Kami, Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik, ingin menuntut agar:
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya, termasuk ujian darah secara proaktif, ke atas penduduk-penduduk di semua jenis perkampungan di seluruh negara, khasnya komuniti Orang Asli yang berdekatan dengan kawasan perlombongan, kuari, dan pembalakan yang menyebabkan pencemaran bekalan air dan udara mereka.
Langkah ini amat penting untuk memastikan kesihatan mereka tidak terjejas akibat pendedahan kepada bahan-bahan toksik yang terkandung dalam air dan udara tercemar.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjalankan siasatan yang telus dan membuktikan komitmen mereka untuk menangani isu-isu pencemaran alam sekitar. Ini harus dimulakan dengan kes pencemaran di Kampung Kelaik, khususnya selepas pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memberi kuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencemarkan alam sekitar.
Kami mendesak agar siasatan ini dijalankan dengan penuh integriti dan langkah-langkah pemulihan segera diambil untuk melindungi ekosistem dan komuniti yang terjejas.
Kami berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga kesejahteraan komuniti Orang Asli serta memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
Berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Dzulkefly Ahmad pada 11 Disember lalu, satu pasukan dari Kementerian Kesihatan akan dihantar untuk menyiasat kejadian keracunan kromium di Kampung Kelaik, Gua Musang. Kenyataan ini telah dilaporkan dalam beberapa siri artikel di Malaysiakini baru-baru ini. Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengeluarkan arahan supaya kedua-dua lombong yang terlibat memberhentikan operasinya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Kementerian beliau juga menyatakan bahawa satu lombong tidak memiliki laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling, manakala satu lagi lombong tidak beroperasi buat masa ini.
Usaha Malaysia ke arah pemeliharaan alam sekitar masih berada di tahap yang kurang memuaskan. Salah satu isu utama adalah kekurangan langkah-langkah perlindungan dan pemantauan terhadap bahan-bahan pencemar yang mencemari alam semula jadi seperti sungai, tanah dan udara.
Pencemaran ini memberikan impak yang serius bukan hanya kepada ekosistem, tetapi juga kepada komuniti-komuniti yang bergantung kepada alam sekitar, seperti komuniti Orang Asli.
Kehidupan seharian mereka yang dekat dan bergantung kepada alam semula jadi, terutamanya hutan dan sungai, pastinya terjejas. Hutan dan sungai bukan sahaja menjadi sumber rezeki mereka, malah memainkan peranan penting dalam kebudayaan dan tradisi mereka.
Oleh itu, sebarang pencemaran yang berlaku akan memberi kesan yang mendalam kepada kualiti hidup dan keselamatan mereka.
Pada bulan Julai lalu, kerajaan telah membuat pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang merangkumi denda yang lebih berat bagi kesalahan serius seperti pencemaran air daratan dan pelepasan minyak atau bahan berbahaya ke dalam perairan Malaysia. Denda yang dikenakan boleh mencapai antara RM50,000 hingga RM10 juta, serta hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun.
Namun, peningkatan penalti ini dilihat tidak akan cukup berkesan dalam memulihkan alam sekitar sekiranya tiada ketelusan dalam pelaksanaan langkah-langkah pencegahan, pemantauan yang berterusan dan penguatkuasaan yang efektif.
Tanpa tindakan yang tegas dan penyelesaian yang menyeluruh terhadap punca pencemaran, peningkatan denda sahaja tidak akan memberikan impak yang signifikan dalam usaha memelihara alam sekitar dan mencegah kerosakan yang lebih teruk.
Inilah yang menjadi kebimbangan utama pihak kumpulan sokongan Orang Asli Kampung Kelaik. Sejauh manakah ketelusan siasatan yang akan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan?
Kami ingin mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada tahun 2018, iaitu kematian misteri 15 Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.
Pada waktu itu, pihak kerajaan persekutuan dan menteri yang menyiasat kejadian tersebut menyatakan bahawa kematian 12 orang Orang Asli Bateq tidak dapat dipastikan kerana mereka telah dikebumikan untuk sekian waktu. Dua kematian pada awalnya dinyatakan sebagai akibat pneumonia, tetapi kemudiannya diubah kepada demam campak.
Pihak kerajaan juga memaklumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia telah mengesahkan bahawa tiada pencemaran air akibat lombong mangan di Aring 10.
Hasil siasatan ini menimbulkan keraguan di kalangan komuniti Orang Asli dan pihak-pihak berkepentingan, terutama berkaitan dengan ketelusan dan keseriusan siasatan yang dijalankan.
Walau bagaimanapun, Colin Nicholas, pengarah eksekutif Center for Orang Asli Concerns, menyatakan bahawa punca asas kematian Orang Asli Bateq adalah kerana habitat semula jadi mereka telah dimusnahkan dan kegagalan kerajaan mengiktiraf wilayah adat mereka.
Kenyataan pihak kerajaan ketika itu dilihat lebih cenderung untuk meredakan keadaan semasa, tanpa mengambil tindakan yang komprehensif dan penyelesaian jangka panjang.
Tiada penyiasatan berterusan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, dan kecenderungan untuk meletakkan punca kematian kepada wabak penyakit seperti pneumonia dan demam campak dilihat sebagai cara untuk mengelak daripada menangani isu yang lebih mendalam.
Melihat kepada apa yang telah dilalui oleh Orang Asli Bateq, kegusaran yang dirasai oleh Orang Asli Kampung Kelaik adalah wajar. Mereka telah lama hilang kepercayaan terhadap sistem pemerintahan dan politik di Malaysia kerana seringkali ditipu, ditindas dan dipergunakan tanpa diberikan maklumat yang jelas atau tepat.
Keadaan ini turut memburukkan lagi rasa tidak percayanya mereka terhadap kerajaan, sehingga menyebabkan Orang Asli Kampung Kelaik enggan divaksin untuk penyakit Covid. Mereka tidak percaya dengan maklumat yang disampaikan mengenai kesan sampingan vaksin oleh kerajaan pada masa itu, dan ini menunjukkan betapa mendalamnya ketidakpercayaan mereka terhadap pihak berkuasa.
Justeru, jika penyiasatan keracunan logam berat terhadap penduduk Orang Asli Kampung Kelaik tidak dijalankan dengan telus, kami percaya prasangka terhadap tindak-tanduk kerajaan akan semakin kuat di kalangan komuniti.
Penyiasatan mengenai isu keracunan logam berat di Kampung Kelaik harus dilakukan berdasarkan prinsip urus tadbir yang baik. Ini termasuklah ketelusan dalam penyampaian hasil kajian dan penjelasan yang jelas tentang bagaimana kesimpulan dibuat.
Dapatan dan kesimpulan yang lebih menyeluruh, seperti yang ditonjolkan oleh Dr Viven How, adalah lebih menyakinkan dan memberikan keyakinan kepada komuniti bahawa siasatan dijalankan dengan objektif dan integriti.
Kami berharap Dzulkefly dan Nik Nazmi akan bersikap telus dalam mengemukakan hasil siasatan di Kampung Kelaik dan mengambil tindakan yang berkesan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh komuniti ini.
Komitmen untuk menangani isu dengan penuh ketelusan akan membantu memulihkan kepercayaan Orang Asli terhadap kerajaan dan memastikan mereka tidak lagi merasa terpinggir dan terabai.
Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik yang dianggotai:
- Greenpeace Malaysia
- Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
- Parti Sosialis Malaysia (PSM)
- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
- Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat
- Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka)
- Sahabat Alam Malaysia (SAM)
- Suara Rakyat Malaysia (Suaram)
- Treat Every Environment Special (Trees)
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme