Home Coalitions Clean and Fair Elections Pindaan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat ke arah pembentukan demokrasi berparlimen yang matang

Pindaan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat ke arah pembentukan demokrasi berparlimen yang matang

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Bersih mengalu-alukan pindaan penambahbaikan peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat yang telah diluluskan tanpa perbahasan pada 12 Ogos setelah jawatankuasa peraturan mesyuarat bermesyuarat pada 23 Julai.

Kali terakhir pindaannya pada 2023. Pindaan ini merupakan kesinambungan reformasi terpenting selepas pengenalan semula Undang-undang Perkhidmatan Parlimen yang telah diluluskan pada sidang Dewan Rakyat awal tahun ini.

Antara intipati terpenting pindaan ini adalah penaiktarafan jawatankuasa pilihan khas berasaskan kementerian sedia ada daripada bersifat sementara atau ad hoc kepada jawatankuasa pilihan yang berstatus tetap (peraturan mesyuarat 80B).

Hal ini bermakna kewujudan jawatankuasa memantau kementerian-kementerian yang disenaraikan, terjamin dalam peraturan mesyuarat serta mesti ditubuhkan oleh Parlimen penggal baharu selepas sesebuah pilihan raya umum diadakan, dan kekal sehingga Parlimen dibubarkan.

Selain itu, peruntukan urusan baharu dalam aturan urusan mesyuarat yang akan memberi ruang kepada para pengerusi jawatankuasa pilihan memberi penerangan mengenai penyata masing-masing (peraturan mesyuarat PM 14(1)(ia)), yang mana peruntukan semasa tidak menyatakan secara jelas peranan para pengerusi jawatankuasa pilihan.

Tambahan daripada itu, anggota jawatankuasa ditingkatkan daripada sembilan orang kepada 12 belas orang ahli yang akan memberi peluang lebih ramai ahli Parlimen persendirian, tidak kira backbencher mahupun pembangkang, terlibat lebih aktif dalam proses pemantauan dan pembuatan dasar yang lebih komprehensif.

Langkah-langkah memperkasakan jawatankuasa yang disebutkan bukanlah gesaan baru bagi Bersih dan pertubuhan masyarakat sivil yang sekian lama telah memperjuang agenda reformasi parlimen dalam meningkatkan keberkesanan fungsi kawal dan imbang serta memastikan kelestarian institusi ini selari peredaran zaman.

Bersih sebelum ini telah menerbitkan dua kertas kajian khusus bertajuk ‘Parliamentary select committee (PSC) reforms’ dan ‘Unlocking the powers of Dewan Rakyat’. Masing-masing mengandungi syor memperkukuh sistem jawatankuasa parlimen dan cadangan pindaan untuk memperkasa peraturan mesyuarat Dewan Rakyat secara holisitik.

READ MORE:  G25 in support for a stronger permanent parliamentary committee system

Namun demikian, ketiadaan perbahasan selepas pembentangan pindaan peraturan mesyuarat ini juga sedikit sebanyak mencacatkan semangat untuk mereformasi peraturan mesyuarat kerana ahli-ahli Dewan Rakyat tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan mereka, memandangkan mereka adalah ahli yang akan terkesan dengan sebarang perubahan peraturan tersebut.

Walau bagaimanapun, penambahbaikan kali ini adalah satu langkah ke depan. Banyak lagi ruang penambahbaikan masih diperlukan agar fungsi kawal dan imbang parlimen benar-benar berkesan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian pada masa akan datang:

  • Jawatankuasa yang lebih komprehensif yang merangkumi isu tematik selain berasaskan isu kementerian. Sebagai contoh isu semakan anggaran perbekalan tahunan dan isu proses pelantikan jawatan utama awam yang patut diambil kira. Selain itu, tiada jaminan dalam pindaan ini untuk ditubuhkan sebuah jawatankuasa bagi kementerian atau isu baharu yang mungkin wujud dalam kerajaan lain pada masa akan datang.
  • Kuasa dan ketelusan jawatankuasa parlimen patut diangkat sewajarnya, yang mana pindaan terbaru tidak dikembangkan kuasa seperti mengeluarkan sapina dan inkuiri terbuka, selain tiada keperluan untuk siaran langsung prosiding seperti amalan semasa di kamar utama dan kamar khas.
  • Urusan pembangkang dan ahli persendirian perlu diperkasakan kerana seringkali urusan ahli bukan menteri seperti usul dan rang undang-undang persendirian dianaktirikan berbanding urusan kerajaan dalam aturan urusan masyarakat, sekali gus menafikan fungsi dan peranan para MP ini untuk mencadang apa-apa dasar atau perundangan yang bermanfaat.
  • Pengukuhan peranan Dewan Negara: Reformasi parlimen mahu tidak mahu mesti melibatkan Dewan Negara, termasuklah memperkukuh kuasa jawatankuasanya agar senator dapat menjalankan peranan kawal dan imbang di peringkat mereka.

Bersih menyeru kerajaan dan semua Ahli Parlimen agar menjadikan pindaan peraturan mesyuarat ini sebagai pemangkin utama kepada reformasi parlimen yang lebih menyeluruh, seiring autonomi dalam Akta Perkhidmatan Parlimen.

READ MORE:  Multi-party caucus welcomes stronger parliamentary committee system, urges state assemblies to emulate

Bersih turut menggesa reformasi badan legislatif ini disambut juga oleh para menteri besar, ketua menteri, premier dan speaker dewan undangan negeri masing-masing di peringkat negeri supaya tiada kesenjangan yang ketara antara persekutuan dan negeri dalam usaha penambahbaikan institusi terpenting ini.

Reformasi yang berterusan akan memastikan Parlimen Malaysia benar-benar menjadi institusi yang bebas, telus dan mampu menjalankan fungsi kawal dan imbang secara efektif. – Bersih

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x