Pembatalan ordinan-ordinan darurat dan pelan pemulihan negara perlu dibahas dan diundi di Parlimen

147 views

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, mengambil maklum kenyataan Pejabat Perdana Menteri tempoh hari berkenaan mesyuarat khas Dewan Rakyat bermula 26 Julai yang akan memfokuskan pelan pemulihan negara.

Ditambah pula perincian daripada menteri berkaitan hal ehwal Parlimen dan undang-undang Takiyuddin Hassan yang menyatakan tiga agenda utama sidang khas kali ini berkaitan pembentangan proklamasi darurat 2021, proklamasi darurat berkaitan pilihan raya kecil Gerik dan Bugaya, serta sesi penerangan oleh menteri berhubung darurat dan Covid-19. Untuk rekod, Agong pada 29 Jun lepas telah menitahkan supaya semua Ahli Parlimen membahaskan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat di Parlimen.

Sepertimana yang diperuntukkan oleh Perkara 150(3), proklamasi dan ordinan-ordinan darurat harus dibentangkan di kedua-dua Dewan Parlimen sekiranya ia dibuat semasa Parlimen tidak bersidang. Perkara ini bagi memastikan pembuatan undang-undang yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi boleh sama ada diiktiraf atau dibatalkan oleh Parlimen.

Perkara 150(7) seterusnya memperuntukkan, sekiranya ia tidak dibatalkan, ordinan-ordinan darurat ini akan terus berkuatkuasa untuk tempoh enam bulan selepas berakhirnya tempoh darurat. Ini bermakna, empat ordinan darurat 2021 akan berkuatkuasa sehingga 1 Februari 2022, kecuali untuk peruntukan-peruntukan tertentu yang berkuatkuasa hanya ketika tempoh darurat.

Antara empat Ordinan tersebut, Ordinan Darurat No 2 berkaitan berita tidak benar yang membawa hukuman tertinggi penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 dan Ordinan Darurat No 4 berkaitan Kumpulan Wang Amanah Negara harus dibatalkan. Kecuali jika kerajaan sendiri membatalkannya melalui sebuah usul Parlimen, ahli Parlimen harus dibenarkan untuk mengemukakan usul untuk menentukan apakah kedua-dua Ordinan ini harus dibatalkan atau dikekalkan.

Tatacaranya sama seperti dilakukan pada tahun 2011, yang mana perdana menteri membawa sebuah usul untuk membatalkan proklamasi darurat bagi tahun 1966, 1969 dan 1977 di dalam kedua-dua Dewan Parlimen untuk dibahas dan diundi.

READ MORE:  Kita mati dalam derhaka: Black flags, 'dead bodies' and poetry

Selain itu, pelan pemulihan negara yang dianggap sebagai jalan keluar (exit plan) kepada krisis kesihatan awam Covid ini, mesti menjadi fokus perbincangan dalam sidang khas akan datang. Sebuah usul berkaitan pelan ini harus dibentang, dibahas dan diluluskan di Parlimen. Pelan ini boleh disamakan dengan dasar Rancangan Malaysia setiap lima tahun yang dibentang, dibahas dan diundi di Parlimen kerana sifatnya yang mempunyai kesan jangka masa panjang kepada negara.

Maka atas prinsip yang sama di atas, ahli Parlimen mesti mempunyai kuasa untuk menambahbaik rancangan dan pelan tindakan pelan pemulihan negara yang dijangka dibentangkan kelak. Parlimen tidak bermakna dibuka jika suara rakyat melalui ahli Parlimen tidak dapat diketengahkan. Hal ini sekaligus menjadikan persidangan sekadar ritual kosong yang bakal menambah lagi kehampaan rakyat terhadap kerajaan serta sistem politik kita.

Kuasa ahli Parlimen hanya akan terjamin jika mereka diberikan peluang untuk mengundi dan meluluskan pelan ini, sama ada secara menyeluruh atau sebahagiannya. Melalui kaedah undian ini, kerajaan dan jemaah menteri akan mengambil dengan lebih serius cadangan dan kritikan oleh ahli Parlimen di Parlimen. Seterusnya apabila pelan yang telah ditambahbaik diluluskan di Parlimen, ia akan menjadi bukti kepada suara sokongan seluruh ahli dalam Parlimen dan bukan pihak eksekutif semata.

Perkara ini sudah tentu akan meningkatkan penerimaan dan keyakinan awam terhadap rancangan dan pelaksanaan pelan pemulihan negara oleh kerajaan. Dengan kata lain, jika kerajaan sanggup merendah diri dengan mengambil semangat musyawarah, haruslah diberi peluang secukupnya kepada semua ahli Parlimen untuk mengundi kemudian diluluskan pelan tersebut.

Perkara ini dianggap sebagai sebuah muafakat kebangsaan dalam mencari penyelesaian bersama kepada masalah wabak Covid dan krisis ekonomi. Akhirnya ia akan menguntungkan semua pihak tidak kira kerajaan, pembangkang, mahupun rakyat secara umumnya. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

READ MORE:  Persidangan Parlimen selama lima hari terlalu singkat bagi debat penting berkenaan isu kritikal

Hal ini bertepatan dengan erti kata demokrasi dalam bahasa Yunani yaitu demos (rakyat) dan kratos (pemerintahan) yang membawa maksud pemerintahan rakyat. Sistem pemerintahan rakyat ini tidak dapat lari daripada roh sistem pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat.

Maka apa-apa sahaja perundangan yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara, khususnya ketika pandemik Covid yang belum reda kini, mestilah dibawa untuk diperdebatkan di Parlimen sebagai medan sebenar sebuah negara demokratik. Parlimen bukan medan taklimat awam sehala, apatah lagi sekadar ‘rubber stamp’ kepada kerajaan. Pandemik bukanlah alasan dan penghalang demokrasi berjalan seperti biasa.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:
1. Bait Al-Amanah
2. Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih 2.0)
3. Enage
4. Institute for Political Reform and Democracy (Reform)
5. Persatuan Pengundi Muda (Undi18)
6. Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas)

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments