PH perlu mara dan tegas pertahanan pembaruannya

0
21 views
Photograph: Wikimedia Commons

PH perlu memastikan agenda pembaruan diteruskan melalui kerajaan PN dengan pemantauan dan penekanan yang berterusan, ujar WH Cheng.

Kini telah genap lebih sebulan kerajaan yang dianggotai oleh Perikatan Nasional (PN) memerintah negara kita berikutan kejayaan rampasan kuasa mereka pada hujung February 2020 lalu, di mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan oleh suatu siri pemberontakan yang dipelopori Bersatu dan 11 ahli parlimen yang menyokong Azmin Ali di dalam gabungan kerajaan terdahulu.

Masa telah tiba bagi pucuk pimpinan PH untuk menyusun semula strategi mereka dan adalah perlu bagi mereka meneruskan perlaksanaan pembersihan dalaman parti-parti kompenen PH setelah melihat ramai di antara pemimpin dan wakil-wakil rakyat mereka berpaling tadah setelah bersetuju menerima tawaran-tawaran yang agak lumayan daripada kepimpinan kerajaan PN.

Perkara utama yang PH perlu berikan tumpuan adalah memastikan beberapa siri pembaharuan yang telah dirancang oleh kepimpinan mereka sewaktu berkerajaan sebelum ini diteruskan melalui kerajaan PN dengan pemantauan dan penekanan yang berterusan oleh PH.

Ini adalah sebahagian daripada usaha yang PH perlu tekankan bagi memastikan rakyat jelata terus yakin dan menyokong PH di dalam penjuangan menegakkan pembaharuan dan keadilan untuk negara kita.

Antara yang perlu diberi penekanan adalah pembaharuan institusi parlimen di mana Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen (Parliamentary Service Bill) yang akan memastikan institusi Parlimen dapat dibebaskan daripada kongkongan dan pengaruh Jabatan Perdana Menteri.

Kami amat yakin kerajaan PN sekarang akan cuba dengan sedaya-upaya melengah-lengah usaha untuk membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen tersebut memandangkan keperluan Jabatan Perdana Menteri untuk terus menguasai segala prosiding dalam badan perundangan tersebut agar apajua keputusan dapat dikawal dan diluluskan tanpa sebarang halangan.

Pembentangan dan kelulusan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen ini adalah perlu bagi memastikan kebebasan institusi Parlimen daripada kongkongan dan pengaruh pihak eksekutif – agar kerajaan tidak lagi dapat campurtangan dan mempengaruhi semua urusan yang berkaitan dengan pengurusan dan perancangan dasar Parlimen (termasuk perlantikan dan pengambilan kakitangan), penyediaan dan rang undang-undang, penyelidikan, protokol dan apajua hal yang berkaitan dengan kepentingan dan kebebasan parlimen.

Seterusnya seperti yang dipaparkan di dalam rekod parlimen, banyak rang undang-undang telah dibahas dan diluluskan tetapi masih belum dapat dijadikan undang-undang atau akta secara rasmi kerana kesemua rang undang-undang tersebut masih belum digazetkan.

READ MORE:  Pakatan Harapan's fall: Challenges of governing

Penekanan perlu diberikan oleh PH terhadap kerajaan PN agar semua rang undang-undang yang telah diluluskan tetapi belum digazet untuk dijadikan undang-undang atau akta rasmi disegerakan proses tersebut.

Di antara beberapa rang undang-undang penting yang perlu digazetkan segera seperti yang dirancang dalam pembaharuan PH sebelum ini adalah

  • Rang Undang-undang Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2019
  • Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019
  • Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019
  • Rang Undang-undang Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019
  • Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, yang akan menghadkan tempoh seseorang perdana menteri, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri dan pindaan had umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun

Selain daripada itu, PH juga hendaklah memberikan lebih penekanan dalam memastikan semua jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas parlimen yang dibentuk dari tahun 2018 hingga 2019 kekal hingga ke akhir penggal parlimen ke-14.

Jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas parlimen ini adalah penting bagi melaksanakan pemantauan dan penyiasatan yang berterusan terhadap kerja-kerja, kegiatan, dasar-dasar dan perbelanjaan yang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian kerajaan agar sebarang kesilapan pengurusan, penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan dan perbelanjaan wang kerajaan dapat disiasat, dikawal dan apajua elemen-elemen negatif dapat terus dibendung pada peringkat awal.

Jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas parlimen yang telah dibentuk dari tahun 2018 hingga 2019 adalah:

  • Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender Dan Pembangunan Keluarga
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia Dan Hal Ehwal Perlembagaan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi Dan Alam Sekitar
READ MORE:  Pakatan Harapan's fall: Lessons for all

Selain daripada itu kaukus-kaukus dan jawatankuasa tetap parlimen yang penting perlu dipastikan kekal berfungsi seperti:

  • Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen
  • Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat
  • Kaukus Wanita Parlimen
  • Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)

Akhirnya, PH di dalam usaha untuk memperkuatkan barisan hadapan parlimen (front bench), satu kabinet bayangan (shadow cabinet) perlu dibentuk bagi memastikan kesediaan PH untuk mengambil-alih pentadbiran di suatu masa yang akan datang.

Pembentukan kabinet bayangan ini adalah selaras dengan tanggungjawab utama barisan pembangkang di dalam melaksanakan usaha-usaha pemantauan dan pembentangan dasar-dasar alternatif terhadap segala perlaksanaan dasar dan kegiatan kementerian-kementerian kerajaan sekarang.

Kewujudan kabinet bayangan atau shadow cabinet ini adalah untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kemampuan PH untuk berkerajaan semula di masa yang terdekat.

Di peringkat negeri pula, PH juga perlu memastikan tumpuan mereka di negeri-negeri di mana mereka adalah pembangkang agar ianya tidak diabaikan. Persediaan dan pemantauan terhadap kerajaan-kerajaan negeri juga adalah perlu dengan pembentukan barisan exco bayangan (shadow executive councils) bagi memerhati dan memantau segala kegiatan-kegiatan majlis-majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) agar kepentingan rakyat dan negeri masing-masing terpelihara.

PH juga perlu memahami apabila langkah-langkah pembersihan dalam gabungan tersebut selesai, mereka perlu memastikan agar golongan muda di dalam gabungan tersebut dapat diberikan peluang yang lebih luas di peringkat awal untuk mengorak langkah ke alam seni perkerajaan (art of governance) bagi menyediakan mereka untuk sebarang perlantikan ke jawatan-jawatan penting apabila tibanya masa nanti.

Pendidikan politik, pembuatan dasar dan pentadbiran terhadap anak-anak muda adalah penting di dalam menjamin kesinambungan kepimpinan PH di masa-masa yang akan datang dan ianya perlu dimulakan dengan kadar segera.

READ MORE:  Muhyiddin, what happened to your pre-election pledges?

Sumber: inter-researchstudies.blogspot.com

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments