Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) mengambil maklum akan pengumuman oleh perdana menteri mengenai keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
Haram menerima baik pengumuman ini sebagai satu langkah progresif yang berpotensi membebaskan institusi menara gading daripada cengkaman regresif yang telah berlarutan selama lima dekad.
Walau bagaimanapun, kami menegaskan bahawa pengumuman ini tidak boleh bersifat retorik politik semata-mata atau dijadikan instrumen populis untuk memancing undi anak muda serta pengundi progresif.
Kerajaan wajib membuktikan kehendak politik yang tulen dengan menterjemahkan kenyataan ini kepada pelan tindakan eksekutif yang konkrit demi menghormati dan tidak mengecewakan siri perjuangan mahasiswa dan mahasiswi yang telah lama menuntut pemansuhan Auku.
Sehubungan dengan itu, demi memastikan agenda reformasi ini bersifat substantif, profesional dan berlandaskan undang-undang yang utuh, Haram mengemukakan lima tuntutan utama kepada pihak kerajaan.
Penjelasan status akta-akta institusi pengajian tinggi selain Auku: Pemansuhan Auku tidak akan mencapai matlamat liberalisasi akademik yang menyeluruh sekiranya akta-akta berkembar yang lain terus mengekalkan sekatan yang sama.
Kerajaan dituntut untuk menyatakan dengan telus status reformasi ke atas akta-akta berkaitan, termasuk Akta Universiti Teknologi Mara 1976, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Politeknik serta Akta Badan-Badan Berkanun (Disiplin dan Tatatertib) 2000, yang sering digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara para mahasiswa dan mahasiswi dan pensyarah.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Penubuhan jawatankuasa penggubalan akta pendidikan tinggi secara holistik: Kami menuntut penubuhan segera sebuah jawatankuasa penggubalan akta pendidikan tinggi yang baharu bagi menggantikan Auku.
Jawatankuasa ini wajib dibentuk secara inklusif dan holistik dengan meletakkan wakil rasmi daripada gerakan mahasiswa, kesatuan mahasiswa, kesatuan akademik, para ilmuwan serta organisasi masyarakat sivil sebagai penggubal bersama dan bukannya sekadar panel rujukan pasif.
Penolakan pengenalan semula elemen regresif melalui penjenamaan semula: Akta pendidikan tinggi yang baharu mestilah sebuah perundangan yang benar-benar mengangkat autonomi mahasiswa dan mahasiswi bukannya sekadar replikasi atau penjenamaan semula Auku.
Haram menegaskan garis merah terhadap pengekalan atau pengenalan semula seksyen-seksyen regresif berikut:
- Pemansuhan seksyen regresif bidang kuasa eksekutif: Menghapuskan peruntukan seperti Seksyen 4 Auku di mana badan penyiasat diletakkan di bawah kawalan eksekutif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
- Kebebasan pelantikan kepimpinan universiti: Menolak struktur pelantikan naib-canselor seperti yang termaktub dalam Seksyen 4A Auku. Pelantikan naib-canselor mestilah bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik dan kawalan mutlak KPT, sebaliknya beralih kepada proses pelantikan berasaskan merit serta dikendalikan oleh badan penasihat bebas.
- Audit mandatori parlimen dan pemansuhan perlindungan suci hati: Meminda pendekatan Seksyen 11(4) untuk mewajibkan pembentangan laporan kewangan dan audit institut pengajian tinggi awam ke Parlimen secara berkala dan mandatori. Laporan ini mesti diaudit oleh juruaudit bebas (independent auditors) bagi memastikan ketelusan mutlak dan menghalang sebarang cubaan menyembunyikan kes rasuah. Malah, doktrin perlindungan suci hati seperti Seksyen 24C (good faith shield) yang memberi imuniti kepada pegawai daripada tindakan undang-undang mesti dimansuhkan demi menegakkan prinsip akauntabiliti.
- Reformasi jawatankuasa perolehan tender: Naib-canselor tidak boleh dilantik secara automatik sebagai pengerusi jawatankuasa perolehan tender. Pelantikan mestilah berasaskan kredibiliti, integriti dan merit teknikal. Jawatankuasa ini wajib dilengkapi dengan instrumen pemantauan bebas melalui mekanisme penilaian bebas berlandaskan perjanjian tripartite bersama organisasi seperti Transparency International Malaysia.
- Pengisytiharan harta mutlak atau interest, income and asset declarations: Menjadikan satu kewajipan dalam akta baharu untuk setiap ahli lembaga pengarah universiti dan ahli tetap jawatankuasa perolehan tender membuat pengisytiharan harta, pendapatan dan kepentingan selaras dengan standard UNODC. Pengisytiharan ini wajib diserahkan kepada sebuah badan penampan kewangan bebas'(independent financial buffer body) yang bebas daripada pengaruh kerajaan persekutuan dan dokumen (interest, income and asset declaration) dan mestilah boleh diakses secara terbuka oleh orang awam serta pemegang taruh utama universiti khususnya mahasiswa dan mahasiswi yang mendanai institusi melalui yuran pengajian dan cukai rakyat.
Garis masa pelan pelaksanaan yang jelas: Kerajaan wajib membentangkan satu garis masa (timeline) yang tuntas dan terperinci mengenai pelan pelaksanaan (executional plan) proses pemansuhan dan penggubalan akta baharu. Kami tidak akan bertoleransi dengan taktik penundaan birokrasi yang sengaja melenggahkan pembebasan mahasiswa.
Penubuhan tribunal rayuan tatatertib bebas: Struktur sedia ada yang memaksa mahasiswa dan mahasiswi membuat rayuan tatatertib terus kepada KPT wajib dihentikan.
Sistem sedia ada ini mendedahkan keputusan rayuan kepada budi bicara politik menteri secara mutlak tanpa ruang keadilan yang saksama.
Kami menuntut penubuhan sebuah tribunal rayuan bebas yang dianggotai oleh pengamal undang-undang dan wakil berkecuali bagi mengendalikan kes-kes rayuan mahasiswa dan mahasiswi yang dikenakan tindakan disiplin akibat penglibatan politik atau aktivisme. Keputusan tribunal ini mestilah bebas daripada campur tangan eksekutif.
Haram memberi amaran keras kepada kerajaan untuk segera membentangkan usul pemansuhan Auku ke sidang parlimen yang akan datang.
Sekiranya pengumuman pemansuhan Auku ini sekadar janji manis yang tidak dikotakan atau digubal secara culas untuk menipu harapan anak muda, Haram tidak akan teragak-agak untuk melabel kerajaan hari ini sebagai pengkhianat mahasiswa.
Kami bersedia sepenuhnya untuk menggerakkan seluruh kekuatan mahasiswa, organisasi masyarakat sivil dan rakyat Malaysia turun ke jalanan dan medan-medan demokrasi bagi menuntut sebuah reformasi yang hakiki. – Haram
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


