Penyalahgunaan proses mencemarkan sistem keadilan kita – Badan Peguam

The law and justice

Badan Peguam Malaysia tergamam dengan perkembangan kes berkaitan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Negara kita sedang menyaksikan penyalahgunaan sistem keadilan dan bagaimana sistem keadilan kita telah dicemari melalui tindakan-tindakan dan cubaan-cubaan untuk menangguh pendengaran kes tersebut, permohonan oleh peguam untuk dilepaskan daripada mewakili bekas perdana menteri, keengganan peguam untuk berhujah dalam pendengaran rayuan tersebut selepas Mahkamah Persekutuan telah memberi keputusan berkenaan dengan permohonan pelepasan, dan pengumuman Najib Razak untuk memberhentikan khidmat peguam-peguamnya Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam secara tiba-tiba.

Masyarakat umum perlu ambil maklum bahawa peguam bela dan peguam cara harus mempunyai tahap profesionalisme berdasarkan peraturan amalan dan etika sedia ada agar institusi keadilan terus berintegriti.

Majlis Peguam tegas dalam menguatkuasakan pematuhan peraturan sedia ada supaya tahap profesionalisme yang tertinggi dapat dipelihara dan dikekalkan dalam mendukung maruah profesion undang-undang.

Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etika) 1978 [Legal Profession (Practice and Etiquette) Rules 1978 atau LPPER] menetapkan piawaian tingkah laku peguam-peguam di negara ini, yang juga mencerminkan tanggungjawab utama peguam adalah kepada mahkamah sebagai pegawai mahkamah.

Badan Peguam Malaysia berpendirian bahawa apabila seseorang peguam baharu dilantik untuk mengambil alih sesuatu kes, peguam tersebut perlu mematuhi peraturan 6(a) LPPER yang memperuntukkan bahawa seseorang peguam bela dan peguam cara tidak seharusnya menerima apa-apa kes melainkan jika beliau cukup yakin dengan kemampuannya untuk hadir dan mewakili anak guamnya pada pendengaran kes yang telah ditetapkan oleh mahkamah; dan peguam tersebut juga mestilah mematuhi peraturan 24(a) LPPER yang memperuntukkan bahawa seseorang peguam bela dan peguam cara hendaklah membuat segala persediaan untuk mengendalikan perbicaraan pada hari yang telah ditetapkan.

READ MORE:  Stop harassment of the Malaysian Bar and lawyers

Apabila dibaca bersama kedua-dua peruntukan tersebut, maka adalah jelas bahawa seseorang peguam mestilah berfikir panjang dan membuat penilaian sewajarnya sama ada beliau boleh mengendalikan kes tersebut pada hari perbicaraan yang telah ditetapkan, sebelum membuat keputusan sama ada untuk menerima kes tersebut.

Ini penting bagi melunasi kewajipan asas terhadap mahkamah, menghormati pentadbiran undang-undang, dan mendukung maruah profesion undang-undang. Ianya wajar tertanam dan menjadi asas dalam melaksanakan amalan oleh semua peguam-peguam.

Walaupun bekas perdana menteri berhak untuk melantik peguam baharu untuk mengendalikan kesnya atas apa-apa jua alasan, beliau harus sedar bahawa sememangnya terdapat risiko akibat tindak-tanduknya kerana mahkamah tidak semestinya membenarkan apa-apa permohonan penangguhan kes, kerana seseorang peguam yang mengambil alih kes tersebut mestilah telah bersedia untuk meneruskan kes pada tarikh yang telahpun ditetapkan oleh mahkamah.

Pada masa yang sama, anak guam yang menghentikan khidmat peguamnya ataupun seseorang peguam yang ingin menarik diri daripada mewakili anak guamnya, mereka masih tertakluk kepada kawalan penuh dan budi bicara mahkamah sama ada untuk membenarkan permohonan sedemikian atau sebaliknya. Secara ringkas, ianya bukanlah hak automatik.

Percubaan dengan pelbagai cara untuk menjejaskan sistem keadilan melalui strategi yang tidak berprinsip merupakan suatu bentuk penyelewengan sistem keadilan kita dan penyalahgunaan proses mahkamah. Peguam bela dan peguam cara yang terlibat dengan tindakan sedemikian akan dianggap sebagai bertindak secara tidak profesional, melanggari peraturan serta etika, dan perlu berdepan dengan tindakan tatatertib.

Dari pemerhatian kami, Najib Razak yang telah sekali lagi dengan tiba-tiba menghentikan khidmat peguam-peguamnya [pada 19 Ogos] menjadikannya kali kedua taktik sedemikian diambil olehnya. Keputusan untuk menukar peguam pada saat-saat akhir merupakan keputusannya sendiri dan ekoran daripada itu, segala risiko dalam membuat keputusan tersebut harus ditanggung olehnya sendiri.

READ MORE:  Abuse of process brings disrepute to Malaysia's justice system - Bar

Sebarang ketidakadilan yang kononnya dikatakan dialami olehnya, sekiranya pun wujud, sememangnya adalah akibat keputusannya sendiri. Tuntutan dan harapan beliau untuk dibicarakan secara adil dan saksama telahpun diberikan sepenuhnya kepadanya pada kesemua masa material – dan beliau harus meletakkan dirinya dalam sistem kehakiman tanpa sebarang rancangan licik — terutamanya jika beliau benar-benar menghargai hak kebebasannya.

Apa yang jelas kelihatan adalah tiada sebarang alasan yang meyakinkan diberi dalam menghentikan khidmat peguam-peguam yang mewakilinya sebanyak dua kali, ketika terlalu hampir dengan tarikh pendengaran kes ataupun ketika pendengaran kes di Mahkamah Persekutuan dijalankan. Tarikh-tarikh pendengaran bukan sahaja telah ditetapkan oleh mahkamah lebih awal, malah telahpun dihebahkan kepada umum.

Oleh yang demikian, sebarang percubaan untuk menukar naratif ini kepada sesuatu yang berbentuk penganiayaan terhadapnya, adalah sesuatu perbuatan yang amat licik dan tidak harus diberi perhatian.

Badan Peguam Malaysia juga mengambil maklum bahawa terdapat ancaman atau ugutan yang berniat jahat dan tidak wajar yang telah ditujukan terhadap badan kehakiman dan Ketua Hakim Negara akibat perkembangan berkaitan dengan kes ini di Mahkamah Persekutuan. Badan Peguam Malaysia mengutuk keras segala retorik dan sentimen anti-kehakiman yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Badan Peguam Malaysia sentiasa bersama dengan badan kehakiman dan menyeru supaya mereka kekal bertekad dan tidak tunduk kepada tekanan yang tidak wajar.

Karen Cheah Yee Lynn ialah yang dipertua Badan Peguam Malaysia

This piece is reproduced from here and has been edited for style only.



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments