Pertukaran tanah tentera: Adakah ia penswastaan ataupun perompakan?

2
Patriots

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) pada 9 April 18 telah menuntut jawapan dari perdana menteri penjaga (caretaker) kepada tiga soalan kami:

  1. Apakah yang telah berlaku dalam tempoh 10 tahun terakhir sejak Najib Razak, ketika menjadi Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri membuat cadangan pada tahun 2008 untuk menswastakan tanah Kementah/angkatan tentera?
  2. Adakah tanah melebihi 40,000 hektar telah diswastakan?
  3. Jika ya, kepada syarikat mana dan siapakah pemilik syarikat tersebut?

Soalan ini diajukan berikutan pendedahan yang amat mengejutkan oleh Rafidah Aziz melalui surat terbuka beliau bertarikh 8 Apr 2018.

Ekoran daripada itu, ia mendorong Menteri Pertahanan penjaga Hishammuddin Hussein untuk mengatakan bahawa Rafidah Aziz telah mengungkapkan tiga pembohongan tanpa menjawab soalan bersangkutan yang diajukan oleh Rafidah dan Patriot.

Sebaliknya, Rafidah Aziz telah bersumpah dengan ayat suci Al-Qur’an bahawa setiap keping tanah Kementah/angkatan tentera telah diswastakan kepada tiga individu.

Pada 11 Apr 2018, unit komunikasi strategik Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan, antara lain, menjawab tuduhan Rafidah Aziz seperti berikut:

  • Sebuah syarikat yang terdiri daripada tiga individu menguasai pelaksanaan projek yang berkaitan dengan pertukaran tanah Kementah adalah tidak benar.
  • Tuduhan bahawa semua tanah milik Kementah telah dipindahkan ke sebuah syarikat yang dimiliki oleh tiga individu adalah tidak benar.
  • Secara umumnya, Kementah telah melaksanakan projek-projek pembangunan melalui pelbagai kaedah, termasuk penswastaan pertukaran tanah.

Selain menafikan tuduhan Rafidah Aziz, unit komunikasi strategik Kementah menerangkan dengan panjang lebar tentang prosedur pentadbiran yang perlu dilalui untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang melibatkan tanah Kementah.

Patriot terkejut dan berpendapat bahawa jawapan yang diberikan oleh unit komunikasi strategik Mindef agak mengelak, dan dengan licik mengalihkan perhatian kepada prosedur pentadbiran, dan bukan memberi jawapan secara langsung.

Jawapan yang diberikan tidak mengatakan tanah Kementah/angkatan tentera tidak diswastakan. Ia tidak mengatakan tanah itu tidak diswastakan kepada sebuah syarikat atau syarikat lain. Ia hanya menyatakan syarikat yang dimiliki oleh tiga individu kini memiliki tanah berkenaan adalah tidak benar.

Dengan menyatakan bahawa Kementah telah melaksanakan projek pembangunan melalui pelbagai kaedah, termasuk penswastaan pertukaran tanah, kecuali jika dinyatakan dengan jelas, sebaliknya, Kementah secara tidak sengaja mengakui bahawa tanah tersebut telah diswastakan.

Sama ada kesemua 40,000 hektar lebih tanah tentera atau sebahagian daripadanya telah diswastakan adalah tidak jelas. Sama ada ia telah diswastakan kepada syarikat milik tiga individu (seperti yang didakwa oleh Rafidah Aziz) atau kepada syarikat lain juga tidak begitu relevan.

Titik perbalahan adalah sama ada tanah Kementah/angkatan tentera secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya telah diswastakan kepada syarikat atau orang tertentu. Setelah diswastakan dan pemilikan tanah berpindah, siapa dan apakah yang dapat menghalang mereka daripada menubuhkan syarikat pelbagai peringkat (‘multi-tier’) untuk pemilikan tanah bagi mengelak pemilik tanah sebenar di kesan dengan mudah.

Banyak yang telah diperkatakan mengenai Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi milik 1MDB, Pangkalan Tentera Udara Butterworth berkeluasan 400 hektar yang sepatutnya diambil alih oleh TSR Capital, Kem Majidee di Johor yang telah dijual kepada Syarikat Setia Pantai Sdn Bhd, dan baru-baru ini Kem Gua Permai Rejimen Askar Melayu Diraja di Ipoh yang dikenalpasti untuk pertukaran tanah dengan projek hospital veteran yang ada hubung kait dengan BP Healthcare; batalion ini akan dipindahkan ke Hutan Melintang.

Apa yang dikatakan projek pembangunan ini dan segala urusan diselubungi kerahsiaan. Ini sama sekali tidak boleh diterima. Di manakah suara ahli-ahli majlis angkatan tentera? Di manakah suara para jeneral dan pegawai-pegawai tinggi?

Dengan publisiti meluas baru-baru ini berhubung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Patriot ingin menambah satu soalan tambahan kepada tiga soalan kami yang masih belum terjawab. Berapa banyakkah tanah tentera akan terlibat dengan pembinaan ECRL dan HSR, dan siapa/syarikat manakah yang akan mendapat faedah? Patriot mempunyai kewajipan untuk mencari kebenaran.

Dengan begitu banyak ketidakpastian dan soalan yang tidak terjawab, ia mengundang seseorang untuk tertanya-tanya sama ada skim pertukaran tanah dan penswastaan Kementah/angkatan tentera adalah benar-benar penswastaan atau perompakan?

Patriot menuntut jawapan yang spesifik kepada soalan tersebut dengan segera.

BG Dato Mohamed Arshad Raji (B) ialah presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
2 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Wengseng Chan
19 Apr 2018 8.50am

Atas nama pemiliknya?

Cheah Chachacheah
18 Apr 2018 9.51pm

GOD BLESS YOU TRUE PATRIOTS. 😘😘😘