Peruntukan wakil rakyat tidak wajar disekat, lantikan politik bukan hadiah politik

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) ingin menyatakan pendirian berhubung beberapa perkembangan terkini yang menyentuh aspek tadbir urus, kebertanggungjawaban dan amalan demokrasi di Malaysia.

Kami berpandangan bahawa tindakan menyekat peruntukan kepada Ahli Parlimen tertentu serta ketiadaan akses yang konsisten kepada peruntukan pembangunan bagi AP pembangkang menunjukkan bahawa usaha mewujudkan medan persaingan politik yang lebih adil dan saksama masih belum direalisasikan sepenuhnya.

Terbaharu, AP Subang, Wong Chen, dan AP Petaling Jaya, Lee Chean Chung, dilaporkan tidak lagi dapat mengakses laman sesawang unit penyelarasan pelaksanaan (ICU) bagi memohon peruntukan pembangunan untuk kawasan masing-masing.

Oleh itu, akses kepada peruntukan pembangunan tidak wajar ditentukan oleh perbezaan pendirian politik atau hubungan dengan pihak kerajaan. Peruntukan awam pada asasnya bertujuan untuk manfaat rakyat dan pembangunan kawasan, bukan sebagai instrumen ganjaran atau hukuman politik.

Kami juga ingin mengambil perhatian terhadap kenyataan pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, yang dilaporkan menyatakan bahawa pelantikan ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan atau badan berkanun boleh dipertimbangkan untuk bekas ahli dewan undangan negeri bagi Skudai sekiranya beliau tidak lagi memegang jawatan wakil rakyat selepas pilihan raya negeri Johor akan datang.

Kami menegaskan bahawa pelantikan ke syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun perlu berasaskan merit, kelayakan dan keperluan institusi, bukan pertimbangan politik kepartian.

Proses pelantikan yang tidak telus atau dilihat dipengaruhi politik boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap integriti institusi.

Kebimbangan ini disokong oleh dapatan penyelidikan Idea melalui inisiatif Pantau Kuasa dan laporan Who Sits at the Table: From Political to Public Appointees in Malaysia’s Federal Statutory Bodies.

READ MORE:  Wong Chen's blocked portal and what it reveals

Sehingga Oktober 2025, Ideas merekodkan 238 pelantikan politik ke lembaga syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun persekutuan di bawah kerajaan Madani.

Laporan sama turut mendapati 78% jawatan pengerusi badan berkanun diisi individu berkait politik, selain ketiadaan kerangka perundangan yang menyeluruh dan piawaian kelayakan yang jelas.

Ini meningkatkan risiko pertimbangan politik mengatasi merit, kepakaran dan kepentingan awam dalam pelantikan institusi penting.

Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa pelantikan ke syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun perlu dilaksanakan secara telus, berasaskan merit dan disertakan mekanisme semakan bebas.

Jawatan syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun tidak wajar dijadikan pertaruhan atau hadiah sagu hati kepada mana-mana ahli politik yang kalah dalam pilihan raya.

Amalan menjadikan jawatan tersebut sebagai ganjaran atau laluan politik adalah bertentangan dengan semangat reformasi tadbir urus serta mengukuhkan budaya penaungan politik.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, amat penting untuk semua parti dan ahli politik mendukung prinsip-prinsip demokrasi yang luhur.

Dalam sebuah demokrasi yang matang, perbezaan prinsip dan fahaman politik tidak boleh dijadikan asas untuk mendiskriminasi mana-mana wakil rakyat atau menafikan hak rakyat yang diwakili mereka untuk mendapat manfaat daripada peruntukan awam.

Syarikat berkaitan kerajaan atau badan berkanun juga tidak wajar dijadikan taruhan atau habuan kepada mana-mana ahli politik hanya kerana perubahan strategi atau menjaga kepentingan politik.

Kepercayaan dan harapan rakyat terhadap institusi negara dan sistem politik yang kukuh dan matang tidak boleh diambil mudah. – Bersih / Ideas

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted