedahkan segera, sepenuhnya, dan tanpa sebarang suntingan.

Tuntutan ini berasaskan tiga prinsip utama:

  • Kebertanggungjawaban awam: Penduduk dan masyarakat sivil berhak mengetahui mengapa satu projek sebesar ini gagal memperoleh kelulusan sebanyak empat kali. Tadbir urus alam sekitar tidak boleh dijalankan secara kabur, melalui pendedahan separa, atau ringkasan terpilih.
  • Integriti dasar: Jika kerajaan negeri masih mahu menimbangkan versi yang “dikecilkan”, orang ramai mesti tahu dengan tepat apakah kelemahan struktur, risiko alam sekitar dan isu teknikal yang telah dibangkitkan oleh JAS. Tanpa maklumat ini, rakyat tidak dapat menilai sama ada kerajaan benar-benar mahu menangani risiko atau sekadar mencari jalan untuk melepasi halangan kawal selia.
  • Pemulihan kepercayaan awam: Selepas bertahun-tahun kontroversi, dan selepas jaminan berulang kali bahawa projek ini tidak akan diteruskan tanpa kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar, ketelusan bukan lagi pilihan – ia adalah syarat minimum untuk sebarang kredibiliti.
READ MORE:  Penolakan EIA kelima! KM Pulau Pinang mesti tunaikan janji

Orang ramai tidak boleh diminta menerima cadangan yang dijenama semula sedangkan sebab-sebab penolakan asal masih disembunyikan.

Libatkan komuniti secara langsung

ProtectKarpal juga menegaskan bahawa sebarang pelan masa depan berkaitan tapak pelupusan Jelutong tidak boleh lagi ditentukan secara atas-ke-bawah.

Selaras dengan semangat kerajaan “Madani” yang menekankan demokrasi, ketelusan dan keterangkuman, sudah tiba masanya pendekatan “maklumkan kemudian” digantikan dengan penyertaan sebenar dalam proses membuat keputusan.

Kami menuntut supaya satu pasukan petugas bersama yang dibentuk secara rasmi diwujudkan bagi menentukan langkah seterusnya berhubung tapak ini. Pasukan ini mestilah merangkumi:

  • wakil kerajaan negeri,
  • wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang
  • pakar bebas alam sekitar dan kesihatan awam daripada institusi akademik tempatan,
  • wakil masyarakat sivil,
  • wakil komuniti termasuk Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang Pulau Pinang

Komuniti yang menanggung risiko paling besar mesti diberi tempat di meja rundingan ketika penyelesaian dirangka – bukan sekadar diberi penerangan selepas keputusan dibuat.

Tuntutan tegas ProtectKarpal adalah seperti berikut:

  • Tiada penambakan laut atas nama, saiz atau konsep yang berbeza
  • Pendedahan segera surat penolakan JAS secara penuh dan tanpa suntingan
  • Penyertaan rasmi ProtectKarpal, wakil penduduk dan pakar bebas dalam semua proses membuat keputusan pada masa hadapan
  • Tumpuan mesti diberikan kepada penyelesaian krisis tapak pelupusan melalui kaedah berasaskan sains seperti penutupan selamat di tapak (in-situ safe closure), dan bukannya digabungkan dengan pembangunan komersial berasaskan penambakan laut.
  • Wartakan Middle Bank sebagai santuari marin

Penduduk Bandar Sri Pinang dan Jelutong berhak mendapat penjelasan yang jelas. Mereka berhak mendapat ketelusan yang berasaskan fakta. Dan mereka berhak bersuara secara langsung dalam menentukan masa depan alam sekitar mereka sendiri.

READ MORE:  Environment report for Karpal Singh Drive reclamation rejected for the fourth time!

Satu projek penambakan yang telah ditolak dan berisiko tinggi tidak boleh dibawa masuk semula secara senyap melalui pembungkusan yang berbeza. – ProtectKarpal

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted